Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Saturday, June 19, 2010






Pemimpin Diingatkan Jalan Tugas Penuh Tanggungjawab

KOTA BELUD : Para pemimpin masyarakat diingatkan agar menjalankan tugas dengan penuh amanah seperti mana yang telah diarahkan oleh kerajaan.

Penasihat Sains Kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Salleh Said berkata usaha memerangi penyalahgunaan kuasa amat penting dipraktikkan kepada diri sendiri terlebih dahulu sebelum ianya diperangi kepada orang lain.

“ Jika seseorang pemimpin dan kakitangan kerajaan menjalankan ntugas dengan penuh amanah , InsyaAllah mereka dilimpahi dengan keberkatan hidup kerana Tuhan tahu usaha jujur yang dilaksanakan,” katanya semasa merasmikan penutupan Kepimpinan Berintegriti SuruhanJaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) bertempat di Dewan Tun Said dekat sini, kelmarin.

Program tersebut dianjurkan oleh Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat DUN Usukan di mana ianya disertai oleh 150 orang peserta yang terdiri daripada Ketua-Ketua Daerah,Ketua-Ketua Kampung, dan Pengerusi JKKK.

Salleh berharap agar para peserta dapat membantu SPRM memerangi penyelewengan dan rasuah hingga ke peringkat akar umbi.

“Jangan sampai melakukan amalan yang tidak baik itu sebagai satu tabiat. Jika telah menjadi tabiat ianya menjadi kebiasaan dan sukar dibendung walaupun tahu ianya tidak baik,” katanya.

Beliau berharap agar usaha murni untuk membantu SPRM ini dijadikan satu amalan murni bagi membenteras rasuah di Negara ini dan moga setiap individu dapat ditanamkan dengan rasa anti rasuah.

“Jika kita bekerja dengan penuh tanggungjawab dan sentiasa membantu SPRM memberi maklumat dengan penuh komitmen, saya yakin Malaysia akan bebas daripada rasuah," katanya.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Penolong Pengarah SPRM Sabah, Mohd Fuad Bee Hj Basrah Bee dan Penolong Pegawai Daerah Kota Belud, Asrin Sadi.

Friday, June 11, 2010



KOTA BELUD : Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Herbert Timbun Lagadan telah mengumumkan peruntukan sebanyak 5 ribu ringgit untuk pengelolaan Karnival Bahasa KadazanDusun Peringkat Daerah Kota Belud mulai tahun depan.

Beliau berkata sumbangan itu diberikan kerana memikirkan betapa pentingnya pemuliharaan bahasa tersebut yang untuk generasi kini dan masa akan datang.

“Saya bimbang jika pengamalan bahasa Kadazan Dusun diabaikan oleh generasi muda, lambat laun bahasa ini akan pupus ditelan zaman katanya semasa merasmikan Karnival KadazanDusun Peringkat Daerah Kota Belud.

Herbert juga mengucapkan penghargaan terima kasih kepada Pejabat Pelajaran Daerah Kota Belud kerana berusaha bersungguh-sungguh untuk menjayakan pengelolaan carnival tersebut.

Sementara itu, Pegawai Pelajaran Daerah Kota Belud, Abdul Bahkrin Hj Mohd Yusof berkata usaha sedang giat dilakukan agar penggunaan bahasa ini terus dilaksanakan di sekolah-sekolah.

Menurut beliau, Institut Perguruan Keningau akan memperkenalkan opsyen Bahasa KadazanDusun menjelang tahun 2012.

Sunday, June 6, 2010



MESYUARAT AGUNG PIBG… Penasihat Sains Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said baru-baru ini telah merasmikan mesyuarat Agung PIBG SMK Arshad. Serentak dengan itu beliau telah menyampaikan intensif kepada pelajar cemerlang dalam peperiksaan PMR,SPM dan STPM 2009.

Seramai 33 orang telah menerima sumbangan intensif tersebut daripada Salleh, di mana pelajar terbaik STPM seramai 11 orang telah menerima wang tunai sebanyak 1 ribu ringgit setiap seorang, SPM seramai 12 orang menerima 750 ringgit dan PMR seramai 10 orang menerima 500 ringgit setiap seorang.

Dalam ucapan perasmiannya, Salleh meminta ibu bapa agar menitiberatkan ilmu untuk masa depan anak-anak mereka.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengerusi PIBG SMK Arshad, Abdullah Nawawi dan Pengetua sekolah berkenaan, Latifah Mustakim

“Tanpa ilmu, halatuju anak-anak untuk mencapai kehidupan yang lebih cemerlang tidak akan tercapai,” katanya.

Kelihatan Salleh sedang menyampaikan sumbangan kepada salah seorang pelajar sambil disaksikan oleh Abdullah dan Latifah.

