Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Monday, September 28, 2009


Agak lama juga saya tek menulis dalam paparan ini. Oleh kerana kesibukan sambutan AidilFitri,maka saya tangguhkan untuk update paparan ini. Bagi saya perayaan Hari Raya tahun ini cukup sederhana tapi cukup bermakna khususnya kepada rakan-rakan yang ada sanak saudara dari jauh yang berkunjung ke rumah.

Saya tak ada buat rumah terbuka secara rasmi. Kawan selalu tanya,bila rumah terbuka kamu?
"Datang saja ke rumah,tak ada penetapan rasmi", kataku kepada mereka yang bertanya.

Bagi saya itu lagi bermakna kerana kita dapat mengeratkan hubungan di antara satu dengan yang lain apatah lagi dengan saudara yang jauh dan tak pernah kita temui. Jika dibuat rumah terbuka secara rasmi pergaulan tidak dapat dilakukan(pandangan saya). Cuma dapat makan-makan sahaja. Sebab apa saya katakan demikian,kerana rumah terbuka secara rasmi yang sempat saya perhatikan,lepas makan,balik

Saya ambil contoh,seorang rakan datang ke rumah saya(di Taman Nikmat)satu keluarga dan dalam masa yang sama sepupu ketiga kali saya datang bersama keluarganya. Apa yang saya perhatikan perhubungan bertambah erat dan mudah mengenali di antara satu dengan yang lain dan kemesraan mudah dirasai. Tidak berlaku kelam kabut dalam pengurusan layanan dan masa. Keluarga senang berinteraksi di antara satu dengan yang lain.

Cuba bandingkan rumah terbuka secara rasmi yang mengundang beratus tetamu yang hadir,apa bezanya. Apatah lagi alunan muzik digemakan terlalu kuat di samping yang lain asyik melihat bakat-bakat baru dalam nyanyian karaoke. Walau bagaimanapun kedua-dua perkara yang saya nyatakan itu,masing-masing ada kelebihan tersendiri. Sama-samalah kita memikirkannya.

Di hari yang mulia ini,saya rasa belum terlewat untuk saya ucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFIRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN. TERIMA KASIH KERANA ANDA SENTIASA MENYOKONG BLOG SUARA HATI.

Thursday, September 10, 2009


GAMBAR : SAYA DAN D.D

GAMBAR : SAYA DAN GURU MUZIK


Hari ini merupakan hari terakhir murid-murid Tahun 6 di seluruh negara mengakhiri Ujian Pencapaian Sekolah Rendah. Selepas berakhirnya ujan tersebut bermacam-macam perasaan yang melanda diri para peserta. Ada yang gembira kerana telah menghabiskan beban yang membayangi diri selama ini,tak kurang pula ada yang berdebar-debar rasa tak puas hati terhadap penilaian sendiri,rasa ketidakupayaan semasa menjawab dan ada pula yang tak sabar-sabar menunggu keputusan peperiksaan.

Bagi ibu bapa ada yang turut merasakan debaran itu,jika anak lulus dengan cemerlang rasa senang hati tak dapat dibayangkan. Sehinggakan ada ibu bapa yang sanggup membuat majlis kenduri kesyukuran jika anak mereka mendapat keputusan yang memuaskan.

Bercerita pasal UPSR dan peperiksaan besar yang bakal dihadapi oleh murid-murid,saya sempat berkongsi idea dengan saudara D.d yang merupakan salah seorang pegawaqi polis di Kota Belud. Semaasa kunjungan saya ke pejabat beliau,saya nyatakan pihak sekolah sibuk menyusun pelbagai program untuk kecemerlangan murid. Ada yang telah melaksanakan seminar kecemerlangan,klinik UPSR,Skor 5A,Program Teknik Menjawab UPSR dan yang terakhir sekali sembahyang hajat.

Sedang asyik saya bercerita,tiba-tiba D.d mencela. ”Ada guru-guru memaafkan murid-murid mereka?”.Saya tercengang seketika.

”Buat apa? tanyaku selamba.

