Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Showing posts with label ISU SEMASA. Show all posts
Showing posts with label ISU SEMASA. Show all posts

Wednesday, August 24, 2011

Sejak akhir-akhir ini,kita selalu mendengar berita di media kejadian wanita yang menjadi mangsa simbahan asid tanpa sebab oleh orang yang tidak dikenali.Mengapa ini terjadi dan mengapa wanita yang menjadi mangsa? Sudah hilangkah sikap penyayang lelaki terhadap wanita yang lemah.Walhal wanita tak perlu dicederakan,cukup bagi seseorang lelaki meninggikan suara pun hati mereka boleh terluka.Peristiwa menyimbah asid ini bolehlah dianggap sebagai suatu keajaiban.

Baru-baru ini,saya menonton sebuah drama di televisyen.Saya tak ingat judulnya dan di rangkaian mana. Cuma dalam cerita tersebut,seorang lelaki yang jujur,setia dan amat memuja seorang wanita daripada segala-galanya.Akhirnya kejujuran sang lelaki tersebut telah disalahguna oleh teman wanitanya(kekasih hatinya)apabila didapati mengasihi lelaki lain.Apabila mengetahui kejadian itu,Sang lelaki menjadi teramat cemburu. Perbincangan demi perbincangan diadakan,tapi gagal menemui penyelesaian. Akhirnya, sang lelaki itu mengambil keputusan untuk berjumpa dengan teman wanitanya buat kali terakhir.Teman wanitanya tidak mengesyaki apa-apa pun di sebalik pertemuan manis itu.Sebaik teman wanitanya mohon diri,sang lelaki lantas menarik tangannya dan mengucapkan "Aku sayang kamu selamanya". Tanpa disangka mengeluarkan benda yang disembunyikan di tangan lalu disimbahkan asid. Begitu ngeri kejadian itu kerana teman wanitanya,buta mata,muka cantik dah jadi hodoh.

Jika kita menyayangi seseorang haruskah berpada-pada?Ataupun ada organisasi yang akan diwujudkan menengani jenayah ini? Fikir-fikirkanlah!!!

Friday, April 2, 2010






KOTA KINABALU : Belum setahun Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih tampuk kerajaan, rakyat di Sabah sudah merasai transformasi pembangunan Perdana Menteri ke arah menceriakan kehidupan rakyat di pedalaman.

Banyak perubahan dialami di seluruh pelusuk negeri baik di kampung mahu pun di pekan.

Di pantai utara Sabah, penduduk di Kota Belud yang terkenal sebagai ‘Pekan Koboi’ mengukir senyuman membayangkan nikmat pembangunan yang dirancang iaitu menaik taraf jalanraya ke kampung-kampung dan sekolah-sekolah di luar bandar.

Menurut Ketua Daerah Kota Belud, OKK Tungking @ Amirshah Kantiong, projek dalam anggaran RM30 juta itu dilaksanakan tidak sampai setahun pentadbiran Najib sebagai Perdana Menteri.

Begitu juga dengan program agropolitan untuk membasmi kemiskinan, menjana ekonomi petani melalui jelapang padi di Kota Belud dan projek bekalan elektrik luar bandar.

“Melalui program turun padang dan Juara Rakyat yang dianjurkan Perdana Menteri menggerakkan semua wakil rakyat dan pemimpin masyarakat untuk mengenal pasti permasalahan di peringkat akar umbi,” kata Tungking.

Monday, February 8, 2010

"Apakah untungnya anda berjuang menyenang hati masyarakat di negara jiran? Kenapa,adakah anda yakin masyarakat di negara ini semuanya gembira dan bersenang lenang?"

Bertubi-tubi persoalan diajukan seseorang kepadaku.

SESEORANG : Adakah anda cukup yakin diri anda,keluarga anda dan diriku di depan matamu ini dah senang lenang. Apakah kau tidak pernah beranggapan bahawa aku ini tidak pernah terluka?

AKU : Terluka...?Terluka oleh siapa?bila dan di mana

SESEORANG : Ya,aku pernah terluka. Terluka olehmu.Maka hari ini aku sangat terkejut bilamana kau menyatakan kau adalah pejuang.Sedangkan kau pernah menghiris hatiku sewaktu masa dahulu.

AKU : Bila?

SESEORANG : Mungkin kau tak ingat atau pura-pura tak ingat.

AKU : Sungguh,aku tak pernah menyakiti hati sesiapa.

SESEORANG : Adakah kau tidak lagi mengenali diriku.

AKU : Hm...kenal,ya aku kenal engkau.saudaraku.semua orang saudaraku.saudara seagamaku,senegaraku atau mungkin juga jiranku,atau mungkin juga rakan sepermainanku.

SESEORANG : Kau memang benar-benar pelupa.ya,kau mengaku dirimu seorang pejuang tapi kau alpa segalanya.

AKU : Ya,aku memang mudah lupa akan sumbanganku terhadap orang lain.aku tak ingat jasaku kepada sesiapa.

SESEORANG : Termasuk perbauatanmu yang telah melukai hatiku.

AKU : Kau kah itu...kau kah yang telah muncul dalam episod drama mimpiku.Jika demikian,maafkan aku.

SESEORANG : ya,aku memang selalu menjadi drama lelaki.Akulah itu yang selalu menjadi drama mu. Siang dan malam aku menangis kerana tidak dipedulikan oleh sesiapa. Aku tinggal di kaki gunung yang mundur. Kau lah pejuang itu yang selalu berdrama menjanjikan hari esok yang bahagia.

