Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Sunday, August 30, 2009

Esok seluruh rakyat Malaysia menyambut hari merdeka bagi mengenang kembali peristiwa 31 Ogos 1957. Cuma mungkin sambutannya agak sederhana kerana faktor bulan Ramadhan dan penularan selesma babi. Namun bagi anak-anak yang lahir dalam tahun 1950-an,60-an,70-an masih merasakan suasana merdeka ini dengan penuh kejiwaan. Misalnya anak-anak yang lahir selepas merdeka,walaupun tak sempat melihat suasana ketika itu tetapi mereka faham. Ibu bapa mereka selalu menceritakan,apatah lagi matapelajaran sejarah masih penting di peringkat sekolah rendah ketika itu.

Saya berada di darjah 4 pada tahun 1980. Pada masa itu saya belajar sejarah sepenuhnya.Usia 10 tahun saya dah tahu sejarah Melaka,saya dah tahu perjuangan Mat Salleh di Sabah, saya dah tahu Sabah merdeka melalui Malaysia pada 1963. Sebelumnya lagi,Saya dah tahu Tun Mustapha,saya dah tahu Tan Sri Said Keruak berdasarkan penceritaan ibubapa dan guru-guru ketika itu. Guru-guru tidak mementingkan akademik semata-mata,tetapi mereka berjaya menerapkan kecintaan kepada tanahair. Mereka selalu menceritakan kesusahan orang dulu-dulu.

Dalam tahun 1977 sehingga 1982 kami dibawa berbaris di padang Pekan Kota Belud. Kami dibawa menengok wayang free iaitu tayangan daripada Jabatan Penerangan. Masa itu hanya orang-orang tertentu sahaja yang ada tv.

Tahun 2009,saya amat merasakan perbezaannya. Ibubapa macam saya tidak pernah menceritakan keadaan yang lalu. Mungkin juga saya selalu sibuk dengan tugas-tugas duniawi dan perkara-perkara lain yang menyebabkan saya terlupa. Anak-anak mempunyai banyak maklumat yang disebarkan melalui media(iklan dan sebagainya). Misalnya,anak saya,dia yang menceritakan kepada saya apa yang dia lihat di TV.

"Hari ni pak,dhiyyah dapat 2 ringgit. Dhiyyah dapat nombor 2,pertandingan mewarna bendera.

Terfikir olehku,memang budak-budak sekarang mahir melukis dan mewarna bendera. Tapi apakah mereka faham akan kesusahan bapa,nenek moyang mereka dulu-dulu.

Ada satu lagi cerita yang saya suka kongsikan di sini (berkaitan kepintaran anak-anak zaman ini).Suatu petang saya dihubungi oleh anak saudara saya dari K.K yang baru balik kampung iaitu di Kampung Taun Gusi. (saya sebenarnya tinggal di Taman Nikmat).

Budak itu memberitahu saya,neneknya pesan minta agar saya balik kampung untuk berbuka puasa di sana.Kedua, dia minta saya beli lauk-pauk untuk dimakan semasa berbuka kelak.Ketiga dia memberitahu saya, penyesalan mereka balik ke kampung kerana tiada air. Saya memberitahu dia, laungkanlah merdeka sebanyak 3 kali. Nescaya dalam beberapa minit kamu akan perolehi air.

"Pakcik tipu,pakcik bohong",katanya.

"OK lah nanti pak cik datang bawa air Bio Aura 5 gelen.beli satay 100 cucuk".

Lantas budak itu pun senang hati. Tapi dalam tersenyum dan gelihati, saya terfikir dan tertanya pada diri sendiri. Apakah kita pernah berani memberitahu pemimpin kita dengan perkataan yang diucapkan oleh budak hingusan itu. Budak sekarang lain. Itu masih budak,kalau remaja,tak tahu macamana jiwa mereka.

DEMI WAKTU YANG GEMENTAR
(BUAT DATU ABDULLAH DATU GAIRULLAH)

Kitalah yang berdepan di alam gementar
apabila burung kesayangan telah terlepas
dari sarangnya
lupa diri,lupa keluarga,lupa harga diri
lalu,kitalah menjadi penanti pedih di
pintu senja

Kitalah yang berdepan di alam gementar
apabila loceng amaran menjadi puaka
hantu-hantu telah masuk ke urat saraf
pancaindera telah menjadi tengkorak
ajaib
patung-patung kesayangan
telah dikunci di rumah puaka

Kitalah yang berdepan di alam gementar
apabila setiap kata telah dikunci
apabila setiap mata telah dibutakan
apabila mulut telah menjadi kudis
apabila wajah telah menjadi idaman
SARIGALA

Kitalah yang berdepan di alam gementar
apabila bunga bangsa telah layu
di mata peradaban

Kitalah yang berdepan di alam gementar;
apabila muzik asyik telah bertukar
menjadi seram.

KARYA : NORAWI

Thursday, August 27, 2009

GAMBAR : WAJAH MARDHIYYAH YANG TENANG,SABAR MENANTI
SAAT BERBUKA PUASA




GAMBAR : SEBELUM SEMBAHYANG TERAWIH


Hari ini masuk hari ke-6 umat Islam berpuasa. Tidak ketinggalan anak kecil bernama Mardhiyyah (7 tahun)yang setakat ini masih bertahan untuk menunaikan ibadah puasa. Mardhiyyah bersekolah di SK.Jawi-Jawi berazam untuk meneruskan puasanya sehingga 29/30 hari. Kelmarin 30 minit sebelum berbuka puasa Mardhiyyah dah duduk berdekatan dengan meja hidangan. Tak sabar-sabar lagi untuk minum.