”Ai penting tu. Mungkin ada di kalangan guru yang tak berpuas hati dengan anak muridnya,atau ada guru tak senaang hati dengan sikap murid yang pernah melakukan kesalahan.kadang-kadang ada guru pernah marah-marahkan murid sehingga lupa memaafkan murid itu. Ai tula(istilah tempatan lebih kurang maksud hilang keberkatan) budak tu”, katanya.

Aku berfikir seketika. Memang benar kata-kata D.d tu. Walaupun simple tapi tak boleh dipandang ringan. Inilah perkongsian idea yang sangat menarik bagi saya yang selalunya orang terlepas untuk melaksanakannya.

Bila difikir-fikir,pernahkah seseorang guru mengkaji persoalan-persoalan seumpama ini:

1. Pernahkah saya sebagai seorang guru mengajar murid untuk memohon maaf?
2. Pernahkah saya sebagai seorang guru mengajar murid berterima kasih?
3. Pernahkah saya sebagai seorang guru memaafkan kesalahan murid?
4. Pernahkah saya sebagai seorang guru memberitahu murid-murid secara terbuka,saya halalkan segala ilmu yang saya curahkan itu
5. Pernahkah saya sebagai seorang guru membimbing murid di samping itu merestui perjuangan pembelajaran mereka sehinggalah saya mendoakan mereka.
6. Pernahkah saya sebagai seorang guru mengingatkan murid agar memohon maaf kepada ibu bapa masing-masing sambil berkata doakan saya bu,doakan saya ayah/bapa moga berjaya di dunia dan akhirat.
7. Pernahkah saya sebagai seorang guru berterimakasih kepada murid di samping mengajar anak didik untuk berterima kasih kepada orang yang berjasa dan menghargai guru, ibu bapa atau orang yang selalu menasihati dan menghargai diri sendiri.

Mungkin beberapa persoalan tersebut hanya sedikit sebagai garis panduan kepada golongan pendidik. Tetapi percayalah bahawa guru dan ibu bapa perlu merestui anak-anak, memaafkan mereka di samping mendoakan mereka. Ingatlah tiada tandingnya orang-orang yang mendapat keberkatan hasil restu dan doa daripada ibu bapa dan guru-guru.

Bukan setakat untuk berjaya dalam peperiksaan semata-mata tetapi restu guru dan ibu bapa amat penting untuk keberkatan hidup dan kejayaan dalam melaksanakan sesuatu kerjaya. Mungkin ada di antara anak-anak tidak berjaya dalam bidang akademik tetapi mereka berjaya dalam bidang kemahiran umpamanya sukan bolasepak,muzik,pertanian dan sebagainya. Bagi saya semuanya itu,guru dan ibu bapa pun berperanan meretui dan mendoakan.

Moga tulisan ini dapat dijadikan sedikit perkongsian ilmu dan maklumat. Buat saudara D.d terimakasih di atas pandangan. Moga lebih ramai lagi masyarakat yang tampil berkongsi idea untuk kecemerlangan dunia pendidikan.

O ya, baru saya teringat,baru-baru ini SK.Pekan Kota Belud dan SK.ST. Edmund ada melaksanakan Majlis Restu UPSR. Moga pendekatan tersebut dapat diikuti oleh sekolah lain walaupun bukan dalam bentuk program rasmi seumpama itu. TAHNIAH.

Akhir sekali,maafkan lah anak-anak. Restuilah mereka dan doakan mereka

GAMBAR : PEMANTAUAN PENGURUSAN PENDIDIKAN PENCEGAHAN DADAH (PPDa) di SK.PEKAN KOTA BELUD


Bermula 7 hingga 11 September ini, saya dan Penolong Pengarah Kanan,Unit Pendidikan Pencegahan Dadah, SPK, JPN Sabah, Encik Ednan Muyong telah melaksanakan pemantauan di sekolah-sekolah dalam daerah Kota Belud. Tujuan pemantauan tersebut adalah untuk memastikan dan membantu pelaksanaan pendidikan pencegahan dadah di sekolah-sekolah berjalan dengan baik di samping mengenalpasti permasalahan di sekolah-sekolah serta membina hubungan baik di antara sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah Kota Belud dan Jabatan Pelajaran Sabah.