Perlahan-lahan aku melihat air matanya jatuh berderai membasahi pipinya.Mungkin itulah senjata kaumnya yang membuat aku terdiam dan terkesima.Episod drama di depan mataku seperti terlalu nyata.

AKU : Jangan menangis.Aku akan perjuangkan nasibmu di kaki gunung.Jangan menangis kerana air matamu amat berharga untuk wargamu di kaki gunung. Simpan sahaja air matamu itu dahulu,kerana esok masih ada untuk kau menangis sekali lagi.Ya, jika air matamu kering,kau tak akan bisa menangis lagi untuk wargamu yang kelaparan,yang terluka dan sebagainya.Tapi yang pasti jika air matamu telah kering,tiada lagi senjatamu untuk esok hari buat tatapan generasimu yang terpinggir. Jangan menangis sayang...

Tapi sayang,semuanya itu adalah khayalan semata. Namun ada mesej di sebalik khayalanku itu. Sama-samalah kita fikirkan yang terbaik. Yang tak baik jadikan sempadan kerana menurut sahabat saya A.Karim Kadir sebuah drama bisa bemula di pengakhirnya dan berakhir di permulaannya.

Sunday, January 24, 2010


Tatkala minum seorang di kedai kopi,saya didatangi oleh seseorang. Secara bersahaja aku mengajaknya minum. Aku melihat wajahnya yang muram semuram langit petang. Kedatangannya memberi satu inspirasi kepadaku untuk berkarya tapi bukan untuk menulis banjir besar di Kota Belud atau di mana-mana.Bukan,aku tertarik melihat wajah sepinya yang diselebungi kabut masalah.



Dah 5 minit dia bersamaku.Aku memandangnya,dia memandangku. Kami sama-sama terdiam,tanpa bicara tanpa suara.


"Malam tadi aku bermimpi." Perlahan-lahan aku memulakan bicara. Tapi dia hanya memandangku dengan sepinya. Tapi aku nak juga meneruskan percakapanku walaupun kosong baginya.


"Malam tadi aku mimpi seorang bidadari menangisi pemergianku ke negara jiran. Mungkin aku silap kerana memberitahu bidadari itu tentang pemergianku untuk berjuang ke sana." Suasana semakin sepi tapi raut wajah seseorang itu menampakkan rasa ingin tahunya yang begitu mendalam terhadapku.


"lalu....." hanya itu kalimat yang diucapkannya.


"Aku bukan pergi untuk selama-lamanya,aku ingin berjuang. Untuk berapa tahun aku tak pasti. Tapi aku ingin berjuang untuk menyenangkan hati masyarakat di negara jiran."


"Berjuang.Menyenangkan hati masyarakat di negara jiran?" bagaikan bebola api mata seseorang itu memandang tepat ke anak mataku. Aku tak mampu menentang raut wajahnya serta matanya. Aku bagaikan terbakar.
-BERSAMBUNG

Wednesday, January 20, 2010

BERSAMA KANCIL KESAYANGAN : SAYA MANFAATKAN KENDERAAN INI UNTUK MEMANTAU PROGRAM PENDIDIKAN PENCEGAHAN DADAH DI SEKOLAH-SEKOLAH DALAM DAERAH KOTA BELUD. INGIN RASANYA GUNA KENDERAAN BESAR DAN CANTIK,TAPI INILAH KEMAMPUAN SAYA. GAMBAR INI DIAMBIL SEMASA PERJALANAN BALIK DARI SMK TAMBULION.


Masa terlalu pantas berlalu. Tanpa disedari masa semalam tidak sama dengan hari ini. Maka akan rugilah orang yang mensia-siakan masa yang diperuntukkan kepadanya. Sebagai manusia biasa, kita perlu ada rasa bersyukur dalam diri kerana diberi kenikmatan yang melimpah-limpah. Kita diberi waktu untuk terus hidup,walaupun hakikatnya manusia tidak pernah puas dengan apa yang dinikmati.

Sebab itu bukan hanya kesusahan itu ujian daripada Allah, malahan kesenangan dan kekayaan merupakan ujian yang paling besar yang Allah s.t berikan kepada setiap umat manusia yang berada di muka bumi ini. Ada orang hanya berpendapatan 400 ringgit sebulan(dikatakan cukup-cukup makan sahaja), tapi bersyukurlah kerana itupun nikmat yang tiada tandingnya yang Allah berikan kepada kita.

Saya ingin memperingatkan saudara-saudaraku sekalian bahawa nikmat rasa syukur ini tiada taranya. Walaupun pendapatan kita rendah,kita miskin tapi yang penting kita jangan miskin hati. Marilah kita berusaha untuk memperkayakan hati kita dan tahu rasa bersyukur terhadap nikmat yang Allah berikan kepada kita. Kita dianugerahkan pancaindera, paras wajah yang sempurna dan dapat menyedut udara segar setiap hari maka bersyukkurlah kita. Dalam Islam pun kita diminta melipatgandakan usaha untuk mendapat pendapatan yang lebih, tapi jika rezeki kita setakat itu, janganlah rasa kecewa. Kita mesti berbalik kepada konsep rasa bersyukur, kerana jika kita tidak rasa bersyukur, kita akan kecewa dan tersungkur selama-lamanya.