"Dhiyyah mahu habiskan puasa 1 bulan,tapi bapa kena bagi duit 5 ringgit satu hari" pintanya secara manja.

Aku terdiam sejenak. Gelihati dengan telatah anak tunggalku itu.Jika tahun lepas dia berjaya puasa selama 10 hari sahaja kerana faktor dorongan,pujian dan wang.Tapi itulah adat resam kanak-kanak. Terpulang kepada kita bagaimana caranya untuk mendorong mereka agar biasa menahan diri daripada lapar dan dahaga. Bagi saya, buatlah apa cara sekalipun untuk menambat hati kanak-kanak itu agar suka berpuasa. Jika tahun lepas Mardhiyyah selalu berpuasa setengah hari. Azan zohor dia berbuka puasa, selepas itu sambung lagi.

Menurut Mardhiyyah hanya puasa kanak-kanak sahaja yang boleh setengah hari,walhal dari segi hukum tidak ada pun istilah sedemikian. Dari mana dia dengar akupun tak tahu. Tapi tak kesahlah,puasa kanak-kanak kah,puasa bawah umurkah gelaran puasa tersebut,yang penting penyesuaian kepada golongan kanak-kanak itu amat penting untuk menanam minat golongan kanak-kanak untuk berpuasa. Seseorang yang tidak dilatih untuk berpuasa sejak kecil akan mengalami kesukaran untuk berpuasa dan dikhuatiri tidak minat berpuasa walaupun dah termaktub dalam rukun Islam (itu yang dibimbangkan).

Saya pernah ada pengalaman dengan seorang rakan (kisah benar) semasa sama-sama belajar. Rakan itu terus terang memberitahu saya, dia hanya mampu berpuasa penuh 3 hari daripada sebulan yang sepatutnya. Tapi dengan syarat 27 hari itu dia puasa setengahari. Maksudnya sebaik jam 12 tengahari dia boleh minum air segelas dan menghisap sebatang rokok sahaja dengan syarat tidak melebihi masa 30 minit.

"Puasa apa tu. Tak pernah aku dengar" kataku kepadanya.

"Kalau kau mahu tahu, inilah yang dinamakan puasa orang bujang. Ala,masa bujang aje begini.Bila dah kahwin 30 harilah",jelasnya.

"Mana ada dalam hukum",kataku

"Yalah, memanglah tak ada dalam hukum.Tapi sebagai persediaan sebelum berumahtangga.Daripada tidak puasa bagus puasa", katanya lagi.

Akupun bingung memikirkannya. Usia kami ketika itu dah 2o tahun. Takkan ketika itu baru nak latih diri untuk puasa. Tapi aku tak komen apa-apa. takut dia tergores perasaan.Aku tidak mahu kehilangan kawan.

"Pak,pak, macamana boleh bagi Dhiyyah duit puasa", tiba-tiba permintaan Mardhiyyah itu mematikan lamunanku terhadap kenangan dan kisah-kisah lalu.

Mardhiyyah menghamiriku. Aku memeluknya erat. "Nak, boleh tak bapa ganti duit tu dengan akuarium ikan", pintaku kepadanya.

"Horey! boleh pak. Sayang bapa". Mardhiyyah melonjak riang bila saya janji membelikannya akuarium,kerana saya tahu dia sangat berminat memelihara ikan hiasan. Di rumah banyak botol kosong jadi mangsa tempat menyimpan ikan.Tiap-tiap minggu,dia mesti membawa emaknya membeli ikan,sekurang-kurangnya dua ekor ikan hiasan yang saya pun tak tahu apa jenis dan nama ikan itu. Cuma yang terbaru,kura-kura kecil pun ada dibelinya.

"Mak,bapa nak belikan aku akuarium besar". Mardhiyyah memberitahu emaknya. Emaknya hanya tersenyum melihat telatah anak yang manja dan perlu dituruti kehendaknya.




Tuesday, August 25, 2009


KERATAN AKHBAR HARIAN METRO : 17 OGOS 2009

Alangkah agungnya kasih dan cinta seorang isteri. Sanggup dilanda badai derita. Walaupun suaminya bersalah dan ditahan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) kerana positif dadah, namun beliau tak putus berdoa agar dipertemukan dengan suami tercintanya.

Itulah nasib sedih yang dialami oleh seorang wanita yang berusia 106 tahun seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro baru-baru ini. Wanita itu tinggal keseorangan sejak suaminya yang berusia 37 tahun ditahan oleh AADK kerana positif dadah pada 7 Julai lalu dan dihantar ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen),Sungai Besi. Suaminya akan mendapat rawatan pemulihan di Puspen tersebut selama dua tahun.

Membaca berita itu di Harian Metro, saya sangat bersimpati akan nasib wanita itu yang saya anggap sebagai nenek saya. Bayangkan dalam bulan Ramadhan yang mulia ini,beliau tinggal keseorangan.Siapakah lagi yang sudi membantunya memberi makan minumnya sehari-hari. Mudah-mudahan Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Agensi Antidadah Kebangsaan sudi menghulur bantuan kepada wanita berkenaan. Dalam bulan Ramadhan yang mulia ini bersedekahlah. Jangan dipandang hina akan nasib yang menimpa seseorang seperti itu.

