Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Thursday, November 19, 2009

JELITAWAN PENDIAM itu hanya mampu merenung jauh dari jendela kesayangannya. Sejak kehilangan kekasihnya,yang tinggal hanyalah irama isun-isun dan tinggayun peninggalan ibunya. Ya, kekasih hatinya. Cuma itu hanya tinggal ingatan sahaja,kekasihnya telah hilang dari pandangan setelah hukum alam melanda dunia percintaan mereka. Dia seorang yang penyabar. Dia tidak pernah menitiskan air mata di depan manusia yang bernama lelaki kecuali kepada kekasihnya. Namun segalanya telah berubah, sang kekasihnya telah hilang dari dirinya. Jauh dari sudut hatinya untuknya berangan-angan apatah lagi mengenang kisah-kisah lalu,namun kehampaan selalu mengundang dirinya yang ditakdirkan demikian.

"Saya akui ramai jejaka tempatan dan warga asing ingin memiliki diriku, tetapi hatiku telah tertutup buat mereka", tiba-tiba sahaja dia bersuara dan mencurahkan gelora hati pada suatu malam yang pekat kepada sang embun yang pemalu.

"Engkau seorang yang pendendam. Dendam kesumatmu kepada lelaki terlalu dalam", tiba-tiba antara percaya dengan tidak,sang embun yang pemalu menjawab suara hatinya. Malam sunyi,sesekali jelitawan yang pemalu itu menoleh ke kanan dan ke kiri,risau ada orang lain mendengar perbualan mereka.

"Wahai embun,mahu kah engkau berkawan denganku", tiba-tiba antara bersuara dengan tidak,jelitawan pemalu itu bertanya,sesekali memandang ke kanan ke kiri di keheningan malam. Malam turut berduka akan kesedihan sang jelitawan pendiam dan pemalu itu.

"Aku sanggup berkawan denganmu,asalkan kau sanggup bercerita denganku.Ceritalah wahai gadis,aku ingin mendengarnya. Dalam kepayahan mencari satu kata,tiba-tiba kilat memancar.Seolah-olah langit turut mencemburui perbualan mereka.

"Ceritalah wahai puteri", seolah-olah embun pandai membodeknya.
"Mahukah engkau merahsiakannya",begitu kehendak jelitawan ketika betul-betul duduk sambil merenung ke luar jendela. Antara nampak dengan tidak wajah embun itu,namun yang pasti embun di celah dahan bunga itulah kawan akrabnya yang mampu mendengar ceritanya. Bulan menyerlahkan cahayanya seolah-olah sang awan memberi izin kepada mereka berinteraksi dan mungkin sebagai hadiah untuk membahagiakan jelitawan yang sentiasa memandang di luar jendela.

"Tiga tahun yang lalu, saya telah berkenalan dengan seorang penulis yang budiman. Selepas 3 bulan mengenalinya,saya rasa bahagia bersamanya kerana dia sentiasa mengambil berat dengan diriku ini. Dia seorang pengembara dan hampir semua hasil tulisannya saya minati. Oleh kerana penampilannya yang disenangi, ramai yang irihati dengan keakraban kami. Hukum alam telah sampai,pada bulan lalu, suatu senja dalam hujan panas tiba-tiba aku mendapat berita yang tidak baik.Dia dilaporkan hilang. Keretanya tersadai di tepi jalan. Sehingga kini,jangankan wajahnya,khabar beritanya langsung tidak ada.Dia pergi tanpa pesan,tanpa sebarang alamat. Tapi hati ini tetap menunggunya sehingga akhir hayat."

Suasana makin sepi. Perlahan-lahan tanpa disedari titisan air jernih membasahi pipi jelitawan itu. Kini wajahnya tidak terurus,sesekali rambutnya mengurai ditiup angin sepoi. Embun turut terharu menghayati cerita jelitawan itu.

"Bersabarlah wahai puteri. Inilah dinamakan ketentuan.Aku sanggup menemanimu sehingga bila-bila.Tapi kewujudanku pun tertakluk kepada hukum alam. Siapa sangka dalam asyik kau menatap keheningan malam ini,tiba-tiba aku telah tiada lagi. Apatah lagi jika hujan turun dengan derasnya,wajahku terhakis dan musnah. Tapi bagi dirimu yang setia,pasti akan sabar menungguku sehingga esok malam.

Jelitawan itu tersenyum puas. Sesekali dinyanyikannya lagu isun-isun buat sang embun. Bulan dan langit turut memeriahkan suasana malam. Jelitawan itu dengan raut wajah yang penuh kesepian sentiasa menanatap wajah malam di jendela kesayangannya.BERSAMBUNG


Kecintaan Masyarakat Terhadap Bahasa Kebangsaan Perlu Dipupuk, Kata Musbah.