Ada satu cerita yang saya nak kongsikan dalam ruangan ini, iaitu seorang hamba Allah yang telah berjaya menyimpan sejumlah 120 ribu ringgit dalam akaun ASB nya selain ada pendapatan bulanan 3 ribu ringgit daripada kerajaan. Pendapatan tersebut tidak termasuk elaun memberi ceramah-ceramah budaya sehinggakan rakan lain yang ada potensi tidak ada peluang langsung untuk masuk dalam program tersebut kerana dimonopolinya hampir di seluruh daerah. Baru-baru ini saya mendapat khabar yang menyedihkan, bahawa rakan itu hampir-hampir kehilangan fikiran kerana telah melabur sebantyak 90 ribu dalam skim perniagaan yang dijanjikan keuntungannya ratusan ribu sebulan. Bertambah malang lagi kerana 8 orang rakan lain turut tertipu kerana terpengaruh dengan kempennya. Secara tidak langsung dia perlu bertanggungjawab terhadap kerugian 20 ribu seorang bagi setiap rakan lain yang dibawanya. Kesan daripada itu,dia tidak dapat keluar rumah kerana sering ditagih,kononnya dia yang melesapkan wang tu semua. Bayangkan wang sendiri lesap 90 ribu ringgit,manakala 160 ribu yang lain turut lesap,apa tak binggungnya.

Oleh itu wahai saudara-saudaraku marilah kita menginsafi peristiwa ini. Alangkah baiknya wang sebanyak itu digunakan untuk beramal,memberi bantuan kepada yang kurang mampu. Berilah hanya 5 ribu ringgit sahaja kepada pusat zakat atau sedekahkan kepada fakir miskin atau anak yatim piatu atau setidak-tidaknya kita membawa anak bini pergi umrah. Wang yang disedekahkan itu tidak membawa kerugian apa-apa kepada seseorang individu,malahan memperoleh keberkatan. Marilah sama-sama kita berdoa agar kita berasa insaf dan membantu rakan-rakan yang kurang kemampuan. Jika anda seorang jutawan, jangan anggap wang itu anda yang punya keseluruhannya. Orang lain pun ada hak di situ. Berikanlah sedekah kepada orang-orang yang memerlukan,bukannya untuk tayang kesenangan, kemewahan dengan memakai kereta mewah, lawa-lawa kerana apapun kenikmatan dan kesenangan itu dipinjamkan oleh Allah kepada manusia. Apalah gunanya pakai kereta Ninja, Mercedez, sport dan sebagainya jika tidak dapat membawa orang miskin. Hidup ini biarlah sederhana dalam semua aspek.

Sempena tahun baru 2010 ini, marilah kita bersama-sama berusaha meninggalkan kelemahan dan kesilapan yang dilalui di tahun 2009. Semoga tahun ini kita dapat menghayati dan menginsafi segala kelemahan yang telah dilalui.

Wednesday, October 14, 2009













Baru-baru ini,angin kuat telah menggemparkan seluruh daerah di negeri Sabah. Angin yang bertiup tidak mengenal mansa,umpama peluru tak bermata. Dia akan menerbangkan gerai-gerai orang yang hendak berniaga dan rumah orang yang berpendapatan rendah.

Di Kota Belud, saya sempat meninjau beberapa rumah yang menjadi mangsa angin kencang. Berpuluh rumah ditelanjangkan oleh angin yang dikatakan musimnya yang bertiup dari negara jiran. Sedang asyik saya mengambil gambar rumah yang terlibat,tiba-tiba seorang hamba Allah bertanya;

"Awak wakil rakyat kah,sibuk sangat?

Secara tiba-tiba saya memandang wajah orang tu. Memang dia berseloroh.Saya tak terkilan,kerana konsep wakil rakyat itu bukan tugas MP atau ADUN yang dipilih melalui proses pilihanraya semata-mata. Bagi saya pun,memang tepatlah ejekannya itu. Saya pun wakil rakyat yang menyibuk khabarkan masalah rakyat. Saya menulis mewakili suara hati rakyat. Cuma bezanya tiada gaji walau sesen pun. Tugas saya ikhlas untuk mewar-warkan perkara ini. Apalah gunanya orang memegang tugas politik, jika jawatan itu untuk dibawa glamour sahaja.

Kepada insan yang memanggil saya sebagai wakil rakyat,panggilan itu tidak menyakitkan hati saya. Sekali lagi saya tegaskan ,bahawa saya pun wakil rakyat juga.

Monday, September 7, 2009

Saya mendapat berita sedih yang menyatakan 2 orang lelaki telah terkorban akibat dalam perlumbaan motorsikal di Kota Belud, Sabah semalam. Yang paling mengerikan mayat kedua-dua lelaki tersebut telah berkecai sehinggakan keluarga mangsa terpaksa mencari tangan dan anggota tubuh yang terputus. Saya difahamkan salah seorang daripada mereka dah berkeluarga dan mempunyai anak(tak pasti berapa orang). Menurut sumber itu lagi mangsa yang terlibat memang disyaki sebagai Mat Rempit dan kegiatan mereka itu bukan sekali dua dilakukan di jalan lintas KB-Kudat.

Tak sangka bahawa selama ini kegiatan Mat Rempit telah menjalar di Kota Belud. Mereka sanggup mempertaruhkan wang ringgit dan motorsikal semata-mata untuk mencari kepuasan. Kebanyakan mereka masih dalam lingkungan usia di bawah 30 tahun,maknanya kategori pemuda/belia. Bila difikir-fikir apakah yang mereka cari melalui kegiatan yang terang-terang merugikan seumpama itu. Dikatakan mereka dah ada mekanik khas yang boleh mengubahsuai kelajuan enjin dan menyelaras deruan enjin yang dikehendaki.