Masyarakat kita telah terlatih untuk membuat persepsi negatif dan atau tak ambil kesah dengan seseorang yang terjebak dalam kanca penagihan dadah. Apatah lagi jika seseorang itu isteri penagih dadah secara tidak langsung akan mengalami ketidak yakinan untuk berhadapan dengan masyarakat. Mereka longlai untuk menghadapi masyarakat dan lemah untuk meneruskan kehidupan harian seperti sebelumnya. Seolah-olah berlaku stigma dan diskriminasi masyarakat terhadap mereka.

Sebagai anggota masyarakat,kita perlu memberi sokongan kepada mereka, dalam masa yang sama anggota keluarga yang terbabit janganlah terlalu menjauh diri atau terus merasakan dirinya tersisih. Dalam soal ini selalunya berlaku kesukaran dan halangan-halangan berkomunikasi di antara orang yang ikhlas membantu dan individu yang terjebak atau keluarganya,demikian juga sebaliknya.

Marilah kita meningkatkan amalan kebaikan di bulan mulia ini. Bantulah insan yang lemah, yang benar-benar memerlukan bantuan. Selamat berpuasa.-BERSAMBUNG

Sunday, August 23, 2009

Malam tadi, selepas terawih(jam 10 malam) saya menerima undangan minum di restoran perdana melalui sms dari seorang rakan (D.d-panggilan manja).
Tanpa persoalan saya menerima undangan tersebut.

Sampai di restoran itu,saya rasa bersalah kerana D.d biasanya keseorangan,kini dikelilingi oleh ramai kawan terutama orang-orang politik.Sebelum ini,biasanya kami berdua sahaja yang duduk semeja kerana perbincangan lebih berfokus.

Tetapi saya tewas oleh keadaan,terpaksa duduk dikelilingi oleh orang-orang politik yang hebat-hebat belaka.Saya dan D.d hanya mengangguk sahaja dengan telatah seseorang yang kami anggap professor dalam penceritaan politik.

Tiba-tiba muncul seseorang.Langkahnya longlai dan bersahaja.Agak jarang saya melihat telatah orang tu sebelum ini.Beliau yang terkenal dengan sikap ramah mesranya,tiba-tiba bersikap bersahaja dan langsung duduk tanpa berkata apa-apa.Saya dan D.d hanya berpandangan mata.

"Minum datuk,tiba-tiba seseorang yang nakal mengajak dengan pujian.
"Kau saja harapan ni,OKB", kata seseorang lagi.

Dia diam seribu bahasa.Saya dan D.d tidak bertanya apa-apa.Mungkin juga D.d tertanya-tanya atas perubahannya itu.

"Kenapa kamu ini,dah kena senggugut kah?tanya seseorang yang lain pula.Usikan demi usikan dilakukan tapi dia tetap sabar dan bertenang,walaupun sebelum ini dia kadangkala boleh membuat keceluparan.

Tidak lama selepas itu,seseorang daripada mereka memanggil pelayan dan menunjuk beberapa meja untuk dikira.

"Berapa ni sayang.kira semuanya" arah seseorang yang nampak bergaya itu.

Tiba-tiba kawan itu menahan pelayan tu."jangan kira dulu dik,biar abang bayar".

"jadi macamanalah,takkan kamu bayar,kamu belum minum"

"Tak apalah,kamu jalanlah dulu,kami mau bercerita lagi ni",tegas kawan yang dikenali sebagai Pardan atau panggilan manjanya dan yang sebenarnya salah seorang AJK Umno Bahagian Kota Belud.

Sebaik kaki mereka melangkah,saya dan D.d pun ingin tahu kenapa dia terlalu diam ketika tu.Saya pun bertanya,kenapa dia langsung tak berkata apa-apa dan langsung tak mempertahankan diri.

"Kita minum balik.kamu minta saja apa kamu mahu.saya mau rojak daging ni." Tanpa berlengah lagi kami pun mengikut seperti apa dia order.

"Sebenarnya,saya mahu pahala di bulan mulia ini.Saya tak mahu cari bala.Ini bukan tempatnya dan masanya untuk berlawan cerita atau siapa pandai.kalau mau berbahas dalam gelanggang atau masa pemilihan.Ini bulan Ramadhan,bukan bulan politik.Saya kalau mahu berpolitik saya berpolitik betul-betul,kalau mahu tolong kawan,saya tolong betul-betul.Yang penting kita jangan tipu kawan.Macam sekarang ni musim puasa,saya puasa betul-betul.ini bukan time politik,cerita sana,cerita sini,aksen sana,aksen sini. Saya tidak cerita politik pun,orang dah tahu saya AJK Bahagian.Sekarang peluang saya untuk berbuat baik,ambil pahala. Ah...dah sampai pun rojak-makan....,makan,makan...,makan saja",ajaknya bersungguh-sungguh dengan penuh keikhlasan.

Saya dan D.d sepanjang hujahnya tak menjawab sepatah pun kerana apa yang diceritakannya kami anggap fakta belaka. Kedua kami tak menjawab,kerana mungkin terlalu senang hati kena belanja rojak daging.

Saturday, August 22, 2009



GAMBAR : Baharin (kiri) menyampaikan cenderamata daripada KPM kepada Pengetua SMK Tambulion,Hj.Mad Amin Mad Yusof sambil diperhatikan oleh Ashaari(JPN Terengganu)



Saya masih teringat lagi raut wajahnya dalam perjalanan dari Kampung Piasau ke SMK Tambulion yang diburu keresahan.Beliau sempat bertanya kepada saya samada Tambulion dah ada perubahan atau macamana? Saya katakan kepadanya,tuan lihatlah sendiri perubahan yang ada.