Pada hari pertama pemantauan, saya dan En.Ednan sempat melawat 4 buah sekolah seperti yang dijadualkan iaitu di SK.Sembirai,SK.Pekan KB,SK.ST.Edmund dan SJK(C) Chung Hwa. Pada masa itu,sekolah sibuk melaksanakan persediaan UPSR. Tidak ketinggalan SK.Pekan Kota Belud telah melaksanakan Majlis Restu UPSR. Tetapi syukurlah, kehadiran kami telah diterima oleh semua guru besar dan pemantauan telah berjalan dengan lancar.

Kunjungi blog PENDIDIKAN PENCEGAHAN DADAH KOTA BELUD seperti dalam ruangan pautan blog ini.


Monday, September 7, 2009

Saya mendapat berita sedih yang menyatakan 2 orang lelaki telah terkorban akibat dalam perlumbaan motorsikal di Kota Belud, Sabah semalam. Yang paling mengerikan mayat kedua-dua lelaki tersebut telah berkecai sehinggakan keluarga mangsa terpaksa mencari tangan dan anggota tubuh yang terputus. Saya difahamkan salah seorang daripada mereka dah berkeluarga dan mempunyai anak(tak pasti berapa orang). Menurut sumber itu lagi mangsa yang terlibat memang disyaki sebagai Mat Rempit dan kegiatan mereka itu bukan sekali dua dilakukan di jalan lintas KB-Kudat.

Tak sangka bahawa selama ini kegiatan Mat Rempit telah menjalar di Kota Belud. Mereka sanggup mempertaruhkan wang ringgit dan motorsikal semata-mata untuk mencari kepuasan. Kebanyakan mereka masih dalam lingkungan usia di bawah 30 tahun,maknanya kategori pemuda/belia. Bila difikir-fikir apakah yang mereka cari melalui kegiatan yang terang-terang merugikan seumpama itu. Dikatakan mereka dah ada mekanik khas yang boleh mengubahsuai kelajuan enjin dan menyelaras deruan enjin yang dikehendaki.

Mereka lebih gemar memulakan perlumbaan haram selepas tengahmalam(sekitar jam 12.oo tengahmalam atau jam 2.00 pagi). Tetapi mereka tidak sedar bahawa penghalang nombor satu jalanraya di Kota Belud ialah lembu dan kerbau. Kebanyakan kenderaan menjadi mangsa kerbau yang berkeliaran di kawasan jalan utama. Kerbau tidak akan menunjukkan isyarat jika nak melintas jalan,apatah lagi dalam keadaan gelap gelita dan kebetulan wajah kerbau yang hitam amat menyukarkan pemandu untuk membuat tekaan. Dah berulang kali kejadian seumpama itu,tetapi tiada apa-apa tindakan daripada pihak berkenaan. Yang berkuasa hanya lembu dan kerbau di jalan-jalan utama yang menghubungkan Kota Belud dan Kudat atau Kota Belud dan Kota Kinabalu.

Berbalik kepada kegiatan merempit, seolah-oleh belia kita dah ketandusan idea yang boleh disumbangkan kepada negara. Mereka mungkin minat dalam perlumbaan,tetapi saluran tak betul. Ataupun tiada sebarang kegiatan bermanfaat yang disediakan buat mereka,atau mereka tidak terfikir ruang kerja yang perlu mereka ceburi,atau tiada pihak yang memberi perhatian kepada mereka,atau tidak dipedulikan lagi, atau mereka tak perlu dibimbing dan dipimpin lagi atau mendekati mereka mendatangkan kerugian dan buang masa,atau tiada sumber pendapatan lain yang dapat mereka buat melainkan bertaruh wang,bertaruh nyawa,atau itulah sahaja yang mereka tahu,atau masyarakat dah memandang rendah kepada mereka,atau keluarga,ibu bapa dan jiran tetangga dah menyampah dengan mereka,atau tiada pihak yang membantu,atau biarkan sahaja,atau..........atau..........,atau.........?

Saturday, September 5, 2009

GAMBAR KENANGAN BERSAMA TUAN HJ.MADRI AKONG DI LADANG IKAN BELIAU DI KAMPUNG AMBONG, KOTA BELUD,SABAH.