Kota Kinabalu : Persekitaran yang dapat mendorong penggunaan bahasa kebangsaan yang betul di tempat-tempat awam perlu diwujudkan, terutama di bandar-bandar.

Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Haji Musbah Jamli menekankan perkara itu dalam pertemuannya dengan Zubaidi Abas, Pengarah DBP Cawangan Sabah yang membuat kunjungan hormat ke pejabat beliau baru-baru ini.

Pertemuan itu turut disertai Muziat Yusof,Pegawai Projek Peningkatan Citra Kebangsaan DBPCS.

Musbah berkata, paparan bahasa kebangsaan yang betul pada papan-papan iklan,kain rentang,dan premis perniagaan penting untuk memberikan citra bahasa kebangsaan yang baik dan masyarakat.

Katanya ini npenting bagi memberi sokongan terhadap usaha-usaha DBPCS terutama dalam pemaparan tulisan jawi pada papan tanda nama jalan yang dapat memupuk kesedaran dan kecintaan masyarakat terhadap warisan budaya bangsa.

Sementara itu, Zubaidi berkata kunjungan hormat seperti itu dapat mengeratkan hubungan DBP dengan para pemimpin.

”Usaha yang dijalankan oleh DBP amat memerlukan sokongan pelbagai pihak,terutama golongan pemimpin yang berperanan dalam menentukan hala tuju perkembangan bahasa dan sastera.

”Sokongan dan kerjasama daripada pelbagai pihak dapat menjamin keberhasilan usaha yang dijalankan oleh DBP,terutama dalam penggunaan bahasa kebangsaan yang betul di tempat-tempat awam.

Usaha DBP secara sendiri tidak akan berhasil tanpa bantuan dan sokongan pelbagai pihak,” tambah Zubaidi.

Tuesday, November 17, 2009

HIDUP

Hidup adalah hakikat tanpa batas
Sebuah mimpi hakiki
Tak ada ruang untuk berselindung
Selain wajahnya yang terpancar
Dari balik dinding nafsu berahi
Malam yang menutup matahari
Memancarkan wajah siang gemilang.
Kita cuba menyingkap rahsia masa
Yang pernah bersumpah janji setia
Bukan bulan bukan matahari
Tapi jiwa merdeka ini
Dari hembusan nafas kasih sejati.
Suara kebenaran
Menyatakan rindunya
Wajah kebenaran
Menyatakan cintanya
Terhadap sebuah nama
Perkasihan abadi.
Maka siang di sini hanya sementara
Menguji setia dan janji.
Benarkah kehidupan ini satu rahsia,
Atau kebenaran itu adalah kehidupan.
Di mana kau sembunyikan kertas catatan
Tentang nasib dan sembilan puluh sembilan nama
Dalam kamus erti hidup.
Dimanakah kau rahsiakan
Namamu yang satu wahai kebenaran,
Jikalau tidak dalam jubah lambung sang kekasih.
Namun tak berani menyatakan cinta hakiki
Kerana kebenaran selalu dihukum oleh zaman.
Walau pun tak terdaya kita berpisah walau sesaat
Kerana urat dan denyut jantung makrifat
Sentiasa mengingatkan kita tentang rahsia cinta.
Siapakah yang bisa memisahkan masa dan detiknya,
Jantung dan denyutnya, urat dan lehernya, darah dan merahnya,
Api dengan panasnya, gula dengan manisnya, rindu dengan dendamnya.
Maka mati itulah cintanya mati itu rindunya mati itu tidur panjang kehidupan.
Tak dibatasi ruang dan waktu selain cinta agong maha suci.
Maka hidup ini sebuah percintaan yang hakiki tanpa ruang tanpa batas,
Hanya jubah nafsu ini tak memperlihatkan tubuh kebenaran,
Kalau-kalau masih ada para iblis yang menyelinap memperdaya cinta
Dengan nafsu berahinya yang menyesat pada saat hayat sekarat.
Maka biarlah rahsia ini terpendam dalam diam kasih berpandangan
Dalam kalimat nafas rahsia; saat perpisahan engkau menempuh jalannya,
Hanya satu tiang menuju aras;kau hanya perlu bertenang menempuh saat getir.
Bersama lafaz kata rahsia cinta engkau memandang keruang cahaya gemilang,
Lalu pandangan kau pun bersatu rahsia bersatu dalam rahsia yang satu;
Lalu kau pun sirna dalam nikmat rahsia gemilang rahmat perkasihan abadi.
4.9.2009
Ramadhan
Kudat.

