Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Tuesday, November 17, 2009

HIDUP

Hidup adalah hakikat tanpa batas
Sebuah mimpi hakiki
Tak ada ruang untuk berselindung
Selain wajahnya yang terpancar
Dari balik dinding nafsu berahi
Malam yang menutup matahari
Memancarkan wajah siang gemilang.
Kita cuba menyingkap rahsia masa
Yang pernah bersumpah janji setia
Bukan bulan bukan matahari
Tapi jiwa merdeka ini
Dari hembusan nafas kasih sejati.
Suara kebenaran
Menyatakan rindunya
Wajah kebenaran
Menyatakan cintanya
Terhadap sebuah nama
Perkasihan abadi.
Maka siang di sini hanya sementara
Menguji setia dan janji.
Benarkah kehidupan ini satu rahsia,
Atau kebenaran itu adalah kehidupan.
Di mana kau sembunyikan kertas catatan
Tentang nasib dan sembilan puluh sembilan nama
Dalam kamus erti hidup.
Dimanakah kau rahsiakan
Namamu yang satu wahai kebenaran,
Jikalau tidak dalam jubah lambung sang kekasih.
Namun tak berani menyatakan cinta hakiki
Kerana kebenaran selalu dihukum oleh zaman.
Walau pun tak terdaya kita berpisah walau sesaat
Kerana urat dan denyut jantung makrifat
Sentiasa mengingatkan kita tentang rahsia cinta.
Siapakah yang bisa memisahkan masa dan detiknya,
Jantung dan denyutnya, urat dan lehernya, darah dan merahnya,
Api dengan panasnya, gula dengan manisnya, rindu dengan dendamnya.
Maka mati itulah cintanya mati itu rindunya mati itu tidur panjang kehidupan.
Tak dibatasi ruang dan waktu selain cinta agong maha suci.
Maka hidup ini sebuah percintaan yang hakiki tanpa ruang tanpa batas,
Hanya jubah nafsu ini tak memperlihatkan tubuh kebenaran,
Kalau-kalau masih ada para iblis yang menyelinap memperdaya cinta
Dengan nafsu berahinya yang menyesat pada saat hayat sekarat.
Maka biarlah rahsia ini terpendam dalam diam kasih berpandangan
Dalam kalimat nafas rahsia; saat perpisahan engkau menempuh jalannya,
Hanya satu tiang menuju aras;kau hanya perlu bertenang menempuh saat getir.
Bersama lafaz kata rahsia cinta engkau memandang keruang cahaya gemilang,
Lalu pandangan kau pun bersatu rahsia bersatu dalam rahsia yang satu;
Lalu kau pun sirna dalam nikmat rahsia gemilang rahmat perkasihan abadi.
4.9.2009
Ramadhan
Kudat.

SAJAK TANGGANG

Apakah setiap orang harus menjadi tanggang
Pada setiapkali mencipta cemerlang?
Tanggang berada di mana-mana sekarang
Dalam lagenda atau di zaman merdeka ini pun
Ada tanggang yang mencanai wawasan
Yang bertolak dari pelusuk daerah kedaifan
Mengharung gelombang nasip di lautan
Lalu menempah sejarah di bahtera peradaban
Menjadi kelasi yang cekal dan pintar.
Tanggang kemudian menjadi juragan
Kapal bahtera benua kemerdekaan
Sehinggah telah menguasai hati seorang raja
Lalu berkahwin dengananak raja puteri jelita
Lalu menjadilah dia sang kaya raya
Lalu menjadi pula pewaris kuasa sebuah taktha
namun namanya masih tetap tanggang,
Raja tanggang pemuda yang berasal dari daerah kedaifan.
Raja tanggang pemuda yang berasal dari daerah kedaifan
Hanyut dalam arus kegemilangan dunia kekuasaan
Tanggang telah hilang pedoman dan tumpas haluan,
Dia malu pada kedaifan masa lalu
Dia malu mengaku pada wajah hodoh ibu
Dia malu menatapi mata kekasih sejati
Tanggang telah hilang jiwa jati diri
Hanya kerana seorang bidadari puteri
Tanggang tenggelam ke dalam laut keegoaan
Tanggang tenggelam ke dalam mendak lumpur kesombongan
Tanggang hancur merempuh terumbuh batu penderhakaan.
Dalam ribut badai zaman penuh goda dan perdaya
Tanggang mencipta lagenda anak zaman derhaka
Setelah Berjaya mencipta cemerlang jaya.
Meski pun demikian tanggang tetap gemilang
Tetap menjadi ceritera lagenda yang tak terlupakan
Kerana tanggang pun pernah menjadi perwira lautan terbilang.
Tetapi apakah setiap orang harus menjadi tanggang
Pada setiapkali mencipta gemilang zaman,
Untuk kemudian dibatubekukan sebagai metos dan lagenda peradaban.
Siapakah di antara kita yang bercita-cita untuk menjadi tanggang?
Siapakah di antara kita yang masih tanggang?
Siapakah tanggang?
1998-2006