Saya diminta oleh Ketua Biro Bernama Sabah,En.Newmond Tibin untuk mencari sesiapa sahaja yang dirasakan sesuai untuk ditemubual untuk dimuatkan dalam fail Hari Raya. Syaratnya seseorang itu boleh menceritakan kesusahan dalam era baru merdeka dan kemajuan yang dikecapi kini. Sebaik-baiknya juga individu yang mewakili golongan nelayan bermula dengan kehidupan susah sehinggalah mengecapi kesenangan berkat usahanya di negara merdeka ini.

Selain itu,bos saya minta saya kaitkan dengan hari kemerdekaan dan jika boleh seseorang itu telah menyumbangkan sedikit bakti kepada masyarakat.

Secara tidak langsung, saya teringatkan Hj.Madri Akong. Pertama saya dah memang telah maklum ketokohannya, kedua senang dihubungi dan tidak cerewet ketika berurusan. Hari Jumaat, Jam 8.00 pagi saya menghubunginya dan menyatakan hasrat tersebut. Tanpa membuang masa, dia membawa saya ke ladang ternakannya yang berpangkalan di kampung Ambong, Kota Belud. Dipendekkan cerita,saya sempat mengabadikan gambar kenangan bersama beliau di samping itu beliau sempat bersedekah sempena Ramadhan iaitu memberikan saya sotong 1 kilo.

Tuan Hj.Madri yang berusia 59 tahun, terkenal dengan semangat sukarela dan masih aktif dalam berpersatuan. Saya amat kagum dengan semangat beliau yang banyak terlibat dalam aktiviti pembangunan kemanusiaan melalui persatuan,umpamanya Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Negeri Sabah, AJK Pertubuhan Islam Seluruh Sabah(USIA) cawangan Kota Belud, Timbalan pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) cawangan Kota Belud, Yang Dipertua Perniagaan Bumiputera Kota Belud, Pengerusi Pemulihan Dalam Komuniti(PDK) dan banyak lagi.

Apa pun semua itu dilakukan kerana minat beliau terhadap kegiatan kemasyarakatan. Semalam, beliau menjemput saya untuk hadir Majlis berbuka puasa sempena merai kanak-kanak Kurang upaya(OKU) di pejabat PDK berhampiran Pekan Kota Belud. Saya sungguh terharu dengan usaha beliau yang prihatin dengan kanak-kanak kurang upaya ( down sindrom,autisme,hyperaktif).

"Jika kita tidak peduli mereka siapa lagi", katanya.

Saya fikir, moga lebih ramai lagi individu,persatuan/pertubuhan yang dapat membantu golongan OKU seumpama itu. Setidak-tidaknya,ganjaran di dunia kita tidak perolehi,mudah-mudahan di akhirat kelak kita mendapat ganjaran yang lebih baik.

Semoga lebih ramai lagi belia di Kota Belud yang dapat mengikut jejak perjuangan Hj.Madri untuk membantu masyarakat dari segi sosial, pembangunan kemanusiaan dan sebagainya.BERSAMBUNG

Thursday, September 3, 2009





GAMBAR : AKTIVIS TEATER,NANDRA HITONG(KANAN) DAN HJ MANCHU KULA TURUT HADIR SEMASA UPACARA PENGKEBUMIAN ALLAHYARHAM AMIL JAYA


Berita Sabah
September 03, 2009 15:09 PM

Sasterawan Sabah Amil Jaya Meninggal Dunia

KOTA BELUD, 3 Sept (Bernama) -- Sasterawan Negeri Sabah Datuk Ismail Abbas atau lebih dikenali sebagai Amil Jaya meninggal dunia di kediamannya di Tamparuli pada Rabu akibat serangan jantung.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Pirasan dekat sini pada Khamis.Allahyarham Ismail, 69, meninggalkan seorang balu Datin Mariam Abu Bakar dan enam orang anak.

"Sebelum menghembuskan nafas terakhir, ayah mengadu sesak nafas pada kira-kira 3.50 petang dan meninggal dunia pada 4.20 petang," kata anak sulung beliau, Abdul Samad.