Mereka lebih gemar memulakan perlumbaan haram selepas tengahmalam(sekitar jam 12.oo tengahmalam atau jam 2.00 pagi). Tetapi mereka tidak sedar bahawa penghalang nombor satu jalanraya di Kota Belud ialah lembu dan kerbau. Kebanyakan kenderaan menjadi mangsa kerbau yang berkeliaran di kawasan jalan utama. Kerbau tidak akan menunjukkan isyarat jika nak melintas jalan,apatah lagi dalam keadaan gelap gelita dan kebetulan wajah kerbau yang hitam amat menyukarkan pemandu untuk membuat tekaan. Dah berulang kali kejadian seumpama itu,tetapi tiada apa-apa tindakan daripada pihak berkenaan. Yang berkuasa hanya lembu dan kerbau di jalan-jalan utama yang menghubungkan Kota Belud dan Kudat atau Kota Belud dan Kota Kinabalu.

Berbalik kepada kegiatan merempit, seolah-oleh belia kita dah ketandusan idea yang boleh disumbangkan kepada negara. Mereka mungkin minat dalam perlumbaan,tetapi saluran tak betul. Ataupun tiada sebarang kegiatan bermanfaat yang disediakan buat mereka,atau mereka tidak terfikir ruang kerja yang perlu mereka ceburi,atau tiada pihak yang memberi perhatian kepada mereka,atau tidak dipedulikan lagi, atau mereka tak perlu dibimbing dan dipimpin lagi atau mendekati mereka mendatangkan kerugian dan buang masa,atau tiada sumber pendapatan lain yang dapat mereka buat melainkan bertaruh wang,bertaruh nyawa,atau itulah sahaja yang mereka tahu,atau masyarakat dah memandang rendah kepada mereka,atau keluarga,ibu bapa dan jiran tetangga dah menyampah dengan mereka,atau tiada pihak yang membantu,atau biarkan sahaja,atau..........atau..........,atau.........?

Saturday, September 5, 2009

GAMBAR KENANGAN BERSAMA TUAN HJ.MADRI AKONG DI LADANG IKAN BELIAU DI KAMPUNG AMBONG, KOTA BELUD,SABAH.


Saya diminta oleh Ketua Biro Bernama Sabah,En.Newmond Tibin untuk mencari sesiapa sahaja yang dirasakan sesuai untuk ditemubual untuk dimuatkan dalam fail Hari Raya. Syaratnya seseorang itu boleh menceritakan kesusahan dalam era baru merdeka dan kemajuan yang dikecapi kini. Sebaik-baiknya juga individu yang mewakili golongan nelayan bermula dengan kehidupan susah sehinggalah mengecapi kesenangan berkat usahanya di negara merdeka ini.

Selain itu,bos saya minta saya kaitkan dengan hari kemerdekaan dan jika boleh seseorang itu telah menyumbangkan sedikit bakti kepada masyarakat.

Secara tidak langsung, saya teringatkan Hj.Madri Akong. Pertama saya dah memang telah maklum ketokohannya, kedua senang dihubungi dan tidak cerewet ketika berurusan. Hari Jumaat, Jam 8.00 pagi saya menghubunginya dan menyatakan hasrat tersebut. Tanpa membuang masa, dia membawa saya ke ladang ternakannya yang berpangkalan di kampung Ambong, Kota Belud. Dipendekkan cerita,saya sempat mengabadikan gambar kenangan bersama beliau di samping itu beliau sempat bersedekah sempena Ramadhan iaitu memberikan saya sotong 1 kilo.

Tuan Hj.Madri yang berusia 59 tahun, terkenal dengan semangat sukarela dan masih aktif dalam berpersatuan. Saya amat kagum dengan semangat beliau yang banyak terlibat dalam aktiviti pembangunan kemanusiaan melalui persatuan,umpamanya Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Negeri Sabah, AJK Pertubuhan Islam Seluruh Sabah(USIA) cawangan Kota Belud, Timbalan pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) cawangan Kota Belud, Yang Dipertua Perniagaan Bumiputera Kota Belud, Pengerusi Pemulihan Dalam Komuniti(PDK) dan banyak lagi.

Apa pun semua itu dilakukan kerana minat beliau terhadap kegiatan kemasyarakatan. Semalam, beliau menjemput saya untuk hadir Majlis berbuka puasa sempena merai kanak-kanak Kurang upaya(OKU) di pejabat PDK berhampiran Pekan Kota Belud. Saya sungguh terharu dengan usaha beliau yang prihatin dengan kanak-kanak kurang upaya ( down sindrom,autisme,hyperaktif).

"Jika kita tidak peduli mereka siapa lagi", katanya.

Saya fikir, moga lebih ramai lagi individu,persatuan/pertubuhan yang dapat membantu golongan OKU seumpama itu. Setidak-tidaknya,ganjaran di dunia kita tidak perolehi,mudah-mudahan di akhirat kelak kita mendapat ganjaran yang lebih baik.

Semoga lebih ramai lagi belia di Kota Belud yang dapat mengikut jejak perjuangan Hj.Madri untuk membantu masyarakat dari segi sosial, pembangunan kemanusiaan dan sebagainya.BERSAMBUNG

Tuesday, September 1, 2009

Pagi tadi saya bersiar-siar ke Pekan Kota Belud untuk meninjau suasana merdeka. Umum mengetahui bahawa hari ini cuti sempena memperingati kemerdekaan. Tapi yang saya rasai ialah suasana kesesakan di pekan KB. Tak ada sebarang program pun. Yang ada hanyalah manusia yang melepak dan buang masa sementara menunggu mentari terbenam. Dalam kebosanan,di saat hendak pulang,tiba-tiba saya bertemu dengan kawan lama. Agak lama juga kami tak bertemu dengannya. Apa yang menariknya dalam perbualan kami,dia bertanya:

"Kamu tak berminat jadi pemimpin?"

