Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Showing posts with label PPDa. Show all posts
Showing posts with label PPDa. Show all posts

Thursday, September 10, 2009

GAMBAR : PEMANTAUAN PENGURUSAN PENDIDIKAN PENCEGAHAN DADAH (PPDa) di SK.PEKAN KOTA BELUD


Bermula 7 hingga 11 September ini, saya dan Penolong Pengarah Kanan,Unit Pendidikan Pencegahan Dadah, SPK, JPN Sabah, Encik Ednan Muyong telah melaksanakan pemantauan di sekolah-sekolah dalam daerah Kota Belud. Tujuan pemantauan tersebut adalah untuk memastikan dan membantu pelaksanaan pendidikan pencegahan dadah di sekolah-sekolah berjalan dengan baik di samping mengenalpasti permasalahan di sekolah-sekolah serta membina hubungan baik di antara sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah Kota Belud dan Jabatan Pelajaran Sabah.

Pada hari pertama pemantauan, saya dan En.Ednan sempat melawat 4 buah sekolah seperti yang dijadualkan iaitu di SK.Sembirai,SK.Pekan KB,SK.ST.Edmund dan SJK(C) Chung Hwa. Pada masa itu,sekolah sibuk melaksanakan persediaan UPSR. Tidak ketinggalan SK.Pekan Kota Belud telah melaksanakan Majlis Restu UPSR. Tetapi syukurlah, kehadiran kami telah diterima oleh semua guru besar dan pemantauan telah berjalan dengan lancar.

Kunjungi blog PENDIDIKAN PENCEGAHAN DADAH KOTA BELUD seperti dalam ruangan pautan blog ini.


Saturday, August 22, 2009



GAMBAR : Baharin (kiri) menyampaikan cenderamata daripada KPM kepada Pengetua SMK Tambulion,Hj.Mad Amin Mad Yusof sambil diperhatikan oleh Ashaari(JPN Terengganu)



Saya masih teringat lagi raut wajahnya dalam perjalanan dari Kampung Piasau ke SMK Tambulion yang diburu keresahan.Beliau sempat bertanya kepada saya samada Tambulion dah ada perubahan atau macamana? Saya katakan kepadanya,tuan lihatlah sendiri perubahan yang ada.


Pengalaman ke Tambulion merupakan pengalaman ke-2 bagi En.Baharin Sabar untuk menilai sudut sumber PPDa. Beliau yang bertindak selaku Ketua Panel Penilai tidak jemu mengelilingi seluruh negara kerana baginya amanat Kementerian Pelajaran Malaysia amat penting untuk disampaikan/dilaksanakan apatah lagi bagi memperkasakan program pendidikan pencegahan dadah di sekolah-sekolah.


Sebelum balik dari SMK Tambulion, beliau sempat mencetuskan suara hatinya kepada pembertita. Saya memikirkan suara hati itu bukan sahaja untuk SMK Tambulion tapi bagi masyarakat Kota Belud. Dipendekkan cerita selepas berita ekoran cetusan suara hati beliau tersiar dalam web Bernama,RTM(Radio dan TV1) dan Bernama TV, sekali lagi beliau mencetuskan suara hatinya melalui sms seperti yang saya coretkan di bawah:-


i. Terima kasih kerana memberi peluang untuk menyuarakan hasrat KPM untuk melihat sekolah bebas dadah 2012 di samping penduduk Kota Belud dapat menikmati jalan yang diturap untuk memberi kemudahan perhubungan antara masyarakat dan sekolah.


ii. Mudah-mudahan suara hati ini membuka lembaran baru kepada masyarakat setempat.InsyaAllah.



Berikut ( di bawah ini ) disertakan salinan berita yang disiarkan dalam laman web Bernama seperti yang dinyatakan di atas.



Berita Sabah
August 08, 2009 15:37 PM

SMK Tambulion Layak Jadi Sekolah Pelancongan Di Sabah


KOTA BELUD, 8 Ogos (Bernama) -- Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tambulion, dekat sini layak menjadi sekolah pelancongan melalaui program pendidikan pencegahan dadah, kata Ketua Panel Penilai Sudut Sumber Pendidikan Pencegahan Dadah, Kementerian Pelajaran, Baharin Sabar.