Tuesday, May 25, 2010


GAMBAR ATAS : SSK MELAWAT HASIL PRODUK KRAFTANGAN WANITA

JASSAMU DIKENANG.... SSK MENGABADIKAN KENANGAN BERSAMA HAJAH LAILAH RADIN

GAMBAR : Eyung menyampaikan cenderahati kepada Salleh

UMNO UTAMA KESEDERHANAAN BERPOLITIK,KEHARMONIAN KAUM

KOTA BELUD: Politik ekstrim yang diamalkan oleh sesetengah pihak di negara ini hanya merugikan rakyat dan tidak mendapat tempat di kalangan rakyat dalam negara ini, kata Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah datuk Seri Salleh Tun Said.

Dalam hal ini,katanya,Umno yang menjadi tonggak pemerintahan negara,sentiasa mengutamakan kesederhanaan berpolitik dan mementingkan kestabilan dan keharmonian kaum.

“Walaupun berlainan ideologi, kita seharusnya terus menjaga kestabilan demi kebaikan bersama. Bagi Umno, kita sentiasa menerima kritikan yang membina untuk kesejahteraan semua pihak,”katanya selepas merasmikan Hari Keluarga anjuran Majlis Pembangunan Wanita Parlimen Kota Belud dengan kerjasama Wanita Umno Bahagian Kota Belud dekat sini kelmarin.

Salleh yang juga memegang jawatan berstatus menteri iaitu Penasihat Sains kepada Ketua Menteri, berkata Umno adalah parti yang membela nasib rakyat tanpa mengira kaum dan fahaman politik.

“Sebab itu program ini disebut juara rakyat dan bukannya juara Umno atau Barisan Nasional kerana ianya bukan untuk ahli Umno semata-mata tetapi ianya memerlukan penglibatan semua kaum tanpa mengira fahaman politik,” katanya.

“Politik hari ini bukan lagi seperti politik di zaman 10 atau 20 tahun yang lalu kerana dunia tanpa sempadan memerlukan pemimpin sentiassa peka terhadap permasalahan dan segera turun padang untuk merungkaikan permasalahan, “ katanya.

Sehubungan itu, Salleh menggesa golongan muda agar tampil untuk memberi pandangan membina melalui laman blog atau facebook, tetapi bukannya pandangan melulu yang boleh mengaibkan negara. - BERNAMA

Monday, April 19, 2010






SEMINAR PIBG….. Timbalan Pengarah Pelajaran Sabah, Hajah Maimunah Suhaibul telah merasmikan Seminar PIBG di Sekolah Kebangsaan(SK) Pandasan, Kota Belud,kelmarin(5 April 2010).

Dalam ucapan perasmiannya, Maimunah meminta ibu bapa dan guru-guru mengadakan permuafakatan untuk meningkatkan kualiti murid iaitu elemen pertama perhatian ibu bapa terhadap kebersihan anak-anak,elemen kedua,kualiti pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah dan ketiga mewujudkan persekitaran dan suasana yang aman damai di sekolah.

“Saya yakin SK.Pandasan akan melahirkan insan berkualiti jika ibu bapa dan guru memupuk persefahaman dan budaya bekerjasama,” katanya.

Maimunah juga meminta agar ibu bapa sekolah-sekolah di Sabah agar mencontohi SK.Ulu Labai,Limbang yang telah mewujudkan kerja berpasukan untuk memajukan sekolah walaupun sekolah tersebut terletak di pedalaman Sarawak.

Turut hadir ialah Pegawai Pelajaran Daerah Kota Belud,Abdul Bahkrin Hj Mohd Yusof. Seminar tersebut diisi dengan ceramah “Peranan dan Tanggungjawab ibu bapa kea rah Kecemerlangan anak-anak” yang disampaikan oleh Hajah Ananglangka Mad Kassim daripada SMK Perempuan Likas.

Tuesday, April 6, 2010


GAMBAR DI ATAS : STELLA BERSAMA ISTERI SAYA(KIRI) dan KAKAK SEPUPU, HALIMAH

GAMBAR DI ATAS : BERSAMA PEGAWAI PERANCANG BAHASA(SASTERA),ENCIK NADIN HJ SALLEH


GAMBAR ATAS : SAYA DAN PENGARAH 'AKTA BATIN', A.KARIM KADIR




GAMBAR ATAS : A.KARIM MENGABADIKAN KENANGAN BERSAMA ANAK-ANAK(KIRI) dan KELUARGA SAYA(SEBELAH KANAN)

Pada 3 April (Sabtu) lalu, saya dan keluarga telah hadir memenuhi jemputan Stella dan Malek ke Majlis Kenduri Perkahwinan mereka di Kinarut. Malek,30 yang berasal dari Kuala Lumpur dan Stella,32 telah diijabkabulkan pada 1 April dengan disaksikan oleh kedua-dua keluarga mereka. Stella yang merupakan pelakon teater dan telemovie,manakala Malek banyak terlibat dalam tugasan belakang tabir iaitu Jurugambar filem, drama tv dan penata cahaya teater selain cameraman untuk iklan di TV. kedua-dua mereka mula bertemu semasa penggambaran Misteri Balan-balan di Kota Belud.


