Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Saturday, January 23, 2010




Salam kerinduan buat sahabat-sahabatku yang jauh mahu pun dekat. Saya yakin blog Suara Hati masih mempunyai peminat yang tersendiri,walaupun konsep penulisannya adalah ringan,biasa-biasa aje atau syok sendiri. Bagi saya,jika ada yang baik jadikan tauladan dan yang tak berapa elok jadikan sempadan. Saya hanya menulis berdasarkan suara hati yang telus dan menyampaikan berita semasa untuk dikongsikan berdasarkan pengalaman. Saya hanyalah penulis puisi yang tidak aktif di Sabah, walaupun pernah memenangi Hadiah Sastera Sabah sebanyak 3 kali berturut-turut iaitu pada tahun 1996/1997,1998/1999 dan 2000/2001. Setelah 8 tahun menyepi lahir sebuah puisi berjudul Akta Batinku yang telahpun disiarkan dalam majalah Dewan Sastera terbitan DBP Kuala Lumpur. Syukur alhamdulillah saya dapat honorium 200 ringgit. Puisi itu boleh dibaca dalam http://jeritanbatin-ku.blogspot.com

Baiklah, jika dua hari yang lalu saya dah kongsikan betapa kita harus rasa bersyukur dengan nikmat yang diperolehi di dunia yang sifatnya hanya sementara. Dalam ruangan ini saya nak kongsikan sedikit peranan kita termasuk golongan para jutawan untuk membasmi kemiskinan. Sebab itu Allah mewajibkan zakat dalam Islam demi membantu saudara-saudara yang miskin.

Zakat dari segi bahasa bermaksud suci,bersih,subur dan berkembang. Menurut istilah syarak pula zakat ialah nama bagi suatu kadar harta tertentu yang wajib diberikan kepada orang-orang tertentu mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syarak.

Allah berfirman : "Dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat". Surah an-nisa:77

Ini jelas membuktikan betapa zakat itu seiring dengan menunaikan ibadah solat/sembahyang. Ramai orang berfikir bahawa zakat ini dikeluarkan pada bulan Ramadhan sahaja. Itu dinamakan zakat fitrah yang wajib kepada semua umat Islam tidak kira kaya ataupun miskin. Saya cukup tertarik dengan usaha Pusat Zakat,MUIS yang berjaya menganjurkan kempen mengeluarkan zakat kepada kakitangan awam dan swasta melalui skim potongan gaji. Diharap PZ dapat melipatgandakan lagi usaha dengan memberi makluman kepada masyarakat Islam akan kepentingan zakat dan penerangan ke mana sepatutnya sumabangan zakat ini di salurkan. Kekeliruan masyarakat harus diperjelaskan.

Bagi saudara yang berkhidmat sebagai kakitangan kerajaan di Sabah, saya ingin mengesyorkan agar datanglah terus ke Pusat Zakat Negeri Sabah yang terletak di Tingkat 1, Wisma MUIS,Kota Kinabalu. Jika boleh bawa slip gaji untuk ditaksirkan oleh pegawai yang berkhidmat di PZ. Saya rasa tidak rugi kita mengeluarkan zakat pendapatan kerana Allah akan memberi lebih dari itu lagi.

Mungkin ada saudara yang berfikir alangkah sayangnya gaji aku dipotong sebanyak 30 atau 50 ringgit sebulan. Tapi tidak kah kita terfikir 50 ringgit itu akan habis begitu sahaja tanpa kita ketahui penggunaannya mengikut kesesuaian harian. Mungkin hikmahnya,kita akan sentiasa berwaspada dalam berbelanja. Kita akan menghayati erti kesyukuran dan berterima kasih di atas nikmat yang Allah berikan. Sepanjang pengalaman, saya merasakan ketenangan jika kita laburkan wang sedikit itu kepada Pusat Zakat dengan niat seikhlas-ikhlasnya kerana Allah kerana wang itu akan diagihkan kepada orang yang memerlukan seperti anak-anak yatim,fakir miskin dan sebagainya. Ada juga individu yang menghulurkan terus kepada yang dihajati. Tidak kesahlah asalkan niat untuk membantu. Tapi kelebihan PZ kerana ia ditadbir untuk menyalurkan bantuan tersebut secara keseluruhannya. Saya masih ingat lagi adik saya yang belajar di UKM mendapat bantuan biasiswa daripada Baitul Mal yang bertganggungjawab mengurus zakat Negeri Sabah.