Menurutnya, kelayakan tersebut berdasarkan komitmen pihak sekolah untuk menarik perhatian sekolah luar, Pertubuhan Bukan Kerajaan(NGO), Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan Jabatan Pelajaran Perak untuk mengadakan lawatan sambil belajar di sudut sumber pendidikan pencegahan dadah (PPDa) sekolah berkenaan.


"Selain itu, kecemerlangan sekolah untuk mengadakan program pendidikan pencegahan dadah melalui aktiviti kurikulum dan kokurikulum wajar dihargai dan dicontohi oleh sekolah-sekolah lain di seluruh negara."Walaupun dikategorikan sebagai sekolah luar bandar, saya kagum dengan usaha murni pihak sekolah yang merealisasikan visi Kementerian Pelajaran 'Sekolah Bebas Dadah Tahun 2012', katanya kepada Bernama di sini.


SMK Tambulion merupakan satu-satunya sekolah di antara 209 buah sekolah di Sabah yang dipilih mewakili Jabatan Pelajaran Sabah untuk penilaian peringkat kebangsaan.Sehubungan itu, Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Normah Gagoh pada 28 Julai lalu mencadangkan agar sudut sumber PPDa sekolah berkenaan dijadikan rujukan oleh sekolah-sekolah lain di Sabah.


Dalam pada itu, Baharin mencadangkan kepada pihak-pihak berkenaan untuk menaikkan taraf jalan raya sejauh 8 kilometer dari jalan raya besar Kampung Piasau untuk memudahkan perhubungan masyarakat dengan sekolah tersebut memandangkan kelayakan sekolah tersebut sebagai sekolah pelancongan pendidikan pencegahan dadah bertaraf kebangsaan.


"Kami kesal kerana jalan raya ke sekolah ini masih berlubang dan berdebu. Bantulah sekolah ini kerana ia akan kerap dilawati oleh agensi luar untuk berkongsi kecemerlangan. Kami hanya mencadang, tetapi biarlah pihak berkenaan yang menjalankan kewajipan untuk kebaikan semua, katanya.-- BERNAMA

Thursday, August 20, 2009



GAMBAR : Pengetua SMK Tambulion,Hj Mad Amin sedang menerima cenderamata untuk sudut sumber PPDa daripada Ketua Pemuda Umno Bahagian Kota Belud,Encik Baharul Sawi.

Sebaik selesai bengkel pemurnian modul bagi program pendidikan pencegahan dadah di di Hotel Midtown,Terengganu, tiba-tiba tergerak hati saya untuk membuka laptop yang mengandungi gambar-gambar lalu.Semasa melihat gambar-gambar anak dan isteri,saya terjumpa gambar Baharul yang turut hadir semasa perasmian sudut sumber PPDa. Saya teringat kata-kata pengetua SMK Tambulion yang menyatakan keterharuannya terhadap sokongan pihak luar seperti Agensi Antidadah Kebangsaan,Jabatan Penjara,PDRM dan Ketua Pemuda Umno Kota Belud, Encik Baharul Sawi.

Saya fikir sumbangan Encik Baharul berbentuk jam gergasi untuk sudut sumber PPDa akan dikenang oleh warga pendidik khususnya SMK Tambulion. Perwatakan beliau yang sangat simple memudahkan pihak sekolah khususnya warga pendidik untuk berurusan dengan beliau. Selain sumbangan jam gergasi,En.Baharul sebenarnya telah menyumbang markah yang besar kepada usaha SMK Tambulion kerana dalam kriteria penilaian, sumbangan daripada NGO dan pemimpin akan memberi markah bonus yang memuaskan.

Maknanya,jika SMK Tambulion mendapat tempat johan/naib johan/ketiga alangkah murninya sumbangan seumpama itu.Tetapi jika pun sekolah berkenaan tidak mendapat tempat seperti yang dinyatakan tadi sekurang-kurangnya Ketua Pemuda Umno Kota Belud telah berjaya membantu KPM terhadap penyampaian mesej PPDa di sekolah-sekolah di mana golongan belia perlu membantu remaja sekolah agar tidak terjebak dengan gejala sosial seumpama itu. Matlamat KPM untuk merealisasikan 'Sekolah Bebas Dadah Menjelang 2012' menjadi realiti jika ada pemimpin muda yang dapat mentafsir matlamat KPM tersebut

Bagi pihak warga SMK Tambulion dan seluruh warga pendidik di Kota Belud, kami mengucapkan terima kasih kepada Ketua Pemuda Umno Kota Belud dan jawatankuasanya.