Mereka terlibat dalam pementasan 'Akta Batin' di mana Stella sebagai pelakon utama, manakala malek bertindak sebagai penata cahaya dan muzik. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah rakan-rakan teater di antaranya A.Karim Kadir, Hj Mancu Kula,Pegawai Perancang Bahasa(Sastera),DBP Sabah, Naddin Hj Salleh.

saya dan keluarga mengucapkan SELAMAT PENGANTIN BARU UNTUK ANDA BERDUA. MOGA KEKAL SELAMA-LAMANYA

Friday, April 2, 2010






KOTA KINABALU : Belum setahun Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih tampuk kerajaan, rakyat di Sabah sudah merasai transformasi pembangunan Perdana Menteri ke arah menceriakan kehidupan rakyat di pedalaman.

Banyak perubahan dialami di seluruh pelusuk negeri baik di kampung mahu pun di pekan.

Di pantai utara Sabah, penduduk di Kota Belud yang terkenal sebagai ‘Pekan Koboi’ mengukir senyuman membayangkan nikmat pembangunan yang dirancang iaitu menaik taraf jalanraya ke kampung-kampung dan sekolah-sekolah di luar bandar.

Menurut Ketua Daerah Kota Belud, OKK Tungking @ Amirshah Kantiong, projek dalam anggaran RM30 juta itu dilaksanakan tidak sampai setahun pentadbiran Najib sebagai Perdana Menteri.

Begitu juga dengan program agropolitan untuk membasmi kemiskinan, menjana ekonomi petani melalui jelapang padi di Kota Belud dan projek bekalan elektrik luar bandar.

“Melalui program turun padang dan Juara Rakyat yang dianjurkan Perdana Menteri menggerakkan semua wakil rakyat dan pemimpin masyarakat untuk mengenal pasti permasalahan di peringkat akar umbi,” kata Tungking.

Sunday, March 28, 2010













KOTA BELUD : Semua Pejabat Pelajaran Daerah di Sabah merupakan pusat kecemerlangan pendidikan baik dalam pengurusan pentadbiran mahupun peningkatan akademik, kata Pengarah Pelajaran Sabah,Dr.Muhiddin Yusin semasa program Jerayawara Jabatan Pelajaran Sabah Peringkat Daerah Kota Belud dan Ranau di Dewan SMK Pekan II, Kota Belud dekat sini.

Menurut Muhiddin, PPD merupakan benteng terhadap penyelesaian masalah di peringkat akar umbi sebelum ianya dikemukakan ke peringkat Jabatan dan beliau mengharapkan semua pengetua dan guru besar memberi kerjasama sepenuhnya kepada PPD untuk pembangunan pendidikan di Sabah.

“Elakkan persengketaan di antara kita,sebaliknya bersatulah kita warga pendidik untuk mencemerlangkan pendidikan di Sabah melalui permuafakatan di peringkat sekolah dan PPD agar kita cemerlang dalam kurikulum,kokurikulum,pentadbiran,pembangunan dan pengurusan kewangan”,katanya.

Beliau juga mengharapkan agar warga pendidik tidak salah menyalahi dalam menjalankan tugas dan budaya tersebut perlu dikikis serta merta.

“Perlu diingat janganlah kita salah menyalahi di antara kita, jika kita ikhlas untuk cemerlang,sebaliknya kita perlu bersatu melaksanakan tugas walaupun bidang tugas orang lain yang perlu kita laksanakan dalam sekelip mata”,katanya.

Muhiddin merayu kepada pihak pentadbiran sekolah agar memberi makluman kepada beliau terlebih dahulu sebelum sesebuah sekolah membuat pembaharuan dan peraturan,agar beliau senang menjawab sebarang permasalahan kerana prinsip beliau ialah mempertahankan warga pendidik dari sebarang tohmahan yang tidak berasas.

“Jangan risau,saya akan bersama anak-anak buah dan berganding bahu untuk mempertahankan anda terhadap sebarang perubahan ke arah kebaikan. Sebarang komplen yang tidak berasas saya ketepikan,yang penting anda benar menjalankan tugas dengan dedikasi”, katanya.

Beliau mengharapkan agar pemimpin sekolah agar dapat menyahut tujuh cabaran Jabatan Pelajaran Sabah,sesuai dengan tema program tersebut iaitu “Bersama Memacu Pendidikan di Sabah”.

Dalam program tersebut turut diadakan taklimat daripada Ketua-Ketua Sektor di Jabatan Pelajaran Sabah. Turut hadir ialah Pegawai Pelajaran Daerah Kota Belud,Abdul Bahkrin Mohd Yusof dan Pegawai Pelajaran daerah Ranau,Rusining Rusidi.

GAMBAR

1. Muhiddin(kanan) menerima cenderakenangan daripada Bahkrin
2. Muhiddin bermesra dengan guru besar daerah Kota Belud dan Ranau selepas majlis itu.
3. Muhiddin diiringi oleh Bahkrin (dua dari kiri),Ketua penolong Pengarah,Hj Said Andong(kiri sekali), Rusining (kanan) bersama JK sambutan majlis itu.
4. Di antara Pengetua sekolah dan warga Jabatan Pelajaran Sabah yang hadir.