"Taklah. Aku tak ada kemahiran memimpin", jelasku ringkas.

"Ala,senang aje.Takkan orang berebut-rebut nak jadi calon,jika tak senang. Saya bagi kamu pilihan jenis pemimpin apa kamu mahu?, syor kawan saya tu. Dia pun memberitahu jenis-jenis pemimpin yang mudah untuk dilaksanakan. Di antaranya ialah:

1. YBP ( Yang Berhormat Perayaan)-tugas YBP ini menurutnya ialah dijemput hadir untuk memeriahkan majlis-majlis yang dianjurkan oleh apa-apa badan/persatuan/kelab dan sebagainya. Tidak lama lagi perayaan akan menjelang tiba,YBP bersedialah untuk hadir dan berucap. Tapi perlu sumbangkan sedikit wang untuk menjayakan program itu.

"Apa susah gaji wakil rakyat di Sabah dah naik,mustahil juga tak boleh belanja",katanya.Saya pun angguk aje.

2. YBM (Yang Berhormat Merasmi)- "tugas ini paling senang. Kamu akan tambah glamour. Itu sebab ramai orang suka jadi wakil rakyat,berebut-rebut nak jadi calon. Apa tak seronoknya,kamu akan disambut dengan kompang,permaidani merah(jika acara besar) dan semua mata tertumpu ke arah wajahmu.Senangkan", sekali lagi aku mengangguk.

3. YBS (Yang Berhormat sponsour)"untuk merealisasi YBM,kamu kena minta atur program dan bagi sponsour sikit. Dalam seribu dua tu cukuplah. Tapi syarat,kamu yang rasmi. Sebagai pemimpin perlu ada sikap ABDS(Angkat Bakul Diri Sendiri).Senang kan?", sekali lagi aku mengangguk.

Dipendekkan cerita aku mohon diri untuk balik kerana banyak lagi perkara yang perlu disiapkan di rumah. Dalam perjalanan balik, aku berfikir,walau macamana senang pun jadi pemimpin,tapi yang pasti aku belum mampu memimpin diri sendiri. Memimpin keluarga pun aku terasa rumitnya. Aku biarkan persoalan itu hilang bersama angin sepoi-sepoi bahasa yang menyapa wajahku di kala aku sepi di bulan merdeka ini.

Sunday, August 30, 2009

Esok seluruh rakyat Malaysia menyambut hari merdeka bagi mengenang kembali peristiwa 31 Ogos 1957. Cuma mungkin sambutannya agak sederhana kerana faktor bulan Ramadhan dan penularan selesma babi. Namun bagi anak-anak yang lahir dalam tahun 1950-an,60-an,70-an masih merasakan suasana merdeka ini dengan penuh kejiwaan. Misalnya anak-anak yang lahir selepas merdeka,walaupun tak sempat melihat suasana ketika itu tetapi mereka faham. Ibu bapa mereka selalu menceritakan,apatah lagi matapelajaran sejarah masih penting di peringkat sekolah rendah ketika itu.

Saya berada di darjah 4 pada tahun 1980. Pada masa itu saya belajar sejarah sepenuhnya.Usia 10 tahun saya dah tahu sejarah Melaka,saya dah tahu perjuangan Mat Salleh di Sabah, saya dah tahu Sabah merdeka melalui Malaysia pada 1963. Sebelumnya lagi,Saya dah tahu Tun Mustapha,saya dah tahu Tan Sri Said Keruak berdasarkan penceritaan ibubapa dan guru-guru ketika itu. Guru-guru tidak mementingkan akademik semata-mata,tetapi mereka berjaya menerapkan kecintaan kepada tanahair. Mereka selalu menceritakan kesusahan orang dulu-dulu.

Dalam tahun 1977 sehingga 1982 kami dibawa berbaris di padang Pekan Kota Belud. Kami dibawa menengok wayang free iaitu tayangan daripada Jabatan Penerangan. Masa itu hanya orang-orang tertentu sahaja yang ada tv.

Tahun 2009,saya amat merasakan perbezaannya. Ibubapa macam saya tidak pernah menceritakan keadaan yang lalu. Mungkin juga saya selalu sibuk dengan tugas-tugas duniawi dan perkara-perkara lain yang menyebabkan saya terlupa. Anak-anak mempunyai banyak maklumat yang disebarkan melalui media(iklan dan sebagainya). Misalnya,anak saya,dia yang menceritakan kepada saya apa yang dia lihat di TV.

"Hari ni pak,dhiyyah dapat 2 ringgit. Dhiyyah dapat nombor 2,pertandingan mewarna bendera.

Terfikir olehku,memang budak-budak sekarang mahir melukis dan mewarna bendera. Tapi apakah mereka faham akan kesusahan bapa,nenek moyang mereka dulu-dulu.

Ada satu lagi cerita yang saya suka kongsikan di sini (berkaitan kepintaran anak-anak zaman ini).Suatu petang saya dihubungi oleh anak saudara saya dari K.K yang baru balik kampung iaitu di Kampung Taun Gusi. (saya sebenarnya tinggal di Taman Nikmat).