Pengalaman ke Tambulion merupakan pengalaman ke-2 bagi En.Baharin Sabar untuk menilai sudut sumber PPDa. Beliau yang bertindak selaku Ketua Panel Penilai tidak jemu mengelilingi seluruh negara kerana baginya amanat Kementerian Pelajaran Malaysia amat penting untuk disampaikan/dilaksanakan apatah lagi bagi memperkasakan program pendidikan pencegahan dadah di sekolah-sekolah.


Sebelum balik dari SMK Tambulion, beliau sempat mencetuskan suara hatinya kepada pembertita. Saya memikirkan suara hati itu bukan sahaja untuk SMK Tambulion tapi bagi masyarakat Kota Belud. Dipendekkan cerita selepas berita ekoran cetusan suara hati beliau tersiar dalam web Bernama,RTM(Radio dan TV1) dan Bernama TV, sekali lagi beliau mencetuskan suara hatinya melalui sms seperti yang saya coretkan di bawah:-


i. Terima kasih kerana memberi peluang untuk menyuarakan hasrat KPM untuk melihat sekolah bebas dadah 2012 di samping penduduk Kota Belud dapat menikmati jalan yang diturap untuk memberi kemudahan perhubungan antara masyarakat dan sekolah.


ii. Mudah-mudahan suara hati ini membuka lembaran baru kepada masyarakat setempat.InsyaAllah.



Berikut ( di bawah ini ) disertakan salinan berita yang disiarkan dalam laman web Bernama seperti yang dinyatakan di atas.



Berita Sabah
August 08, 2009 15:37 PM

SMK Tambulion Layak Jadi Sekolah Pelancongan Di Sabah


KOTA BELUD, 8 Ogos (Bernama) -- Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tambulion, dekat sini layak menjadi sekolah pelancongan melalaui program pendidikan pencegahan dadah, kata Ketua Panel Penilai Sudut Sumber Pendidikan Pencegahan Dadah, Kementerian Pelajaran, Baharin Sabar.


Menurutnya, kelayakan tersebut berdasarkan komitmen pihak sekolah untuk menarik perhatian sekolah luar, Pertubuhan Bukan Kerajaan(NGO), Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan Jabatan Pelajaran Perak untuk mengadakan lawatan sambil belajar di sudut sumber pendidikan pencegahan dadah (PPDa) sekolah berkenaan.


"Selain itu, kecemerlangan sekolah untuk mengadakan program pendidikan pencegahan dadah melalui aktiviti kurikulum dan kokurikulum wajar dihargai dan dicontohi oleh sekolah-sekolah lain di seluruh negara."Walaupun dikategorikan sebagai sekolah luar bandar, saya kagum dengan usaha murni pihak sekolah yang merealisasikan visi Kementerian Pelajaran 'Sekolah Bebas Dadah Tahun 2012', katanya kepada Bernama di sini.


SMK Tambulion merupakan satu-satunya sekolah di antara 209 buah sekolah di Sabah yang dipilih mewakili Jabatan Pelajaran Sabah untuk penilaian peringkat kebangsaan.Sehubungan itu, Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Normah Gagoh pada 28 Julai lalu mencadangkan agar sudut sumber PPDa sekolah berkenaan dijadikan rujukan oleh sekolah-sekolah lain di Sabah.


Dalam pada itu, Baharin mencadangkan kepada pihak-pihak berkenaan untuk menaikkan taraf jalan raya sejauh 8 kilometer dari jalan raya besar Kampung Piasau untuk memudahkan perhubungan masyarakat dengan sekolah tersebut memandangkan kelayakan sekolah tersebut sebagai sekolah pelancongan pendidikan pencegahan dadah bertaraf kebangsaan.


"Kami kesal kerana jalan raya ke sekolah ini masih berlubang dan berdebu. Bantulah sekolah ini kerana ia akan kerap dilawati oleh agensi luar untuk berkongsi kecemerlangan. Kami hanya mencadang, tetapi biarlah pihak berkenaan yang menjalankan kewajipan untuk kebaikan semua, katanya.-- BERNAMA

Thursday, August 20, 2009



GAMBAR : Pengetua SMK Tambulion,Hj Mad Amin sedang menerima cenderamata untuk sudut sumber PPDa daripada Ketua Pemuda Umno Bahagian Kota Belud,Encik Baharul Sawi.

Sebaik selesai bengkel pemurnian modul bagi program pendidikan pencegahan dadah di di Hotel Midtown,Terengganu, tiba-tiba tergerak hati saya untuk membuka laptop yang mengandungi gambar-gambar lalu.Semasa melihat gambar-gambar anak dan isteri,saya terjumpa gambar Baharul yang turut hadir semasa perasmian sudut sumber PPDa. Saya teringat kata-kata pengetua SMK Tambulion yang menyatakan keterharuannya terhadap sokongan pihak luar seperti Agensi Antidadah Kebangsaan,Jabatan Penjara,PDRM dan Ketua Pemuda Umno Kota Belud, Encik Baharul Sawi.

Saya fikir sumbangan Encik Baharul berbentuk jam gergasi untuk sudut sumber PPDa akan dikenang oleh warga pendidik khususnya SMK Tambulion. Perwatakan beliau yang sangat simple memudahkan pihak sekolah khususnya warga pendidik untuk berurusan dengan beliau. Selain sumbangan jam gergasi,En.Baharul sebenarnya telah menyumbang markah yang besar kepada usaha SMK Tambulion kerana dalam kriteria penilaian, sumbangan daripada NGO dan pemimpin akan memberi markah bonus yang memuaskan.