Thursday, March 25, 2010




KOTA BELUD : Jerayawara Pengarah Pelajaran Sabah,Dr.Muhidin Yusin peringkat daerah Kota Belud dan Ranau akan diadakan pada 27 Mac 2010 bermula jam 8.00 pagi bertempat di Dewan SMK Pekan II Kota Belud.

Jurucakap penganjur, Aziz Zaman (gambar) berkata jerayawara yang bertemakan ‘Bersama Memacu Pendidikan di Sabah’ bertujuan untuk menyampaikan amanat Pengarah Pelajaran Sabah sehingga ke akar umbi di samping para pelanggan yang tidak dapat berurusan dengan JPN kerana jarak yang jauh akan dapat berurusan ketika itu.

Menurut Aziz, Jerayawara itu turut disertai oleh Timbalan Pengarah Pelajaran Sabah, Hajah Maimunah Suhaibul dan Ketua-Ketua Sektor di Jabatan Pelajaran Sabah(JPNS).

“Warga pendidik akan berpeluang mendengar amanat Pengarah Pelajaran Sabah melalui ucaptamanya di samping itu mereka berpeluang berdialog bersama Ketua-Ketua Sektor untuk mengemukakan kemusykilan di peringkat akar umbi”,katanya.

Aziz menyarankan agar semua Pengetua Guru Besar dan warga pendidikan di daerah Kota Belud dan Ranau agar dapat datang lebih awal bagi melicinkan lagi perjalanan program tersebut.

Wednesday, March 24, 2010
















‘AKTA BATIN’ BERJAYA DIPENTASKAN

“Akta Batin’ yang merupakan karya asal Norawi Hj.Kata melalui puisi yang tersiar dalam majalah Dewan Sastera terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur, Januari lalu telah berjaya dipentaskan.

Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Musbah Jamli merupakan tetamu kehormat malam pementasan tersebut. Sertamai 120 orang hadir menyaksikan teater tersebut bersama Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah,Zabidi Abas, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Kota Belud,Suhaindo Rambayau,Wakil Pegawai Daerah,Asrin Sadi dan tetamu khas yang lain.

Menurut Musbah golongan penulis,penggiat dan karyawan mampu menyegarkan minda masyarakat untuk berfikir lebih jauh ke hadapan dalam memartabatkan nilai-nilai kemanusiaan sejagat.

“Sebagai pemimpin, saya amat menyokong usaha karyawan demi menyampaikan mesej yang berguna kepada masyarakat dan saya berharap usaha menganjurkan program seumpama itu dapat diteruskan”, katanya.

Sebelum pementasan acara dimulai dengan pembacaan puisi oleh Dulamid Rudin,Johan deklamasi puisi Kebangsaan,aktivis teater suatu ketika dahul,Salamat Omar dan Nandra Hitong.

Akta Batin’ telah ditulis sakripnya oleh A.Karim Kadir di mana beliau sendiri bertindak sebagai pengarah dan pelakon. Turut dibantu oleh Stella Jame dan Datu Ruslan Sulai.

Teater ini mengisahkan pergolakan jiwa manusia. Pertemuan lelaki sepi ii yang dilakonkan oleh A.Karim Kadir dan perempuan yang kesepian itu lakonan Stella James telah memukau penonton dengan penghayatan dan kekuatan lakon yang membuatkan penonton ingin tahu jalan cerita selanjutnya.

Penampilan luar biasa Datu Ruslan Sulai sekali sekala menghairankan penonton kerana beliau telah menghidupkan ratapan seorang lelaki sepi 1 yang terhukum oleh kerajaannya sendiri iaitu di alam batin.

Sementara itu penerbit ’Akta Batin’ yang juga pengendali laman blog Suara Hati, Norawi Hj Kata berpuas hati dengan persembahan para pelakon yang berjaya membawa watak masing-masing. Selain itu, A.Karim telah berjaya mengarah mengikut cita rasa dan kehendak seperti mesej yang dilontarkan dalam puisi ’Akta Batinku’.

Penulis telah mendapat maklum balas semua pelakon dengan keistimewaan dan kekuatan masing-masing telah berjaya membawa mesej. Peminat teater Musludi@Rudy Lamsah berkata beliau sangat minat menonton teater ini kerana kekuatan skrip dan lakonannya.
Menurut beliau, ’Akta Batin’ adalah akta yang digubal oleh diri sendiri di mana sendiri yang menghukum lalu diri juga yang terhukum”, jelas mereka.