Wednesday, August 19, 2009


GAMBAR : Semasa bengkel pemurnian modul 5 minit mesej

antidadah.




GAMBAR : Dari kanan,En.Bashrin(KPM),aku,En.Badrul(KPM)dan
En.Suhaimie(JPN Johor) mengabadikan kenangan
di sisi batu bersurat di Monumen Tamadun Islam,K.T

Hari ini, saya masih berada di Kuala Terengganu semata-mata mengikuti pemurnian modul Pendidikan Pencegahan Dadah(PPDa) anjuran Bahagian Pengurusan Sekolah harian, Kementerian Pelajaran Malaysia. Kumpulan saya yang diketuai oleh En.Ashari,Ketua Unit PPDa,JPN Terengganu dipertanggungjawabkan untuk memurnikan modul yang berjudul 'MESEJ 5 MINIT ANTI DADAH' yang perlu dilaksanakan oleh sekolah-sekolah pada setiap perhimpunan mingguan mulai tahun depan. Sebanyak 60 tajuk yang kami murnikan untuk diterbitkan dan diagihkan kepada sekolah-sekolah di seluruh Malaysia.




Apa yang penting, moga sekolah dapat memanfaatkan hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia agar sekolah sifar dadah tahun 2012. Saya fikir inilah salah satu komponen yang terlalu mudah untuk diikuti dan dilaksanakan oleh pihak sekolah. Selepas ini tiada alasan bagi sekolah-sekolah enggan melaksanakan program antidadah,jika pun dicadangkan minggu antidadah itu merupakan program yang membebankan sekolah dan membuang masa bagi pengetua/guru besar/pihak pengurusan sekolah yang amat mementingkan kecemerlangan akademik yang kononnya penentu kecemerlangan kehidupan individu.
GAMBAR: Semasa di Masjid Kristal
Kuala Terengganu.

Dalam kehidupan harian kita pun perlu sentiasa ingat mengingati sesama kita. Pendidikan adalah proses berterusan yakni selagi seseorang masih bernyawa selagi itu ilmu diperlukan. Janganlah ada di antara kita yang memperlekehkan pendidikan pencegahan dadah .Sepatutnya PPDa dilaksanakan berterusan bukannya sekali sekala.Seorang ibu yang mendidik anaknya,bukan setakat memberi nasihat sekali sahaja dalam seumur hidup kita ataupun jarang-jarang kali.Tetapi seorang ibu yang baik akan memberi nasihat kepada anaknya walaupun telah berumahtangga.

Kita tidak mahu generasi kita pada masa akan datang rebah kerana dadah. Cemerlang akademik,tidak menjamin untuk seseorang pelajar atau individu itu untuk tidak terlibat dalam penyalahgunaan dadah. Oleh itu, marilah sama-sama kita bersatu hati untuk mengenepikan pendapat bahawa pendidikan pencegahan dadah adalah tidak penting. Jangan dah terhantuk baru terngadah.Sekian yang saya dapat coretkan dari Kuala Terengganu.

Thursday, August 13, 2009

Saya menunggu ketibaan rombongan panel pinilai sudut sumber pendidikan pencegahan dadah pada 4 Ogos lalu. Semasa penantian di lapangan terbang antarabangsa di Kota Kinabalu, saya sempat melihat sambutan orang-orang penting dalam dunia perfilamen sempena Festival Filem Malaysia yang berlangsung di UMS.

Sekitar jam 6.10pm rombongan penilai daripada KPM telah sampai.Pada mulanya mereka hendak menginap di bandar KK.Saya menjelaskan kepada mereka ada sedikit kepayahan perjalanan ke SMK Tambulion. Sebenarnya mereka hadir ke Sabah kerana semata-mata untuk menilai sudut sumber PPDa SMK Tambulion yang mewakili Jabatan Pelajaran Sabah ke peringkat kebangsaan.

