Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Sunday, June 26, 2011



Pada 3 Januari 2011 adalah lembaran baru bagi saya dalam dunia pendidikan apabila memulakan tugas sebagai Penolong Kanan 1(pentadbiran) di Sekolah Kebangsaan Pandasan, Kota Belud. Setelah 7 tahun saya bertugas di Pejabat Pelajaran Daerah Kota Belud sebagai Penyelia di Unit Disiplin,Dadah dan Kaunseling saya diarahkan oleh Bahagian Perjawatan, Jabatan Pelajaran Sabah untuk melaksanakan tugas yang merupakan pengalaman baru bagi saya kerana sebelum ini saya tidak pernah melaksanakan tugas tersebut semasa saya bertugas di sekolah-sekolah.

Mengimbas kembali sejarah saya dalam dunia pendidikan,saya ditugaskan buat pertama kalinya di SK kanibongan Pitas iaitu sekolah luar bandar pada 4 September 1989 sebagai Guru Sandaran Tidak Terlatih. Saya masih ingat lagi kepayahan perhubungan dan pengangkutan untuk menuju ke sekolah tersebut. Pada masa tu jalan laut menjadi penghubung ke sekolah tersebut, manakala jalan darat melalui feri Pitas untuk menyebarang ke sungai Bengkoka. Selepas itu disambung menggunakan kereta Hilux kerana jalanraya umpama sawah ketika musim tengkujuh dan kami disaluti debu tebal pada musim kemarau. Jika diimbas kembali kemudaahan infrstruktur memang jauh berbeza dengan massa sekarang ini. Mungkin tidak keterlaluan jika saya katakan masalah air merupakan masalah utama di sekolah tersebut. Ada kalanya kami terpaksa mandi atau minum menggunakan air berbau lumpur dan longkang. Seorang rakan yang sempat melawat kami di kampung Kanibongan pernah bertanya; "Macamana cikgu tahan dengan keadaan di sini?'. Saya jawab selamba aje,"demi tugas kepada negara,kami rela saja. Rakan itu tersenyum sambil menggeleng-geleng kepalanya.

Saya ingin mengongsi sedikit pengalaman lalu bagi tatapan guru-guru muda yang baru bertugas. Saya mendapat tahu ramai di kalangan guru-guru muda terlalu berat hati untuk berkhidmat di sekolah-sekolah luar bandar. Hakikatnya mencurahkan bakti buat anak-anak jauh di luar bandar merupakan pengalaman yang paling murni. Kita mesti merenung pribahasa bersusah-susah dahulu,bersenang-senang kemudian.

Semua ini pernah saya lalui dan bagi saya ia merupakan pengalaman yang amat menyeronokkan apabila dikenang kembali. Gaji permulaan saya ketika itu ialah RM435.55 yang mana ia merupakan gaji yang jauh lebih rendah berbanding guru-guru baru lepasan Ijazah hasil produk Institut Perguruan di seluruh Malaysia ataupun universiti-universiti yang diiktiraf dalam bidang pendidikan. Saya difahamkan gaji guru-guru muda yang baru diposting ialah RM2 ribu ke atas.

Berbalik kepada cerita pengalaman baru saya sebagai Penolong kanan 1, bagi saya suatu pengalaman yang sangat saya hargai kerana tidak menyangka hingga ke tahap sekarang ini. Bagi saya,jika seseorang guru itu menjalankan tugas dengan ikhlas dan telus,InsyaAllah pasti memperolehi suatu kemanisan dalam perjuangannya sebagai seorang pendidik. Cuma selaama ini saya masih teraba-raba untuk mencari keseesuaian,almaklumlah setelah sekian lama berada di pejabat sudah tentu suasanaya berbeza. Ikuti cerita ini esok.


Hari ini saya kembali dengan semangat baru waalaupun tahun 2011 dah hampir 7 bulan berlalu, namun bagi saya azam baru tidak semestinya dilaksanakan pada tahun baru sahaja. Ia boleh bermula dalam bulan apa sahaja untuk kita melaksanakan penghijraan diri. Namun kita diingatkan dengan sejarah Nabi Muhammad s.a.w dan dalam masa yang sama yang amat penting penghijraan dalam diri itu sendiri. Tanpa disedari kita terlalu lama tidur dan sering kali pula alpa pada diri kita sedangkan diri harus disayangi dahulu sebelum menyayangi orang lain. Saya teringat kata-kata emak saya, "kasihanilah dirimu terlebih dahulu sebelum mengasihani orang lain". Dalam erti kata lain kita hendaklah memperbetulkan diri kita dahulu sebelum memperbetulkan orang lain kerana kekuatan diri itu amat penting.

Cuba bayangkan jika diri kita sakit tenat atau hilang akal sudah tentulaah kita kehilangan pekerjaan tetap dan hilang punca rezeki. Macamana kita curahkan khidmat kita kepada keluarga dan orang lain. Saya pernah mengingatkan seorang ibu tunggal agar jangan terlalu bersedih dengan takdir yang dialaminya kerana ianya akan menjejaskan kesihatan diri. Bayangkan jika kesihatan terjejas banyak perkara yang perlu diselesaikan akan terjejas umpamanya bekerja untuk menyara kehidupan keluarga apatah lagi jika pendapatan itu digaris kemiskinan.

Dalam filem Ibu Mertuaku yang dilakonkan oleh P.Ramlee jelas menunjukkan akibat kesedihan yang teramat sangat telah mengakibatkan watak Osman itu telah menjadi buta sedangkan isterinya yang dikatakan telah meninggal dunia tidak benar sebaliknya bahagia di samping suami barunya. Ini jelas memberi mesej untuk apa kita bersedih sedangkan orang lain bergembira dan tiddak ingin tahu akan kesedihan diri yang dialami. Dunia sekarang seolah-olah menuntut manusia agar mementingkan diri sendiri,namun kita harus ingat amal kebajikan itu juga sebagai ibadah yang boleh memberi ketenangan terhadap seseorang. Sudah tentu Tuhan akan memberi ganjaran kesihatan,pemikiran dan idea yang baik kepada hambanya yang ikhlas bekerja mencari rezeki di samping membuat kebajikan di atas mukabumi ini.

Atas kesedaran itulah saya mulai bangkit dan menyedarkan diri saya sendiri untuk kembali dalam dunia penulisan kreatif di samping minat yang mendorong saya ke arah pemikiran yang positif. InsyaAllah atas dorongan diri sendiri dan rakan-rakan ,saya aktif semula menulis dalam ruangan blog ini. Marilah kita bangun dari tidur yang lena kita bangkit untuk berubah kerana usia terlalu cepat beredar. Jika usia kita telah mencecah 40-an rasa-rasanya berapa tahun lagi kita boleh hidup sedangkan dalam lingkungan usia tersebut banyak penyakit yang dihidapi. Dalam usia 40-an,sebenarnya kita telah tidur sekian lama sebelum mata terpejam dan tak bangun-bangun buat selama-lamanya. InsyaAllah bertemu lagi di lain perbincangan dalam masa yang terdekat ini.