Budak itu memberitahu saya,neneknya pesan minta agar saya balik kampung untuk berbuka puasa di sana.Kedua, dia minta saya beli lauk-pauk untuk dimakan semasa berbuka kelak.Ketiga dia memberitahu saya, penyesalan mereka balik ke kampung kerana tiada air. Saya memberitahu dia, laungkanlah merdeka sebanyak 3 kali. Nescaya dalam beberapa minit kamu akan perolehi air.

"Pakcik tipu,pakcik bohong",katanya.

"OK lah nanti pak cik datang bawa air Bio Aura 5 gelen.beli satay 100 cucuk".

Lantas budak itu pun senang hati. Tapi dalam tersenyum dan gelihati, saya terfikir dan tertanya pada diri sendiri. Apakah kita pernah berani memberitahu pemimpin kita dengan perkataan yang diucapkan oleh budak hingusan itu. Budak sekarang lain. Itu masih budak,kalau remaja,tak tahu macamana jiwa mereka.

Thursday, August 27, 2009

GAMBAR : WAJAH MARDHIYYAH YANG TENANG,SABAR MENANTI
SAAT BERBUKA PUASA




GAMBAR : SEBELUM SEMBAHYANG TERAWIH


Hari ini masuk hari ke-6 umat Islam berpuasa. Tidak ketinggalan anak kecil bernama Mardhiyyah (7 tahun)yang setakat ini masih bertahan untuk menunaikan ibadah puasa. Mardhiyyah bersekolah di SK.Jawi-Jawi berazam untuk meneruskan puasanya sehingga 29/30 hari. Kelmarin 30 minit sebelum berbuka puasa Mardhiyyah dah duduk berdekatan dengan meja hidangan. Tak sabar-sabar lagi untuk minum.

"Dhiyyah mahu habiskan puasa 1 bulan,tapi bapa kena bagi duit 5 ringgit satu hari" pintanya secara manja.

Aku terdiam sejenak. Gelihati dengan telatah anak tunggalku itu.Jika tahun lepas dia berjaya puasa selama 10 hari sahaja kerana faktor dorongan,pujian dan wang.Tapi itulah adat resam kanak-kanak. Terpulang kepada kita bagaimana caranya untuk mendorong mereka agar biasa menahan diri daripada lapar dan dahaga. Bagi saya, buatlah apa cara sekalipun untuk menambat hati kanak-kanak itu agar suka berpuasa. Jika tahun lepas Mardhiyyah selalu berpuasa setengah hari. Azan zohor dia berbuka puasa, selepas itu sambung lagi.

Menurut Mardhiyyah hanya puasa kanak-kanak sahaja yang boleh setengah hari,walhal dari segi hukum tidak ada pun istilah sedemikian. Dari mana dia dengar akupun tak tahu. Tapi tak kesahlah,puasa kanak-kanak kah,puasa bawah umurkah gelaran puasa tersebut,yang penting penyesuaian kepada golongan kanak-kanak itu amat penting untuk menanam minat golongan kanak-kanak untuk berpuasa. Seseorang yang tidak dilatih untuk berpuasa sejak kecil akan mengalami kesukaran untuk berpuasa dan dikhuatiri tidak minat berpuasa walaupun dah termaktub dalam rukun Islam (itu yang dibimbangkan).

Saya pernah ada pengalaman dengan seorang rakan (kisah benar) semasa sama-sama belajar. Rakan itu terus terang memberitahu saya, dia hanya mampu berpuasa penuh 3 hari daripada sebulan yang sepatutnya. Tapi dengan syarat 27 hari itu dia puasa setengahari. Maksudnya sebaik jam 12 tengahari dia boleh minum air segelas dan menghisap sebatang rokok sahaja dengan syarat tidak melebihi masa 30 minit.

"Puasa apa tu. Tak pernah aku dengar" kataku kepadanya.

"Kalau kau mahu tahu, inilah yang dinamakan puasa orang bujang. Ala,masa bujang aje begini.Bila dah kahwin 30 harilah",jelasnya.

"Mana ada dalam hukum",kataku

"Yalah, memanglah tak ada dalam hukum.Tapi sebagai persediaan sebelum berumahtangga.Daripada tidak puasa bagus puasa", katanya lagi.

Akupun bingung memikirkannya. Usia kami ketika itu dah 2o tahun. Takkan ketika itu baru nak latih diri untuk puasa. Tapi aku tak komen apa-apa. takut dia tergores perasaan.Aku tidak mahu kehilangan kawan.

"Pak,pak, macamana boleh bagi Dhiyyah duit puasa", tiba-tiba permintaan Mardhiyyah itu mematikan lamunanku terhadap kenangan dan kisah-kisah lalu.

Mardhiyyah menghamiriku. Aku memeluknya erat. "Nak, boleh tak bapa ganti duit tu dengan akuarium ikan", pintaku kepadanya.

"Horey! boleh pak. Sayang bapa". Mardhiyyah melonjak riang bila saya janji membelikannya akuarium,kerana saya tahu dia sangat berminat memelihara ikan hiasan. Di rumah banyak botol kosong jadi mangsa tempat menyimpan ikan.Tiap-tiap minggu,dia mesti membawa emaknya membeli ikan,sekurang-kurangnya dua ekor ikan hiasan yang saya pun tak tahu apa jenis dan nama ikan itu. Cuma yang terbaru,kura-kura kecil pun ada dibelinya.