SILA LIHAT : http://ppda-kotabelud.blogspot.com

Seorang daripada mereka bertanya,berapa jam boleh sampai? Dari KK ke KB hanya satu jam setengah jika jalan sederhana,dari KB ke SMK Tambulion 30 minit. Maknanya jumlah masa hanya 2 jam sahaja.

Bah..,kalau begitu kami tidur di KK aje,kata salah seorang daripada rakan dalam rombongan itu yang cuba mengikut logat Sabah.

’Ok, kalau begitu jam 7.00 kita mesti bertolak dari KK,sebab acara bermula jam 9.00 pagi” saya jelaskan kepada mereka. En.Baharin selaku ketua panel penilai hanya mendengar sahaja.

”kita pergi tempat minum dulu,baru ada jalan penyelesaian”, ajakku.Tanpa membuang masa kami pergi minum di Restoran Rohayu bersebelahan dengan masjid negeri. Saya lihat mereka terlalu letih kerana pagi tadi mereka menilai sudut sumber ppda di salah sebuah sekolah di Kuching, Sarawak. Saya difahamkan mereka tak sempat untuk bersiar-siar. Mungkin juga tak sempat beli ikan terugug.

Dalam pemerhatian saya ada di antara mereka ingin membelikan orang tersayang kristal di gerai filipina(nama dulu). Tak kurang juga yang merindui isteri dan anak tersayang walaupun baru sehari berpisah. ”Semua kumbang durjana,hanya sekuntum bunga yang dimiliki”,kata En.Baharin bergurau. En.Baharin sepanjang yang saya kenali sejak tahun 2004 lagi dalam ceramah-ceramahnya merupakan seorang penceramah yang saya minati kerana daya tarikannya melalui gurauan dan madah-madah pujangganya. Akhirnya En.Baharin memutuskan untuk menginap di Kota Belud kerana masalah driver yang bukan driver pejabat/ jabatan tetapi driver disewa khas dari Kota Belud.

Sepanjang perjalanan dari kk ke kb, rombongan tak kering gusi kerana mendengar telatah yang menggelikan hati sesama sendiri. Tidak kurang juga kehebatan En.Baharin yang bergurau dengan bahasa tamil. ”Di Tambulion dah ada perubahankah?”,tanya beliau kepada saya ketika melintasi kampung Bunga, Tenghilan. ”Sudut dah berubah”,jelasku ringkas. Orangnya, masihkah seperti dulu?tanya beliau lagi yang pernah menilai SMK Tambulion tahun lalu.Yang lain muka baru termasuk seorang wanita dari JPN W.Persekutuan KL. ”Orang lama masih di situ,masih mesra seperti dulu”, jawabku.Kami terus berbual sehinggalah sampai ke tempat penginapan yang tak berbintang.

5 Ogos 2009, Jam 8.40am- kami bergerak dari pekan kb ke smk tambulion. Bas yang dinaiki agak perlahan kerana driver yang membawa kami risau basnya patah absover.Jalan berbatu tapi berdebu. Kami melalui dua anak bukit.sedikit tergelincir di situ kerana driver tak biasa bawa jalan macam tu. Saya merisik kepada salah seorang daripada mereka tentang sekolah-sekolah di semenanjung macamana? Dia kata, tak pernah terjumpa jalan seumpama ini.

”Bahaya juga jalan ni,jika perempuan hamil 5 bulan boleh gugur, katanya selamba sambil tersenyum. ”Siapa wakil rakyat di kawasan ini?. Soalan demi soalan diajukan,saya jawab,no komen sebab di luar bidang saya. Apa yang saya utarakan hanyalah suara hati orang jauh.Mungkin juga suara hati 1Malaysia.

Menurut apa yang saya tahu,negeri-negeri di semenanjung mempunyai kemudahan infrastruktur sepert jalanraya di kawasan sekolah diutamakan. Malahan bangunan sekolah-sekolah rendah adalah konkrit tidak lagi bangunan kayu sepert zaman 50-an dan 60-an. Tapi apapun terima kasih kepada pihak berkenaan yang sentiasa merancang,merencana kemudahan sekolah pada masa-masa akan datang.