InsyaAllah dengan mengeluarkan zakat,reaeki saudara-saudara akan bertambah tanpa disedari kerana jelas menyatakan zakat merupakan pembersihan harta. Firman Allah S.W.T bermaksud:

"Ambillah sebahagian dari harta mereka sebagai sedekah(zakat) untuk membersihkan mereka(dari akhlak yang keji)"

FAEDAH BERZAKAT

1. Dapat mengabdikan diri kepada Allah S.W.T di samping menjadi tanda kesyukuran atas segala nikmat-Nya

2. Dapat membantu saudara seislam yang memerlukan bantuan khususnya golongan fakir dan miskin.

3. Menjamin keadilan sosial dalam masyarakat.

4. Membersihkan harta dari sumber yang meragukan.

5. Mendorong umat Islam supaya sentiasa berusaha meningkatkan ekonomi dan menjauhi kefakiran.

Wednesday, January 20, 2010

BERSAMA KANCIL KESAYANGAN : SAYA MANFAATKAN KENDERAAN INI UNTUK MEMANTAU PROGRAM PENDIDIKAN PENCEGAHAN DADAH DI SEKOLAH-SEKOLAH DALAM DAERAH KOTA BELUD. INGIN RASANYA GUNA KENDERAAN BESAR DAN CANTIK,TAPI INILAH KEMAMPUAN SAYA. GAMBAR INI DIAMBIL SEMASA PERJALANAN BALIK DARI SMK TAMBULION.


Masa terlalu pantas berlalu. Tanpa disedari masa semalam tidak sama dengan hari ini. Maka akan rugilah orang yang mensia-siakan masa yang diperuntukkan kepadanya. Sebagai manusia biasa, kita perlu ada rasa bersyukur dalam diri kerana diberi kenikmatan yang melimpah-limpah. Kita diberi waktu untuk terus hidup,walaupun hakikatnya manusia tidak pernah puas dengan apa yang dinikmati.

Sebab itu bukan hanya kesusahan itu ujian daripada Allah, malahan kesenangan dan kekayaan merupakan ujian yang paling besar yang Allah s.t berikan kepada setiap umat manusia yang berada di muka bumi ini. Ada orang hanya berpendapatan 400 ringgit sebulan(dikatakan cukup-cukup makan sahaja), tapi bersyukurlah kerana itupun nikmat yang tiada tandingnya yang Allah berikan kepada kita.

Saya ingin memperingatkan saudara-saudaraku sekalian bahawa nikmat rasa syukur ini tiada taranya. Walaupun pendapatan kita rendah,kita miskin tapi yang penting kita jangan miskin hati. Marilah kita berusaha untuk memperkayakan hati kita dan tahu rasa bersyukur terhadap nikmat yang Allah berikan kepada kita. Kita dianugerahkan pancaindera, paras wajah yang sempurna dan dapat menyedut udara segar setiap hari maka bersyukkurlah kita. Dalam Islam pun kita diminta melipatgandakan usaha untuk mendapat pendapatan yang lebih, tapi jika rezeki kita setakat itu, janganlah rasa kecewa. Kita mesti berbalik kepada konsep rasa bersyukur, kerana jika kita tidak rasa bersyukur, kita akan kecewa dan tersungkur selama-lamanya.