"Mak,bapa nak belikan aku akuarium besar". Mardhiyyah memberitahu emaknya. Emaknya hanya tersenyum melihat telatah anak yang manja dan perlu dituruti kehendaknya.




Tuesday, August 25, 2009


KERATAN AKHBAR HARIAN METRO : 17 OGOS 2009

Alangkah agungnya kasih dan cinta seorang isteri. Sanggup dilanda badai derita. Walaupun suaminya bersalah dan ditahan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) kerana positif dadah, namun beliau tak putus berdoa agar dipertemukan dengan suami tercintanya.

Itulah nasib sedih yang dialami oleh seorang wanita yang berusia 106 tahun seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro baru-baru ini. Wanita itu tinggal keseorangan sejak suaminya yang berusia 37 tahun ditahan oleh AADK kerana positif dadah pada 7 Julai lalu dan dihantar ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen),Sungai Besi. Suaminya akan mendapat rawatan pemulihan di Puspen tersebut selama dua tahun.

Membaca berita itu di Harian Metro, saya sangat bersimpati akan nasib wanita itu yang saya anggap sebagai nenek saya. Bayangkan dalam bulan Ramadhan yang mulia ini,beliau tinggal keseorangan.Siapakah lagi yang sudi membantunya memberi makan minumnya sehari-hari. Mudah-mudahan Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Agensi Antidadah Kebangsaan sudi menghulur bantuan kepada wanita berkenaan. Dalam bulan Ramadhan yang mulia ini bersedekahlah. Jangan dipandang hina akan nasib yang menimpa seseorang seperti itu.

Masyarakat kita telah terlatih untuk membuat persepsi negatif dan atau tak ambil kesah dengan seseorang yang terjebak dalam kanca penagihan dadah. Apatah lagi jika seseorang itu isteri penagih dadah secara tidak langsung akan mengalami ketidak yakinan untuk berhadapan dengan masyarakat. Mereka longlai untuk menghadapi masyarakat dan lemah untuk meneruskan kehidupan harian seperti sebelumnya. Seolah-olah berlaku stigma dan diskriminasi masyarakat terhadap mereka.

Sebagai anggota masyarakat,kita perlu memberi sokongan kepada mereka, dalam masa yang sama anggota keluarga yang terbabit janganlah terlalu menjauh diri atau terus merasakan dirinya tersisih. Dalam soal ini selalunya berlaku kesukaran dan halangan-halangan berkomunikasi di antara orang yang ikhlas membantu dan individu yang terjebak atau keluarganya,demikian juga sebaliknya.

Marilah kita meningkatkan amalan kebaikan di bulan mulia ini. Bantulah insan yang lemah, yang benar-benar memerlukan bantuan. Selamat berpuasa.-BERSAMBUNG

Sunday, August 23, 2009

Malam tadi, selepas terawih(jam 10 malam) saya menerima undangan minum di restoran perdana melalui sms dari seorang rakan (D.d-panggilan manja).
Tanpa persoalan saya menerima undangan tersebut.

Sampai di restoran itu,saya rasa bersalah kerana D.d biasanya keseorangan,kini dikelilingi oleh ramai kawan terutama orang-orang politik.Sebelum ini,biasanya kami berdua sahaja yang duduk semeja kerana perbincangan lebih berfokus.

Tetapi saya tewas oleh keadaan,terpaksa duduk dikelilingi oleh orang-orang politik yang hebat-hebat belaka.Saya dan D.d hanya mengangguk sahaja dengan telatah seseorang yang kami anggap professor dalam penceritaan politik.

Tiba-tiba muncul seseorang.Langkahnya longlai dan bersahaja.Agak jarang saya melihat telatah orang tu sebelum ini.Beliau yang terkenal dengan sikap ramah mesranya,tiba-tiba bersikap bersahaja dan langsung duduk tanpa berkata apa-apa.Saya dan D.d hanya berpandangan mata.

"Minum datuk,tiba-tiba seseorang yang nakal mengajak dengan pujian.
"Kau saja harapan ni,OKB", kata seseorang lagi.

Dia diam seribu bahasa.Saya dan D.d tidak bertanya apa-apa.Mungkin juga D.d tertanya-tanya atas perubahannya itu.

"Kenapa kamu ini,dah kena senggugut kah?tanya seseorang yang lain pula.Usikan demi usikan dilakukan tapi dia tetap sabar dan bertenang,walaupun sebelum ini dia kadangkala boleh membuat keceluparan.

Tidak lama selepas itu,seseorang daripada mereka memanggil pelayan dan menunjuk beberapa meja untuk dikira.

"Berapa ni sayang.kira semuanya" arah seseorang yang nampak bergaya itu.

Tiba-tiba kawan itu menahan pelayan tu."jangan kira dulu dik,biar abang bayar".

"jadi macamanalah,takkan kamu bayar,kamu belum minum"

"Tak apalah,kamu jalanlah dulu,kami mau bercerita lagi ni",tegas kawan yang dikenali sebagai Pardan atau panggilan manjanya dan yang sebenarnya salah seorang AJK Umno Bahagian Kota Belud.

Sebaik kaki mereka melangkah,saya dan D.d pun ingin tahu kenapa dia terlalu diam ketika tu.Saya pun bertanya,kenapa dia langsung tak berkata apa-apa dan langsung tak mempertahankan diri.

"Kita minum balik.kamu minta saja apa kamu mahu.saya mau rojak daging ni." Tanpa berlengah lagi kami pun mengikut seperti apa dia order.