Terima kasih kerana mendengar keluhan dan suara hati daripada orang kerdil yang tak punya apa-apa. Percayalah apapun yang diluahkan baik orang dekat ataupun jauh adalah untuk kebaikan 1Malaysia, kerana mereka pun mungkin merasakan 1jasad dan derita dengan kita di sini. Mudah-mudahan semangat 1Malaysia akan membuka lembaran baru kepada kita semua di Sabah khusunya bagi penduduk Kota Belud. -BERSAMBUNG

Tuesday, August 11, 2009

Sehari selepas berita disiarkan melalui radio, akhbar tempatan dan laman http://www.bernama.com/ mengenai SMK Tambulion jadi sekolah pelancongan di Sabah, saya di tanya dengan beberapa soalan? betulkah itu?benarkah tu?Siapa yang datang?Pengarah Pelajaran ada datangkah?Datuk Normah ada umumkah? Saya tak faham samada mereka yang bertanya itu mempertikai tentang kelayakan sekolah itu ataupun tidak, kerana bagi saya mereka tak bersalah untuk bertanya. Bagi saya,lebih banyak pertanyaan lebih baik untuk mempercambah minda.

Tiada yang mustahil, jika pun SMK Tambulion jadi sekolah pelancongan suatu masa kelak. Cuma kesungguhan semua pihak amat perlu untuk merelisasikannya.Seorang rakan dari luar daerah memberitahu saya: saya rasa geli hati dengan berita itu. Saya tanya,kenapa?

"Macamana saya tak gelihati bila berita penuh SMK Tambulion dibaca sebagai pelancongan untuk program-program dadah dan sudut sumber pendidikan pencegahan dadah? Setahu saya sesebuah tempat pelancongan ini ialah lokasi yang menarik dan mempunyai lanskap yang indah lain dari yang lain. Kenapa di Kota Belud tiada tempat pelancongankah? Tapi ini lain pula,baru pertama kali saya dengar pelancongan untuk program pencegahan dadah? kata sahabat saya itu.

Saya hanya tersenyum sahaja,masih belum boleh mengulas terhadap perkara yang menggelikan hatinya itu. Biar persoalan itu akan menjadi kenyataan suatu hari kelak. Cuma yang saya tahu SMK Tambulion kerap kali dilawat oleh sekolah-sekolah di dalam dan di luar daerah yang ingin berkongsi maklumat mengenai bahaya dadah. Demikian juga Institut Perguruan Kent dan Jabatan Pelajaran Perak yang akan melawat dalam tempoh terdekat ini. Mereka tidak hanya mencari maklumat dalam buku semata-mata tapi mereka yakin sesuatu pembelajaran itu menjurus kepada praktikal seperti kewujudan sudut sumber dadah SMK Tambulion yang mewakili Jabatan Pelajaran Sabah hingga ke peringkat kebangsaan.

Siapa sangka sekolah yang pada awalnya tidak dikenali menjadi kunjungan agensi luar. Satu-satunya sekolah di antara 209 buah sekolah menengah yang disebut di Sabah. Menurut pengetua sekolah Hj Mad Amin Mad Yusof, sebelum orang mengenali SMK Tambulion ramai rakan guru menyangka ianya terletak di Tambunan. Tapi selepas sekolah dapat merealisasikan impian kementerian, nama sekolah dikenali bukan sahaja di luar Kota Belud malahan hingga ke negeri-negeri di semenanjung.

Persoalannya adakah kelayakan SMK Tambulion sebagai sekolah pelancongan hanya tinggal sebagai suara hati sahaja? Pihak-pihak berkenaan juga harus buat peranan,bukannya main peranan. Akibat terlalu bermain dengan peranan jalanraya ke sekolah tersebut masih berhabuk dan berdebu. Mungkinkah itulah yang menggelikan hati orang bila disebut sekolah pelancongan kerana lokasinya di dalam hutan, jalanraya berdebu, berhabuk dan batunya sebesar genggaman penumbuk. Ataupun perkara kedua yang menggelikan hati mereka kerana pelancongan dikaitkan dengan program dadah?