Ada satu cerita yang saya nak kongsikan dalam ruangan ini, iaitu seorang hamba Allah yang telah berjaya menyimpan sejumlah 120 ribu ringgit dalam akaun ASB nya selain ada pendapatan bulanan 3 ribu ringgit daripada kerajaan. Pendapatan tersebut tidak termasuk elaun memberi ceramah-ceramah budaya sehinggakan rakan lain yang ada potensi tidak ada peluang langsung untuk masuk dalam program tersebut kerana dimonopolinya hampir di seluruh daerah. Baru-baru ini saya mendapat khabar yang menyedihkan, bahawa rakan itu hampir-hampir kehilangan fikiran kerana telah melabur sebantyak 90 ribu dalam skim perniagaan yang dijanjikan keuntungannya ratusan ribu sebulan. Bertambah malang lagi kerana 8 orang rakan lain turut tertipu kerana terpengaruh dengan kempennya. Secara tidak langsung dia perlu bertanggungjawab terhadap kerugian 20 ribu seorang bagi setiap rakan lain yang dibawanya. Kesan daripada itu,dia tidak dapat keluar rumah kerana sering ditagih,kononnya dia yang melesapkan wang tu semua. Bayangkan wang sendiri lesap 90 ribu ringgit,manakala 160 ribu yang lain turut lesap,apa tak binggungnya.

Oleh itu wahai saudara-saudaraku marilah kita menginsafi peristiwa ini. Alangkah baiknya wang sebanyak itu digunakan untuk beramal,memberi bantuan kepada yang kurang mampu. Berilah hanya 5 ribu ringgit sahaja kepada pusat zakat atau sedekahkan kepada fakir miskin atau anak yatim piatu atau setidak-tidaknya kita membawa anak bini pergi umrah. Wang yang disedekahkan itu tidak membawa kerugian apa-apa kepada seseorang individu,malahan memperoleh keberkatan. Marilah sama-sama kita berdoa agar kita berasa insaf dan membantu rakan-rakan yang kurang kemampuan. Jika anda seorang jutawan, jangan anggap wang itu anda yang punya keseluruhannya. Orang lain pun ada hak di situ. Berikanlah sedekah kepada orang-orang yang memerlukan,bukannya untuk tayang kesenangan, kemewahan dengan memakai kereta mewah, lawa-lawa kerana apapun kenikmatan dan kesenangan itu dipinjamkan oleh Allah kepada manusia. Apalah gunanya pakai kereta Ninja, Mercedez, sport dan sebagainya jika tidak dapat membawa orang miskin. Hidup ini biarlah sederhana dalam semua aspek.

Sempena tahun baru 2010 ini, marilah kita bersama-sama berusaha meninggalkan kelemahan dan kesilapan yang dilalui di tahun 2009. Semoga tahun ini kita dapat menghayati dan menginsafi segala kelemahan yang telah dilalui.

Thursday, November 19, 2009

JELITAWAN PENDIAM itu hanya mampu merenung jauh dari jendela kesayangannya. Sejak kehilangan kekasihnya,yang tinggal hanyalah irama isun-isun dan tinggayun peninggalan ibunya. Ya, kekasih hatinya. Cuma itu hanya tinggal ingatan sahaja,kekasihnya telah hilang dari pandangan setelah hukum alam melanda dunia percintaan mereka. Dia seorang yang penyabar. Dia tidak pernah menitiskan air mata di depan manusia yang bernama lelaki kecuali kepada kekasihnya. Namun segalanya telah berubah, sang kekasihnya telah hilang dari dirinya. Jauh dari sudut hatinya untuknya berangan-angan apatah lagi mengenang kisah-kisah lalu,namun kehampaan selalu mengundang dirinya yang ditakdirkan demikian.

"Saya akui ramai jejaka tempatan dan warga asing ingin memiliki diriku, tetapi hatiku telah tertutup buat mereka", tiba-tiba sahaja dia bersuara dan mencurahkan gelora hati pada suatu malam yang pekat kepada sang embun yang pemalu.

"Engkau seorang yang pendendam. Dendam kesumatmu kepada lelaki terlalu dalam", tiba-tiba antara percaya dengan tidak,sang embun yang pemalu menjawab suara hatinya. Malam sunyi,sesekali jelitawan yang pemalu itu menoleh ke kanan dan ke kiri,risau ada orang lain mendengar perbualan mereka.