Bagi mendapat cerita lanjut menganai teater ini bolehlah melayari blog Suara hati di http://norawizah.blogspot.com/



DALAM GAMBAR :
1. Aksi bersahaja...Karim dan Stella berjaya menarik tumpuan penonton
2. Dalam penjara jiwa...Datu Ruslan cuba sedaya upaya
3. Datuk Musbah merakamkan kenangan bersama pelakon dan tetamu khas
4. Norawi(kanan) menyampaikan cenderamata kepada Datuk Musbah
5. Tetamu kehormat bersama penonton yang hadir semasa pementasan ’Akta Batin’




Datuk Musbah Jamli Tetamu Kehormat Teater ’Akta Batin’ Malam Ini
( PETIKAN AKHBAR NEW SABAH TIMES PADA 6 MAC 2010 )


Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Musbah Jamli merupakan tetamu kehormat semasa pementasan teater berjudul ’Akta Batin’ yang bermula pada jam 8.00 malam ini bertempat di Dewan Serbaguna Rasa Sayang, Kota Belud.

Jurucakap penerbitnya, Zainorain Makbul berkata acar dimulakan dengan pembacaan puisi oleh aktivis teater Sabah, Nandra Hitong dan Salamat Omar dan tidak ketinggalan Juara deklamasi puisi kebangsaan Dulamid Rudin.

”Ketiga-tiga pelakon ’Akta Batin’ iaitu A.Karim Kadir, Stella James dan Datu Roslan Sulai akan bertungkus lumus untuk menyampaikan mesej kepada penonton dan kami berharap kepada orang ramai untuk menyaksikan cerita ini.

’Akta Batin’ merupakan karya puisi Norawi Hj kata yang diskripkan oleh A.Karim Kadir. Menurut Norawi, beliau bangga kerana Karim dapat mengangkat pusinya dalam bentuk persembahan yang jarang dilakukan oleh penulis dan aktivis teater yang lain.

”Akta Batin adalah pergolakan jiwa penyair dan mungkin ianya bisa berlaku kepada orang lain dan saya bersyukur kerana Karim dapat menghuraikannya dalam bentuk absurd”,katanya.

Manakala A.Karim Kadir berminat menulis skrip berdasarkan puisi tersebut kerana tertarik dengan perlambangan-perlambangan di dalam diri manusia yang merupakan kerajaan di dalam diri.

”Bukan senang mentadbir diri sendiri apatah lagi yang hendak diarah itu menuntut kekentalan jiwa dan melinbatkan dunia batin”,katanya.

”Akta Batin menceritakan pergolakan jiwa manusia yang sering dan akan dilanda sepi. Pertemuan lelaki sepi dan perempuan sepi banyak mengimbas kenangan silam dan kegemilangan masing-masing yang sukar untuk dituntut kembali. Apakah rahsia mereka berdua? Saksikanlah ”Akta Batin Malam ini’

Sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi Datuk Abdullah Datuk Gairullah melalui talian 019-5320007 dan Zainorain Makbul di 014-8603549.

Saturday, February 27, 2010















GAMBAR-GAMBAR DI ATAS DIRAKAM SEMASA LATIHAN DI PANTAI TG.ARU


PUISI ‘AKTA BATIN’ DIJADIKAN TEATER


Puisi “Akta Batin’ karya Norawi Hj.Kata yang disiarkan dalam Majalah Dewan Sastera terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Januari lalu diangkat menjadi sebuah teater dan akan dipentaskan pada 6 Mac ini bertempat di Dewan Serbaguna Rasa Sayang, Kota Belud.

Penolong Penerbitnya, Datu Abdullah Datu Gairullah berkata skrip teater tersebut telah ditulis oleh A.Karim Kadir yang bertindak sebagai Pengarah dan pelakon sekaligus. Selain itu ia turut dijayakan oleh salah seorang pelakon telemovie yang tidak asing di Sabah iaitu Stella James dan aktivis teater dan pelukis,Datu Ruslan Sulai.

Menurut Datu Abdullah,Akta Batin adalah sebuah kisah pergolakan jiwa manusia yang telah ditakdirkan sepi. Seorang lelaki yang pernah ternama telah bertemu dengan seorang perempuan yang menjadi pujaan ramai lelaki. Lelaki dan perempuan tersebut senasib dan cuba menceritakan kenangan silam masing-masing. Apakah mereka dapat melawan takdir kesepian?

“Kami mengalu-alukan kehadiran peminat teater dan orang ramai untuk menonton teater ini sebagai pembuka tirai aktiviti sepanjang tahun 2010”,katanya.

Bagi sesiapa yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai teater ini bolehlah menghubung Datu Abdullah melalui talian 019-5320007 atau Zainorain Makbul di 014-8603549.

Monday, February 8, 2010

"Apakah untungnya anda berjuang menyenang hati masyarakat di negara jiran? Kenapa,adakah anda yakin masyarakat di negara ini semuanya gembira dan bersenang lenang?"

Bertubi-tubi persoalan diajukan seseorang kepadaku.

SESEORANG : Adakah anda cukup yakin diri anda,keluarga anda dan diriku di depan matamu ini dah senang lenang. Apakah kau tidak pernah beranggapan bahawa aku ini tidak pernah terluka?