SAJAK TANGGANG

Apakah setiap orang harus menjadi tanggang
Pada setiapkali mencipta cemerlang?
Tanggang berada di mana-mana sekarang
Dalam lagenda atau di zaman merdeka ini pun
Ada tanggang yang mencanai wawasan
Yang bertolak dari pelusuk daerah kedaifan
Mengharung gelombang nasip di lautan
Lalu menempah sejarah di bahtera peradaban
Menjadi kelasi yang cekal dan pintar.
Tanggang kemudian menjadi juragan
Kapal bahtera benua kemerdekaan
Sehinggah telah menguasai hati seorang raja
Lalu berkahwin dengananak raja puteri jelita
Lalu menjadilah dia sang kaya raya
Lalu menjadi pula pewaris kuasa sebuah taktha
namun namanya masih tetap tanggang,
Raja tanggang pemuda yang berasal dari daerah kedaifan.
Raja tanggang pemuda yang berasal dari daerah kedaifan
Hanyut dalam arus kegemilangan dunia kekuasaan
Tanggang telah hilang pedoman dan tumpas haluan,
Dia malu pada kedaifan masa lalu
Dia malu mengaku pada wajah hodoh ibu
Dia malu menatapi mata kekasih sejati
Tanggang telah hilang jiwa jati diri
Hanya kerana seorang bidadari puteri
Tanggang tenggelam ke dalam laut keegoaan
Tanggang tenggelam ke dalam mendak lumpur kesombongan
Tanggang hancur merempuh terumbuh batu penderhakaan.
Dalam ribut badai zaman penuh goda dan perdaya
Tanggang mencipta lagenda anak zaman derhaka
Setelah Berjaya mencipta cemerlang jaya.
Meski pun demikian tanggang tetap gemilang
Tetap menjadi ceritera lagenda yang tak terlupakan
Kerana tanggang pun pernah menjadi perwira lautan terbilang.
Tetapi apakah setiap orang harus menjadi tanggang
Pada setiapkali mencipta gemilang zaman,
Untuk kemudian dibatubekukan sebagai metos dan lagenda peradaban.
Siapakah di antara kita yang bercita-cita untuk menjadi tanggang?
Siapakah di antara kita yang masih tanggang?
Siapakah tanggang?
1998-2006

Sunday, November 15, 2009

Agak lama juga saya menyepi. Baru-baru ini dengan izin isteri (Adizah Jamli) saya mesti menulis sesuatu yang melanda diri saya selama beberapa minggu ini. Bukan kehendak saya untuk membuka pekung,tetapi saya tidak mahu dituduh sebagai lelaki hipokrit.

Enam bulan yang lalu, saya telah mengenali seorang gadis jelitawan yang sepi. Perwatakannya yang pendiam dan bersahaja menyebabkan saya suka berkawan dengannya. Dalam ruangan ini,saya tak lah mengulas lanjut detik pertemuan awal kami,tapi cukuplah saya nyatakan pertemuan itu tanpa dirancang dan saya anggap sebuah pertemuan yang telah dianugerahkan oleh yang Maha Esa.

"Apakah cita-cita abang awi kepada diri ku ini?"tiba-tiba dia mengeluarkan persoalan yang membuatkan aku seperti tertelan batu kecil ketika asyik kami makan sepinggan di sebuah restoran di KK.

"Saya bercita-cita ingin menjadi sahabat sejati mu dan kau sahabat sejatiku selama-lamanya",begitu kataku secara bersahaja. Secara tiba-tiba kulihat cuaca di wajahnya berubah menjadi pilu. Perlahan-lahan sebak menyelebungi dirinya.

"Saya faham,saya ini orang susah, saya memang biasa sendiri,biasa dikecewakan",tiba-tiba air jernih membasahi pipinya yang halus. Ku biarkan dia mencurahkan kesedihannya.

"Apalah ertinya sebuah persahabatan jika tiada penghujungnya?" dengan penuh sayu satu soalan maut dia serahkan kepadaku. Ku anggap lebih baik aku ditikam dengan keris daripada menerima tusukan persoalan seperti itu.

Suasana restoran yang sibuk tidak ku terasa. Aku seperti dalam mimpi menonton wayang yang sebenarnya realiti di depan mataku. Reliti kepada sebuah angan-angan yang akhirnya sebuah pengharapan. Harapan yang tinggi seorang perempun kepada seorang lelaki yang diharapkan dapat memberi kasih sayang sesempurnanya.

Itu sebahagian kisahku enam purnama berlalu. Sebuah nama yang masih abadi dalam ingatan tapi kini tiba-tiba ia muncul sebagai bloggers yang kritis ideanya. Jika dulu dia seorang gadis yang pendiam dan pemalu, kini dia menjadi perhatian kerana penampilannya yang tidak diduga sama sekali. Mungkinkah pelepas kecewa selepas gagal bercinta atau letusan gunung berapi jiwa selama ini dikongkong oleh akta batin. Semalam ternyata jauh bezanya berbanding enam purnama yang hilang.
-BERSAMBUNG