"Sebenarnya,saya mahu pahala di bulan mulia ini.Saya tak mahu cari bala.Ini bukan tempatnya dan masanya untuk berlawan cerita atau siapa pandai.kalau mau berbahas dalam gelanggang atau masa pemilihan.Ini bulan Ramadhan,bukan bulan politik.Saya kalau mahu berpolitik saya berpolitik betul-betul,kalau mahu tolong kawan,saya tolong betul-betul.Yang penting kita jangan tipu kawan.Macam sekarang ni musim puasa,saya puasa betul-betul.ini bukan time politik,cerita sana,cerita sini,aksen sana,aksen sini. Saya tidak cerita politik pun,orang dah tahu saya AJK Bahagian.Sekarang peluang saya untuk berbuat baik,ambil pahala. Ah...dah sampai pun rojak-makan....,makan,makan...,makan saja",ajaknya bersungguh-sungguh dengan penuh keikhlasan.

Saya dan D.d sepanjang hujahnya tak menjawab sepatah pun kerana apa yang diceritakannya kami anggap fakta belaka. Kedua kami tak menjawab,kerana mungkin terlalu senang hati kena belanja rojak daging.

Friday, August 14, 2009

JUMAAT,JAM 5.20pm- Saya menunaikan janji bertemu kawan lama di restoran mayang sari, Kota Belud kerana katanya ada bisnes menguntungkan yang dia nak kongsikan. Kawan lama saya tu dah mampu pakai kereta Prado King walaupun baru 6 bualan menceburi bidang itu. Dalam perkongsiannya dengan saya, beliau aktif menjalankan bisnes yang beliau katakan multi level marketing (MLM).

"Awak tak mau dapat RM15 ribu sebulan?"
"mau, mau. Siapalah tak mahu jika pendapatan mengalahkan gaji", jawabku ghairah.
"nah kau tengok ini.lumayankan", katanya sambil menunjukkan cek berjumlah 15 ribu ringgit.

Menurut kawan lama saya tu, perniagaan tersebut boleh dilakukan secara sambilan oleh kakitangan kerajaan mahupun di sektor swasta. Menurut kawan saya tu prinsip perniagaan ialah 3D(diam-diam duit). Tapi sayang pertemuan terlalu singkat (hanya 40 minit sahaja). Akhirnya, saya berjanji untuk memikirkan perkara itu terlebih dahulu kerana ada komitmen lain.

Persoalannya sekarang, saya tiada ilmu dalam bisnes apa lagi yang diistilahkan dengan MLM ini. Bagi saudara-saudaraku yang mungkin berpengalaman saya pulangkan soalan ini. Mungkin ada di antara saudara yang berjaya, ataupun sedang melaksanakan bisnes ini. Bagaimana cara? Tolonglah beri pendapat dan tips untuk berjaya atau sebaliknya!

Thursday, August 13, 2009

Awal pagi kelmarin,sebaik tiba di pejabat saya agak terkejut juga apabila rakan-rakan memakai penutup mulut. Kelainan itu menyebabkan saya berfikir sejenak. Selepas itu, tanpa ragu-ragu saya tak mahu bertanya kerana yakin mereka sedang mengamalkan langkah keselamatan atau berjaga-jaga kerana wabak H1n1 yang melanda dunia sangat serius walaupun dalam keadaan terkawal seperti dinyatakan dalam media.


"Sekarang dah ada kes cikgu. Guru yang kena ni. sekarang dalam wad kecemasan", tiba-tiba salah seorang pembantu tadbir pejabat memberitahuku. Mungkin melihat telatahku yang tak ambil kesah di atas perlakuan mereka.

"Ada ubat pencegahankah?tanyaku.
"Jika belum kena tak ada cikgu. Kita diminta hati-hati. Biasanya kuman menjangikiti melalui udara dan sentuhan. Kena hati-hati jika berada di restoran kerana mungkin meja disentuh oleh orang terkena kuman itu. mesti suci tangan bersih-bersih. Penutup ini boleh halang kuman masuk ke badan. Doktor galak makan vitamin C sebab orang yang mudah terkena penyakit ini pesakit selesma, ampus dan darah tinggi. Biasanya kuman akan berada selama 7 hari dalam badan. Jika tak kuat antibodi, seseorang jatuh sakit dan jika dibiarkan bawa maut", katanya lagi.

Baru hari ini saya telah mendengar penerangan sedikit pencegahan tentang wabak itu. Mungkin banyak perkara lagi perlu aku ketahui. Syukurlah saya dah tahu serba sedikit. Tapi macamana di kampung-kampung. Seharusnya JKKK perlu buat peranan bantu kerajaan untuk menjelaskan perkara ini. Minta risalah di pejabat kesihatan yang berdekatan. Agensi dan jabatan kerajaan yang lain perlu bersedia lebih awal dengan menubuhkan jawatankuasa bertindak. Bukannya dah terhantuk baru terngadah.Petang ini, di sekitar pekan kota belud dah ramai orang memakai penutup hidung dan mulut. Saya pun baru terfikir nak tiru orang lain pakai itu, tetapi stok dah habis di farmasi. Esok datang farmasi lagi.

Hari ini Timbalan Perdana Menteri mengharapkan agar pengetua dan guru besar perlu merujuk kepada pegawai kesihatan terlebih dahulu sebelum menutup sekolah.Hanya murid-murid yang terlibat dijangkit sahaja yang dikeluarkan dan dikuarantin. Betul juga, jika sekolah asyik ditutup murid juga yang dapat rugi.