AKU : Terluka...?Terluka oleh siapa?bila dan di mana

SESEORANG : Ya,aku pernah terluka. Terluka olehmu.Maka hari ini aku sangat terkejut bilamana kau menyatakan kau adalah pejuang.Sedangkan kau pernah menghiris hatiku sewaktu masa dahulu.

AKU : Bila?

SESEORANG : Mungkin kau tak ingat atau pura-pura tak ingat.

AKU : Sungguh,aku tak pernah menyakiti hati sesiapa.

SESEORANG : Adakah kau tidak lagi mengenali diriku.

AKU : Hm...kenal,ya aku kenal engkau.saudaraku.semua orang saudaraku.saudara seagamaku,senegaraku atau mungkin juga jiranku,atau mungkin juga rakan sepermainanku.

SESEORANG : Kau memang benar-benar pelupa.ya,kau mengaku dirimu seorang pejuang tapi kau alpa segalanya.

AKU : Ya,aku memang mudah lupa akan sumbanganku terhadap orang lain.aku tak ingat jasaku kepada sesiapa.

SESEORANG : Termasuk perbauatanmu yang telah melukai hatiku.

AKU : Kau kah itu...kau kah yang telah muncul dalam episod drama mimpiku.Jika demikian,maafkan aku.

SESEORANG : ya,aku memang selalu menjadi drama lelaki.Akulah itu yang selalu menjadi drama mu. Siang dan malam aku menangis kerana tidak dipedulikan oleh sesiapa. Aku tinggal di kaki gunung yang mundur. Kau lah pejuang itu yang selalu berdrama menjanjikan hari esok yang bahagia.

Perlahan-lahan aku melihat air matanya jatuh berderai membasahi pipinya.Mungkin itulah senjata kaumnya yang membuat aku terdiam dan terkesima.Episod drama di depan mataku seperti terlalu nyata.

AKU : Jangan menangis.Aku akan perjuangkan nasibmu di kaki gunung.Jangan menangis kerana air matamu amat berharga untuk wargamu di kaki gunung. Simpan sahaja air matamu itu dahulu,kerana esok masih ada untuk kau menangis sekali lagi.Ya, jika air matamu kering,kau tak akan bisa menangis lagi untuk wargamu yang kelaparan,yang terluka dan sebagainya.Tapi yang pasti jika air matamu telah kering,tiada lagi senjatamu untuk esok hari buat tatapan generasimu yang terpinggir. Jangan menangis sayang...

Tapi sayang,semuanya itu adalah khayalan semata. Namun ada mesej di sebalik khayalanku itu. Sama-samalah kita fikirkan yang terbaik. Yang tak baik jadikan sempadan kerana menurut sahabat saya A.Karim Kadir sebuah drama bisa bemula di pengakhirnya dan berakhir di permulaannya.

Sunday, January 24, 2010


Tatkala minum seorang di kedai kopi,saya didatangi oleh seseorang. Secara bersahaja aku mengajaknya minum. Aku melihat wajahnya yang muram semuram langit petang. Kedatangannya memberi satu inspirasi kepadaku untuk berkarya tapi bukan untuk menulis banjir besar di Kota Belud atau di mana-mana.Bukan,aku tertarik melihat wajah sepinya yang diselebungi kabut masalah.



Dah 5 minit dia bersamaku.Aku memandangnya,dia memandangku. Kami sama-sama terdiam,tanpa bicara tanpa suara.


"Malam tadi aku bermimpi." Perlahan-lahan aku memulakan bicara. Tapi dia hanya memandangku dengan sepinya. Tapi aku nak juga meneruskan percakapanku walaupun kosong baginya.


"Malam tadi aku mimpi seorang bidadari menangisi pemergianku ke negara jiran. Mungkin aku silap kerana memberitahu bidadari itu tentang pemergianku untuk berjuang ke sana." Suasana semakin sepi tapi raut wajah seseorang itu menampakkan rasa ingin tahunya yang begitu mendalam terhadapku.


"lalu....." hanya itu kalimat yang diucapkannya.


"Aku bukan pergi untuk selama-lamanya,aku ingin berjuang. Untuk berapa tahun aku tak pasti. Tapi aku ingin berjuang untuk menyenangkan hati masyarakat di negara jiran."


"Berjuang.Menyenangkan hati masyarakat di negara jiran?" bagaikan bebola api mata seseorang itu memandang tepat ke anak mataku. Aku tak mampu menentang raut wajahnya serta matanya. Aku bagaikan terbakar.
-BERSAMBUNG