Ismail merupakan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka cawangan Sabah dari tahun 1990 sehinggal beliau bersara pada 1994.Allahyarham adalah lulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera dari Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 1982.Dalam bidang kesusasteraan, beliau aktif menulis puisi, cerpen, novel dan esei kritikan.

Novel beliau yang terkenal ialah Cerah (DBP,1976), Ngayau (DBP 1979) dan Bogaton (DBP,1987).Allahyarham merupakan penerima Anugerah Sasterawan Negeri Sabah pada tahun 1990 dan penerima SEA Write Award pada tahun 1992 dari kerajaan Thailand.

Ismail pernah menjadi Yang Dipertua Badan Bahasa Sabah (BAHASA) dan anggota jawatankuasa Gabungan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA).-- BERNAMA

Wednesday, September 2, 2009

MANTAN PENGARAH DBP SABAH-DATUK ISMAIL ABBAS MENINGGAL DUNIA

Sebentar tadi,Jam 5.15 petang saya menerima panggilan telefon daripada sahabat saya,Fadzil Hj.Mohd Jamil yang menyatakan Datuk meninggal.

"Siapa meninggal? Datuk...? aku terkejut mendengarnya.

"Datuk Ismail,adik nenek saya",katanya sayu.

Aku menarik nafas seketika. Fahamlah aku siapa yang dia maksudkan. Selepas itu aku minta dia pastikan betul-betul berita itu. Sebab nak beritahu kawan-kawan. Tak lama selepas itu aku telefon azrone dan naddin tapi saya maklumkan berita inipun tak pasti. Tapi berita disampaikan oleh cucunya,rakan sepejabatku yang juga Pegawai Kaunseling di PPD Kota Belud ( Fadzil Mohd Jamil ).

Tak lama lepas tu sdr.Naddin memaklumkan bahawa berita itu benar. Rasanya satu kerugian juga dengan saya kerana tak sempat menagabadikan gambar bersama Allahyarham. Kali terakhir kami berjumpa 2 tahun lalu. Beliau menggalakkan saya untuk terus menulis dan menggali seberapa banyak khazanah budaya di Sabah. Cuma satu sahaja permintaan Allahyarham yang tak sempat saya tunaikan iaitu menulis salasilah keluarga.

Allahyarham adalah seorang penulis/sasterawan yang aktif menghasilkan karya dalam pelbagai genre seperti puisi,cerpen dan novel. Novel Bogathon adalah sebuah novel yang menjadi tumpuan pengkaji sastera tanahair. Di atas kesungguhan beliau dalam memperjuangkan kesusasteraan Melayu, beliau pernah menerima Anugerah SEA WRITE AWARD daripada kerajaan Thailand iaitu anugerah yang berprestij di rantau Asia ini. Banyak perkara yang perlu diceritakan tentang Allahyarham,tapi tidak sempat di ruangan ini.

Kepada keluarga Allahyarham DATUK ISMAIL ABBAS,takziah diucapkan. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan tergolong di kalangan orang-orang yang beriman. AL-FATIHAH!


JAME ALIP (PENGARAH BSSK)

KOTA BELUD : Kegiatan kokurikulum yang dilaksanakan di sekolah-sekolah dapat menyemai semangat perpaduan di kalangan kaum di negara ini, kata Pengarah Bahagian Seni, Sukan dan Kokurikulum, Kementerian Pelajaran, Jame Alip.

Menurutnya, berdasarkan kajian para pelajar yang mengikuti kegiatan kokurikulum dapat menyesuaikan diri dalam pergaulan harian bersama rakan-rakan dari kaum yang lain dan secara tidak langsung perpaduan dapat diwujudkan.

“Pelajar yang tidak mahu melibatkan diri dalam kegiatan kokurikulum dan menumpukan kecemerlangan akademik semata-mata adalah pelajar yang tidak boleh bergaul mesra dengan rakan yang terdiri daripada berbilang kaum. Negara kita perlu mengekalkan perpaduan kaum yang bermula di alam persekolahan”,katanya

“Dia boleh menjadi pelajar cemerlang dalam akademik,tetapi tidak boleh memimpin dan saya khuatir negara tiada pemimpin pelapis yang berkualiti pada masa-masa akan datang”,katanya semasa merasmikan Kelab Unit Beruniform SMK Pekan Kota Belud di sini.