Maknanya,jika SMK Tambulion mendapat tempat johan/naib johan/ketiga alangkah murninya sumbangan seumpama itu.Tetapi jika pun sekolah berkenaan tidak mendapat tempat seperti yang dinyatakan tadi sekurang-kurangnya Ketua Pemuda Umno Kota Belud telah berjaya membantu KPM terhadap penyampaian mesej PPDa di sekolah-sekolah di mana golongan belia perlu membantu remaja sekolah agar tidak terjebak dengan gejala sosial seumpama itu. Matlamat KPM untuk merealisasikan 'Sekolah Bebas Dadah Menjelang 2012' menjadi realiti jika ada pemimpin muda yang dapat mentafsir matlamat KPM tersebut

Bagi pihak warga SMK Tambulion dan seluruh warga pendidik di Kota Belud, kami mengucapkan terima kasih kepada Ketua Pemuda Umno Kota Belud dan jawatankuasanya.

Wednesday, August 19, 2009


GAMBAR : Semasa bengkel pemurnian modul 5 minit mesej

antidadah.




GAMBAR : Dari kanan,En.Bashrin(KPM),aku,En.Badrul(KPM)dan
En.Suhaimie(JPN Johor) mengabadikan kenangan
di sisi batu bersurat di Monumen Tamadun Islam,K.T

Hari ini, saya masih berada di Kuala Terengganu semata-mata mengikuti pemurnian modul Pendidikan Pencegahan Dadah(PPDa) anjuran Bahagian Pengurusan Sekolah harian, Kementerian Pelajaran Malaysia. Kumpulan saya yang diketuai oleh En.Ashari,Ketua Unit PPDa,JPN Terengganu dipertanggungjawabkan untuk memurnikan modul yang berjudul 'MESEJ 5 MINIT ANTI DADAH' yang perlu dilaksanakan oleh sekolah-sekolah pada setiap perhimpunan mingguan mulai tahun depan. Sebanyak 60 tajuk yang kami murnikan untuk diterbitkan dan diagihkan kepada sekolah-sekolah di seluruh Malaysia.




Apa yang penting, moga sekolah dapat memanfaatkan hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia agar sekolah sifar dadah tahun 2012. Saya fikir inilah salah satu komponen yang terlalu mudah untuk diikuti dan dilaksanakan oleh pihak sekolah. Selepas ini tiada alasan bagi sekolah-sekolah enggan melaksanakan program antidadah,jika pun dicadangkan minggu antidadah itu merupakan program yang membebankan sekolah dan membuang masa bagi pengetua/guru besar/pihak pengurusan sekolah yang amat mementingkan kecemerlangan akademik yang kononnya penentu kecemerlangan kehidupan individu.
GAMBAR: Semasa di Masjid Kristal
Kuala Terengganu.

Dalam kehidupan harian kita pun perlu sentiasa ingat mengingati sesama kita. Pendidikan adalah proses berterusan yakni selagi seseorang masih bernyawa selagi itu ilmu diperlukan. Janganlah ada di antara kita yang memperlekehkan pendidikan pencegahan dadah .Sepatutnya PPDa dilaksanakan berterusan bukannya sekali sekala.Seorang ibu yang mendidik anaknya,bukan setakat memberi nasihat sekali sahaja dalam seumur hidup kita ataupun jarang-jarang kali.Tetapi seorang ibu yang baik akan memberi nasihat kepada anaknya walaupun telah berumahtangga.

Kita tidak mahu generasi kita pada masa akan datang rebah kerana dadah. Cemerlang akademik,tidak menjamin untuk seseorang pelajar atau individu itu untuk tidak terlibat dalam penyalahgunaan dadah. Oleh itu, marilah sama-sama kita bersatu hati untuk mengenepikan pendapat bahawa pendidikan pencegahan dadah adalah tidak penting. Jangan dah terhantuk baru terngadah.Sekian yang saya dapat coretkan dari Kuala Terengganu.

Monday, August 17, 2009



Komposer terkenal Norzaini Mohd atau lebih dikenali dengan panggilan Awang BPR ingin membantu industri muzik di Sabah. Hasrat itu dinyatakan kepada saya semasa kunjungan singkatnya di Kota Belud baru-baru ini.

Awang yang terkenal dengan lagu ciptaannya ‘Luka dilukai’ nyanyian Shima, ‘Umpama Mimpi dalam Mimpi’ ( Dramasutra) dan ‘Patahnya SayapMalam(Kumpulan Massa). Beliau yang sempat bermalam selama dua hari di sini kagum dengan keunikan Kota Belud dan menurutnya daerah ini telah ada jenama.

“Saya difahamkan, ramai anak muda yang berbakat besar dalam seni muzik tetapi tidak sampai ke mana. Saya ingin berkongsi pengalaman dan membantu mereka untuk maju dalam bidang ini”, katanya.

Beliau amat kagum dengan keunikan budaya pelbagai etnik di Sabah serta ingin memanfaatkan rentak muzik setiap etnik untuk diperkenalkan di seluruh Malaysia.

”Saya sungguh tertarik dengan melodi lagu setiap suku kaum di Sabah. Irama sumazau dapat diterima di negeri-negeri lain di Malaysia asalkan senikatanya dimelayukan sepenuhnya. Selain itu, saya ingin mengkaji dan mengumpul irama muzik tradisional semua suku kaum di Kota Belud demi mengintegerasikan industri muzik di Malaysia”, katanya.


" Di sini tenang dan damai.Saya cukup selesa di sini ",katanya yang sempat meninjau kampung kimo-kimo. Selepas ini,beliau menyatakan hasratnya untuk kerap ke Kota Belud selepas mendapat suatu ketenangan dan inspirasi buatnya untuk terus berkarya menulis lirik lagu.