Saturday, January 23, 2010




Salam kerinduan buat sahabat-sahabatku yang jauh mahu pun dekat. Saya yakin blog Suara Hati masih mempunyai peminat yang tersendiri,walaupun konsep penulisannya adalah ringan,biasa-biasa aje atau syok sendiri. Bagi saya,jika ada yang baik jadikan tauladan dan yang tak berapa elok jadikan sempadan. Saya hanya menulis berdasarkan suara hati yang telus dan menyampaikan berita semasa untuk dikongsikan berdasarkan pengalaman. Saya hanyalah penulis puisi yang tidak aktif di Sabah, walaupun pernah memenangi Hadiah Sastera Sabah sebanyak 3 kali berturut-turut iaitu pada tahun 1996/1997,1998/1999 dan 2000/2001. Setelah 8 tahun menyepi lahir sebuah puisi berjudul Akta Batinku yang telahpun disiarkan dalam majalah Dewan Sastera terbitan DBP Kuala Lumpur. Syukur alhamdulillah saya dapat honorium 200 ringgit. Puisi itu boleh dibaca dalam http://jeritanbatin-ku.blogspot.com

Baiklah, jika dua hari yang lalu saya dah kongsikan betapa kita harus rasa bersyukur dengan nikmat yang diperolehi di dunia yang sifatnya hanya sementara. Dalam ruangan ini saya nak kongsikan sedikit peranan kita termasuk golongan para jutawan untuk membasmi kemiskinan. Sebab itu Allah mewajibkan zakat dalam Islam demi membantu saudara-saudara yang miskin.

Zakat dari segi bahasa bermaksud suci,bersih,subur dan berkembang. Menurut istilah syarak pula zakat ialah nama bagi suatu kadar harta tertentu yang wajib diberikan kepada orang-orang tertentu mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syarak.

Allah berfirman : "Dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat". Surah an-nisa:77

Ini jelas membuktikan betapa zakat itu seiring dengan menunaikan ibadah solat/sembahyang. Ramai orang berfikir bahawa zakat ini dikeluarkan pada bulan Ramadhan sahaja. Itu dinamakan zakat fitrah yang wajib kepada semua umat Islam tidak kira kaya ataupun miskin. Saya cukup tertarik dengan usaha Pusat Zakat,MUIS yang berjaya menganjurkan kempen mengeluarkan zakat kepada kakitangan awam dan swasta melalui skim potongan gaji. Diharap PZ dapat melipatgandakan lagi usaha dengan memberi makluman kepada masyarakat Islam akan kepentingan zakat dan penerangan ke mana sepatutnya sumabangan zakat ini di salurkan. Kekeliruan masyarakat harus diperjelaskan.

Bagi saudara yang berkhidmat sebagai kakitangan kerajaan di Sabah, saya ingin mengesyorkan agar datanglah terus ke Pusat Zakat Negeri Sabah yang terletak di Tingkat 1, Wisma MUIS,Kota Kinabalu. Jika boleh bawa slip gaji untuk ditaksirkan oleh pegawai yang berkhidmat di PZ. Saya rasa tidak rugi kita mengeluarkan zakat pendapatan kerana Allah akan memberi lebih dari itu lagi.

Mungkin ada saudara yang berfikir alangkah sayangnya gaji aku dipotong sebanyak 30 atau 50 ringgit sebulan. Tapi tidak kah kita terfikir 50 ringgit itu akan habis begitu sahaja tanpa kita ketahui penggunaannya mengikut kesesuaian harian. Mungkin hikmahnya,kita akan sentiasa berwaspada dalam berbelanja. Kita akan menghayati erti kesyukuran dan berterima kasih di atas nikmat yang Allah berikan. Sepanjang pengalaman, saya merasakan ketenangan jika kita laburkan wang sedikit itu kepada Pusat Zakat dengan niat seikhlas-ikhlasnya kerana Allah kerana wang itu akan diagihkan kepada orang yang memerlukan seperti anak-anak yatim,fakir miskin dan sebagainya. Ada juga individu yang menghulurkan terus kepada yang dihajati. Tidak kesahlah asalkan niat untuk membantu. Tapi kelebihan PZ kerana ia ditadbir untuk menyalurkan bantuan tersebut secara keseluruhannya. Saya masih ingat lagi adik saya yang belajar di UKM mendapat bantuan biasiswa daripada Baitul Mal yang bertganggungjawab mengurus zakat Negeri Sabah.

InsyaAllah dengan mengeluarkan zakat,reaeki saudara-saudara akan bertambah tanpa disedari kerana jelas menyatakan zakat merupakan pembersihan harta. Firman Allah S.W.T bermaksud:

"Ambillah sebahagian dari harta mereka sebagai sedekah(zakat) untuk membersihkan mereka(dari akhlak yang keji)"

FAEDAH BERZAKAT

1. Dapat mengabdikan diri kepada Allah S.W.T di samping menjadi tanda kesyukuran atas segala nikmat-Nya

2. Dapat membantu saudara seislam yang memerlukan bantuan khususnya golongan fakir dan miskin.

3. Menjamin keadilan sosial dalam masyarakat.

4. Membersihkan harta dari sumber yang meragukan.

5. Mendorong umat Islam supaya sentiasa berusaha meningkatkan ekonomi dan menjauhi kefakiran.

Wednesday, January 20, 2010

BERSAMA KANCIL KESAYANGAN : SAYA MANFAATKAN KENDERAAN INI UNTUK MEMANTAU PROGRAM PENDIDIKAN PENCEGAHAN DADAH DI SEKOLAH-SEKOLAH DALAM DAERAH KOTA BELUD. INGIN RASANYA GUNA KENDERAAN BESAR DAN CANTIK,TAPI INILAH KEMAMPUAN SAYA. GAMBAR INI DIAMBIL SEMASA PERJALANAN BALIK DARI SMK TAMBULION.