Jame mencadangan kepada sekolah-sekolah agar menjemput tokoh-tokoh pejuang sebagai tokoh tamu untuk menceritakan sejarah perjuangan dalam memerdekakan tanahair yang tidak semestinya dilaksanakan dalam bulan kemerdekaan semata-mata.

“Jika tidak pun jemputlah mereka untuk hadir semasa temasya sukan sekolah sebagai penghargaan kepada mereka yang berjasa kepada tanahair”,katanya.

Dalam pada itu, Jame berkata ,Kementerian Pelajaran juga sentiasa mengambil berat terhadap penglibatan para pelajar sekolah-sekolah luar bandar dan pihaknya sentiasa membantu untuk memperkasakan kegiatan kokurikulum dalam aspek kemudahan ,pengurusan dan tenaga pengajar.

“Bagi pelajar yang berminat untuk memasuki sekolah sukan ataupun sekolah seni bolehlah menghubungi Pejabat Pelajaran Daerah yang terdekat”,katanya.

Tuesday, September 1, 2009

Pagi tadi saya bersiar-siar ke Pekan Kota Belud untuk meninjau suasana merdeka. Umum mengetahui bahawa hari ini cuti sempena memperingati kemerdekaan. Tapi yang saya rasai ialah suasana kesesakan di pekan KB. Tak ada sebarang program pun. Yang ada hanyalah manusia yang melepak dan buang masa sementara menunggu mentari terbenam. Dalam kebosanan,di saat hendak pulang,tiba-tiba saya bertemu dengan kawan lama. Agak lama juga kami tak bertemu dengannya. Apa yang menariknya dalam perbualan kami,dia bertanya:

"Kamu tak berminat jadi pemimpin?"

"Taklah. Aku tak ada kemahiran memimpin", jelasku ringkas.

"Ala,senang aje.Takkan orang berebut-rebut nak jadi calon,jika tak senang. Saya bagi kamu pilihan jenis pemimpin apa kamu mahu?, syor kawan saya tu. Dia pun memberitahu jenis-jenis pemimpin yang mudah untuk dilaksanakan. Di antaranya ialah:

1. YBP ( Yang Berhormat Perayaan)-tugas YBP ini menurutnya ialah dijemput hadir untuk memeriahkan majlis-majlis yang dianjurkan oleh apa-apa badan/persatuan/kelab dan sebagainya. Tidak lama lagi perayaan akan menjelang tiba,YBP bersedialah untuk hadir dan berucap. Tapi perlu sumbangkan sedikit wang untuk menjayakan program itu.

"Apa susah gaji wakil rakyat di Sabah dah naik,mustahil juga tak boleh belanja",katanya.Saya pun angguk aje.

2. YBM (Yang Berhormat Merasmi)- "tugas ini paling senang. Kamu akan tambah glamour. Itu sebab ramai orang suka jadi wakil rakyat,berebut-rebut nak jadi calon. Apa tak seronoknya,kamu akan disambut dengan kompang,permaidani merah(jika acara besar) dan semua mata tertumpu ke arah wajahmu.Senangkan", sekali lagi aku mengangguk.

3. YBS (Yang Berhormat sponsour)"untuk merealisasi YBM,kamu kena minta atur program dan bagi sponsour sikit. Dalam seribu dua tu cukuplah. Tapi syarat,kamu yang rasmi. Sebagai pemimpin perlu ada sikap ABDS(Angkat Bakul Diri Sendiri).Senang kan?", sekali lagi aku mengangguk.

Dipendekkan cerita aku mohon diri untuk balik kerana banyak lagi perkara yang perlu disiapkan di rumah. Dalam perjalanan balik, aku berfikir,walau macamana senang pun jadi pemimpin,tapi yang pasti aku belum mampu memimpin diri sendiri. Memimpin keluarga pun aku terasa rumitnya. Aku biarkan persoalan itu hilang bersama angin sepoi-sepoi bahasa yang menyapa wajahku di kala aku sepi di bulan merdeka ini.