Gambar kami seperti di atas dirakam di KB sebelum beliau dihantar ke lapangan terbang antarabangsa Kota Kinabalu. Saya amat kagum dengan semangat juangnya dalam seni apatah lagi untuk mengintegerasikan seni di mana memilih Kota Belud sebagai tempat peranginannya untuk mencari ketenangan dan sumber inspirasi. Mungkinkah "Aku Hanya Serangga(ii)" bakal dihasilkan selepas balik dari Kota Belud. sama-sama kita tunggu.

Sunday, August 16, 2009

GAMBAR DI ATAS:
Datuk Masidi sedang meneliti hasil kerja murid-murid KRK sambil diperhatikan oleh Timbalan Pengarah Pelajaran Sabah,Hj.Muhiddin Yusin.

August 15, 2009 19:05 PM

Sabah Perlu Lebih Banyak KRK Di Sekolah Luar Bandar

KOTA BELUD, 15 Ogos (Bernama) -- Sabah memerlukan lebih banyak Kelas Rancangan Khas (KRK) terutamanya di sekolah luar bandar, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Masidi Manjun.

Katanya, kelas khas itu, yang diwujudkan sebagai alternatif kepada pelajar sekolah rendah yang cemerlang tetapi tidak berpeluang meneruskan persekolahan di sekolah berasrama penuh, mampu memberi harapan kepada pelajar berkenaan untuk meneruskan kecemerlangan.
"KRK hanya dapat dilaksanakan di Sabah pada tahun ini walaupun penubuhannya dilaksanakan sejak 1970 lagi," katanya pada majlis pelancaran KRK peringkat negeri di Dewan Pekan Kota Belud II di sini, Sabtu.
Dalam pada itu, Masidi, yang juga Exco pelajaran negeri, meminta pengurusan KRK agar mengambil aspek lain dalam usaha memperkasakan KRK di luar bandar, termasuk penyediaan kemudahan yang kondusif bagi pembelajaran pelajar.
Sementara itu Timbalan Pengarah Pelajaran Sabah Muhiddin Yusin berkata sebanyak lapan buah sekolah dipilih pada tahun ini sebagai projek rintis KRK.
Katanya pelajar yang layak memohon KRK mestilah memperoleh sekurang-sekurangnya 4A 1B atau 4A 1C atau 3A 2B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).-- BERNAMA

Friday, August 14, 2009

JUMAAT,JAM 5.20pm- Saya menunaikan janji bertemu kawan lama di restoran mayang sari, Kota Belud kerana katanya ada bisnes menguntungkan yang dia nak kongsikan. Kawan lama saya tu dah mampu pakai kereta Prado King walaupun baru 6 bualan menceburi bidang itu. Dalam perkongsiannya dengan saya, beliau aktif menjalankan bisnes yang beliau katakan multi level marketing (MLM).

"Awak tak mau dapat RM15 ribu sebulan?"
"mau, mau. Siapalah tak mahu jika pendapatan mengalahkan gaji", jawabku ghairah.
"nah kau tengok ini.lumayankan", katanya sambil menunjukkan cek berjumlah 15 ribu ringgit.

Menurut kawan lama saya tu, perniagaan tersebut boleh dilakukan secara sambilan oleh kakitangan kerajaan mahupun di sektor swasta. Menurut kawan saya tu prinsip perniagaan ialah 3D(diam-diam duit). Tapi sayang pertemuan terlalu singkat (hanya 40 minit sahaja). Akhirnya, saya berjanji untuk memikirkan perkara itu terlebih dahulu kerana ada komitmen lain.

Persoalannya sekarang, saya tiada ilmu dalam bisnes apa lagi yang diistilahkan dengan MLM ini. Bagi saudara-saudaraku yang mungkin berpengalaman saya pulangkan soalan ini. Mungkin ada di antara saudara yang berjaya, ataupun sedang melaksanakan bisnes ini. Bagaimana cara? Tolonglah beri pendapat dan tips untuk berjaya atau sebaliknya!

Thursday, August 13, 2009

Awal pagi kelmarin,sebaik tiba di pejabat saya agak terkejut juga apabila rakan-rakan memakai penutup mulut. Kelainan itu menyebabkan saya berfikir sejenak. Selepas itu, tanpa ragu-ragu saya tak mahu bertanya kerana yakin mereka sedang mengamalkan langkah keselamatan atau berjaga-jaga kerana wabak H1n1 yang melanda dunia sangat serius walaupun dalam keadaan terkawal seperti dinyatakan dalam media.


"Sekarang dah ada kes cikgu. Guru yang kena ni. sekarang dalam wad kecemasan", tiba-tiba salah seorang pembantu tadbir pejabat memberitahuku. Mungkin melihat telatahku yang tak ambil kesah di atas perlakuan mereka.

"Ada ubat pencegahankah?tanyaku.
"Jika belum kena tak ada cikgu. Kita diminta hati-hati. Biasanya kuman menjangikiti melalui udara dan sentuhan. Kena hati-hati jika berada di restoran kerana mungkin meja disentuh oleh orang terkena kuman itu. mesti suci tangan bersih-bersih. Penutup ini boleh halang kuman masuk ke badan. Doktor galak makan vitamin C sebab orang yang mudah terkena penyakit ini pesakit selesma, ampus dan darah tinggi. Biasanya kuman akan berada selama 7 hari dalam badan. Jika tak kuat antibodi, seseorang jatuh sakit dan jika dibiarkan bawa maut", katanya lagi.