Masa terlalu pantas berlalu. Tanpa disedari masa semalam tidak sama dengan hari ini. Maka akan rugilah orang yang mensia-siakan masa yang diperuntukkan kepadanya. Sebagai manusia biasa, kita perlu ada rasa bersyukur dalam diri kerana diberi kenikmatan yang melimpah-limpah. Kita diberi waktu untuk terus hidup,walaupun hakikatnya manusia tidak pernah puas dengan apa yang dinikmati.

Sebab itu bukan hanya kesusahan itu ujian daripada Allah, malahan kesenangan dan kekayaan merupakan ujian yang paling besar yang Allah s.t berikan kepada setiap umat manusia yang berada di muka bumi ini. Ada orang hanya berpendapatan 400 ringgit sebulan(dikatakan cukup-cukup makan sahaja), tapi bersyukurlah kerana itupun nikmat yang tiada tandingnya yang Allah berikan kepada kita.

Saya ingin memperingatkan saudara-saudaraku sekalian bahawa nikmat rasa syukur ini tiada taranya. Walaupun pendapatan kita rendah,kita miskin tapi yang penting kita jangan miskin hati. Marilah kita berusaha untuk memperkayakan hati kita dan tahu rasa bersyukur terhadap nikmat yang Allah berikan kepada kita. Kita dianugerahkan pancaindera, paras wajah yang sempurna dan dapat menyedut udara segar setiap hari maka bersyukkurlah kita. Dalam Islam pun kita diminta melipatgandakan usaha untuk mendapat pendapatan yang lebih, tapi jika rezeki kita setakat itu, janganlah rasa kecewa. Kita mesti berbalik kepada konsep rasa bersyukur, kerana jika kita tidak rasa bersyukur, kita akan kecewa dan tersungkur selama-lamanya.

Ada satu cerita yang saya nak kongsikan dalam ruangan ini, iaitu seorang hamba Allah yang telah berjaya menyimpan sejumlah 120 ribu ringgit dalam akaun ASB nya selain ada pendapatan bulanan 3 ribu ringgit daripada kerajaan. Pendapatan tersebut tidak termasuk elaun memberi ceramah-ceramah budaya sehinggakan rakan lain yang ada potensi tidak ada peluang langsung untuk masuk dalam program tersebut kerana dimonopolinya hampir di seluruh daerah. Baru-baru ini saya mendapat khabar yang menyedihkan, bahawa rakan itu hampir-hampir kehilangan fikiran kerana telah melabur sebantyak 90 ribu dalam skim perniagaan yang dijanjikan keuntungannya ratusan ribu sebulan. Bertambah malang lagi kerana 8 orang rakan lain turut tertipu kerana terpengaruh dengan kempennya. Secara tidak langsung dia perlu bertanggungjawab terhadap kerugian 20 ribu seorang bagi setiap rakan lain yang dibawanya. Kesan daripada itu,dia tidak dapat keluar rumah kerana sering ditagih,kononnya dia yang melesapkan wang tu semua. Bayangkan wang sendiri lesap 90 ribu ringgit,manakala 160 ribu yang lain turut lesap,apa tak binggungnya.

Oleh itu wahai saudara-saudaraku marilah kita menginsafi peristiwa ini. Alangkah baiknya wang sebanyak itu digunakan untuk beramal,memberi bantuan kepada yang kurang mampu. Berilah hanya 5 ribu ringgit sahaja kepada pusat zakat atau sedekahkan kepada fakir miskin atau anak yatim piatu atau setidak-tidaknya kita membawa anak bini pergi umrah. Wang yang disedekahkan itu tidak membawa kerugian apa-apa kepada seseorang individu,malahan memperoleh keberkatan. Marilah sama-sama kita berdoa agar kita berasa insaf dan membantu rakan-rakan yang kurang kemampuan. Jika anda seorang jutawan, jangan anggap wang itu anda yang punya keseluruhannya. Orang lain pun ada hak di situ. Berikanlah sedekah kepada orang-orang yang memerlukan,bukannya untuk tayang kesenangan, kemewahan dengan memakai kereta mewah, lawa-lawa kerana apapun kenikmatan dan kesenangan itu dipinjamkan oleh Allah kepada manusia. Apalah gunanya pakai kereta Ninja, Mercedez, sport dan sebagainya jika tidak dapat membawa orang miskin. Hidup ini biarlah sederhana dalam semua aspek.

Sempena tahun baru 2010 ini, marilah kita bersama-sama berusaha meninggalkan kelemahan dan kesilapan yang dilalui di tahun 2009. Semoga tahun ini kita dapat menghayati dan menginsafi segala kelemahan yang telah dilalui.