Baru hari ini saya telah mendengar penerangan sedikit pencegahan tentang wabak itu. Mungkin banyak perkara lagi perlu aku ketahui. Syukurlah saya dah tahu serba sedikit. Tapi macamana di kampung-kampung. Seharusnya JKKK perlu buat peranan bantu kerajaan untuk menjelaskan perkara ini. Minta risalah di pejabat kesihatan yang berdekatan. Agensi dan jabatan kerajaan yang lain perlu bersedia lebih awal dengan menubuhkan jawatankuasa bertindak. Bukannya dah terhantuk baru terngadah.Petang ini, di sekitar pekan kota belud dah ramai orang memakai penutup hidung dan mulut. Saya pun baru terfikir nak tiru orang lain pakai itu, tetapi stok dah habis di farmasi. Esok datang farmasi lagi.

Hari ini Timbalan Perdana Menteri mengharapkan agar pengetua dan guru besar perlu merujuk kepada pegawai kesihatan terlebih dahulu sebelum menutup sekolah.Hanya murid-murid yang terlibat dijangkit sahaja yang dikeluarkan dan dikuarantin. Betul juga, jika sekolah asyik ditutup murid juga yang dapat rugi.

Saya menunggu ketibaan rombongan panel pinilai sudut sumber pendidikan pencegahan dadah pada 4 Ogos lalu. Semasa penantian di lapangan terbang antarabangsa di Kota Kinabalu, saya sempat melihat sambutan orang-orang penting dalam dunia perfilamen sempena Festival Filem Malaysia yang berlangsung di UMS.

Sekitar jam 6.10pm rombongan penilai daripada KPM telah sampai.Pada mulanya mereka hendak menginap di bandar KK.Saya menjelaskan kepada mereka ada sedikit kepayahan perjalanan ke SMK Tambulion. Sebenarnya mereka hadir ke Sabah kerana semata-mata untuk menilai sudut sumber PPDa SMK Tambulion yang mewakili Jabatan Pelajaran Sabah ke peringkat kebangsaan.

SILA LIHAT : http://ppda-kotabelud.blogspot.com

Seorang daripada mereka bertanya,berapa jam boleh sampai? Dari KK ke KB hanya satu jam setengah jika jalan sederhana,dari KB ke SMK Tambulion 30 minit. Maknanya jumlah masa hanya 2 jam sahaja.

Bah..,kalau begitu kami tidur di KK aje,kata salah seorang daripada rakan dalam rombongan itu yang cuba mengikut logat Sabah.

’Ok, kalau begitu jam 7.00 kita mesti bertolak dari KK,sebab acara bermula jam 9.00 pagi” saya jelaskan kepada mereka. En.Baharin selaku ketua panel penilai hanya mendengar sahaja.

”kita pergi tempat minum dulu,baru ada jalan penyelesaian”, ajakku.Tanpa membuang masa kami pergi minum di Restoran Rohayu bersebelahan dengan masjid negeri. Saya lihat mereka terlalu letih kerana pagi tadi mereka menilai sudut sumber ppda di salah sebuah sekolah di Kuching, Sarawak. Saya difahamkan mereka tak sempat untuk bersiar-siar. Mungkin juga tak sempat beli ikan terugug.

Dalam pemerhatian saya ada di antara mereka ingin membelikan orang tersayang kristal di gerai filipina(nama dulu). Tak kurang juga yang merindui isteri dan anak tersayang walaupun baru sehari berpisah. ”Semua kumbang durjana,hanya sekuntum bunga yang dimiliki”,kata En.Baharin bergurau. En.Baharin sepanjang yang saya kenali sejak tahun 2004 lagi dalam ceramah-ceramahnya merupakan seorang penceramah yang saya minati kerana daya tarikannya melalui gurauan dan madah-madah pujangganya. Akhirnya En.Baharin memutuskan untuk menginap di Kota Belud kerana masalah driver yang bukan driver pejabat/ jabatan tetapi driver disewa khas dari Kota Belud.

Sepanjang perjalanan dari kk ke kb, rombongan tak kering gusi kerana mendengar telatah yang menggelikan hati sesama sendiri. Tidak kurang juga kehebatan En.Baharin yang bergurau dengan bahasa tamil. ”Di Tambulion dah ada perubahankah?”,tanya beliau kepada saya ketika melintasi kampung Bunga, Tenghilan. ”Sudut dah berubah”,jelasku ringkas. Orangnya, masihkah seperti dulu?tanya beliau lagi yang pernah menilai SMK Tambulion tahun lalu.Yang lain muka baru termasuk seorang wanita dari JPN W.Persekutuan KL. ”Orang lama masih di situ,masih mesra seperti dulu”, jawabku.Kami terus berbual sehinggalah sampai ke tempat penginapan yang tak berbintang.

5 Ogos 2009, Jam 8.40am- kami bergerak dari pekan kb ke smk tambulion. Bas yang dinaiki agak perlahan kerana driver yang membawa kami risau basnya patah absover.Jalan berbatu tapi berdebu. Kami melalui dua anak bukit.sedikit tergelincir di situ kerana driver tak biasa bawa jalan macam tu. Saya merisik kepada salah seorang daripada mereka tentang sekolah-sekolah di semenanjung macamana? Dia kata, tak pernah terjumpa jalan seumpama ini.

”Bahaya juga jalan ni,jika perempuan hamil 5 bulan boleh gugur, katanya selamba sambil tersenyum. ”Siapa wakil rakyat di kawasan ini?. Soalan demi soalan diajukan,saya jawab,no komen sebab di luar bidang saya. Apa yang saya utarakan hanyalah suara hati orang jauh.Mungkin juga suara hati 1Malaysia.

Menurut apa yang saya tahu,negeri-negeri di semenanjung mempunyai kemudahan infrastruktur sepert jalanraya di kawasan sekolah diutamakan. Malahan bangunan sekolah-sekolah rendah adalah konkrit tidak lagi bangunan kayu sepert zaman 50-an dan 60-an. Tapi apapun terima kasih kepada pihak berkenaan yang sentiasa merancang,merencana kemudahan sekolah pada masa-masa akan datang.

Terima kasih kerana mendengar keluhan dan suara hati daripada orang kerdil yang tak punya apa-apa. Percayalah apapun yang diluahkan baik orang dekat ataupun jauh adalah untuk kebaikan 1Malaysia, kerana mereka pun mungkin merasakan 1jasad dan derita dengan kita di sini. Mudah-mudahan semangat 1Malaysia akan membuka lembaran baru kepada kita semua di Sabah khusunya bagi penduduk Kota Belud. -BERSAMBUNG

Tuesday, August 11, 2009

Sehari selepas berita disiarkan melalui radio, akhbar tempatan dan laman http://www.bernama.com/ mengenai SMK Tambulion jadi sekolah pelancongan di Sabah, saya di tanya dengan beberapa soalan? betulkah itu?benarkah tu?Siapa yang datang?Pengarah Pelajaran ada datangkah?Datuk Normah ada umumkah? Saya tak faham samada mereka yang bertanya itu mempertikai tentang kelayakan sekolah itu ataupun tidak, kerana bagi saya mereka tak bersalah untuk bertanya. Bagi saya,lebih banyak pertanyaan lebih baik untuk mempercambah minda.

Tiada yang mustahil, jika pun SMK Tambulion jadi sekolah pelancongan suatu masa kelak. Cuma kesungguhan semua pihak amat perlu untuk merelisasikannya.Seorang rakan dari luar daerah memberitahu saya: saya rasa geli hati dengan berita itu. Saya tanya,kenapa?

"Macamana saya tak gelihati bila berita penuh SMK Tambulion dibaca sebagai pelancongan untuk program-program dadah dan sudut sumber pendidikan pencegahan dadah? Setahu saya sesebuah tempat pelancongan ini ialah lokasi yang menarik dan mempunyai lanskap yang indah lain dari yang lain. Kenapa di Kota Belud tiada tempat pelancongankah? Tapi ini lain pula,baru pertama kali saya dengar pelancongan untuk program pencegahan dadah? kata sahabat saya itu.

Saya hanya tersenyum sahaja,masih belum boleh mengulas terhadap perkara yang menggelikan hatinya itu. Biar persoalan itu akan menjadi kenyataan suatu hari kelak. Cuma yang saya tahu SMK Tambulion kerap kali dilawat oleh sekolah-sekolah di dalam dan di luar daerah yang ingin berkongsi maklumat mengenai bahaya dadah. Demikian juga Institut Perguruan Kent dan Jabatan Pelajaran Perak yang akan melawat dalam tempoh terdekat ini. Mereka tidak hanya mencari maklumat dalam buku semata-mata tapi mereka yakin sesuatu pembelajaran itu menjurus kepada praktikal seperti kewujudan sudut sumber dadah SMK Tambulion yang mewakili Jabatan Pelajaran Sabah hingga ke peringkat kebangsaan.

Siapa sangka sekolah yang pada awalnya tidak dikenali menjadi kunjungan agensi luar. Satu-satunya sekolah di antara 209 buah sekolah menengah yang disebut di Sabah. Menurut pengetua sekolah Hj Mad Amin Mad Yusof, sebelum orang mengenali SMK Tambulion ramai rakan guru menyangka ianya terletak di Tambunan. Tapi selepas sekolah dapat merealisasikan impian kementerian, nama sekolah dikenali bukan sahaja di luar Kota Belud malahan hingga ke negeri-negeri di semenanjung.

Persoalannya adakah kelayakan SMK Tambulion sebagai sekolah pelancongan hanya tinggal sebagai suara hati sahaja? Pihak-pihak berkenaan juga harus buat peranan,bukannya main peranan. Akibat terlalu bermain dengan peranan jalanraya ke sekolah tersebut masih berhabuk dan berdebu. Mungkinkah itulah yang menggelikan hati orang bila disebut sekolah pelancongan kerana lokasinya di dalam hutan, jalanraya berdebu, berhabuk dan batunya sebesar genggaman penumbuk. Ataupun perkara kedua yang menggelikan hati mereka kerana pelancongan dikaitkan dengan program dadah?

Monday, August 10, 2009

Kewujudan blog suara hati ini bukan setakat suara hati dalam diri. Suara hati ini mewakili suara hati yang terpendam. Suara hati ini terilham sejak orang enggan bersuara, malu bersuara dan mungkin tak akan bersuara sampai bila-bila. Sebagai rakyat Malaysia, siapakah lagi yang perlu mewakili suara hati mereka. Suara hati ini lahir daripada orang kerdil,yang tak punya apa-apa kuasa. Hanya lidah yang tak apa-apa. Semoga suara hati ini dapat didengari dan dihayati. Suara hati ini adalah perjuangan jika dikatakan membawa mesej perjuangan,bukan sebagai paksaan.Suara hati ini sekadar lukisan sebenar terhadap sebuah kenyataan hakiki.