"Wahai embun,mahu kah engkau berkawan denganku", tiba-tiba antara bersuara dengan tidak,jelitawan pemalu itu bertanya,sesekali memandang ke kanan ke kiri di keheningan malam. Malam turut berduka akan kesedihan sang jelitawan pendiam dan pemalu itu.

"Aku sanggup berkawan denganmu,asalkan kau sanggup bercerita denganku.Ceritalah wahai gadis,aku ingin mendengarnya. Dalam kepayahan mencari satu kata,tiba-tiba kilat memancar.Seolah-olah langit turut mencemburui perbualan mereka.

"Ceritalah wahai puteri", seolah-olah embun pandai membodeknya.
"Mahukah engkau merahsiakannya",begitu kehendak jelitawan ketika betul-betul duduk sambil merenung ke luar jendela. Antara nampak dengan tidak wajah embun itu,namun yang pasti embun di celah dahan bunga itulah kawan akrabnya yang mampu mendengar ceritanya. Bulan menyerlahkan cahayanya seolah-olah sang awan memberi izin kepada mereka berinteraksi dan mungkin sebagai hadiah untuk membahagiakan jelitawan yang sentiasa memandang di luar jendela.

"Tiga tahun yang lalu, saya telah berkenalan dengan seorang penulis yang budiman. Selepas 3 bulan mengenalinya,saya rasa bahagia bersamanya kerana dia sentiasa mengambil berat dengan diriku ini. Dia seorang pengembara dan hampir semua hasil tulisannya saya minati. Oleh kerana penampilannya yang disenangi, ramai yang irihati dengan keakraban kami. Hukum alam telah sampai,pada bulan lalu, suatu senja dalam hujan panas tiba-tiba aku mendapat berita yang tidak baik.Dia dilaporkan hilang. Keretanya tersadai di tepi jalan. Sehingga kini,jangankan wajahnya,khabar beritanya langsung tidak ada.Dia pergi tanpa pesan,tanpa sebarang alamat. Tapi hati ini tetap menunggunya sehingga akhir hayat."

Suasana makin sepi. Perlahan-lahan tanpa disedari titisan air jernih membasahi pipi jelitawan itu. Kini wajahnya tidak terurus,sesekali rambutnya mengurai ditiup angin sepoi. Embun turut terharu menghayati cerita jelitawan itu.

"Bersabarlah wahai puteri. Inilah dinamakan ketentuan.Aku sanggup menemanimu sehingga bila-bila.Tapi kewujudanku pun tertakluk kepada hukum alam. Siapa sangka dalam asyik kau menatap keheningan malam ini,tiba-tiba aku telah tiada lagi. Apatah lagi jika hujan turun dengan derasnya,wajahku terhakis dan musnah. Tapi bagi dirimu yang setia,pasti akan sabar menungguku sehingga esok malam.

Jelitawan itu tersenyum puas. Sesekali dinyanyikannya lagu isun-isun buat sang embun. Bulan dan langit turut memeriahkan suasana malam. Jelitawan itu dengan raut wajah yang penuh kesepian sentiasa menanatap wajah malam di jendela kesayangannya.BERSAMBUNG


Kecintaan Masyarakat Terhadap Bahasa Kebangsaan Perlu Dipupuk, Kata Musbah.

Kota Kinabalu : Persekitaran yang dapat mendorong penggunaan bahasa kebangsaan yang betul di tempat-tempat awam perlu diwujudkan, terutama di bandar-bandar.

Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Haji Musbah Jamli menekankan perkara itu dalam pertemuannya dengan Zubaidi Abas, Pengarah DBP Cawangan Sabah yang membuat kunjungan hormat ke pejabat beliau baru-baru ini.

Pertemuan itu turut disertai Muziat Yusof,Pegawai Projek Peningkatan Citra Kebangsaan DBPCS.

Musbah berkata, paparan bahasa kebangsaan yang betul pada papan-papan iklan,kain rentang,dan premis perniagaan penting untuk memberikan citra bahasa kebangsaan yang baik dan masyarakat.

Katanya ini npenting bagi memberi sokongan terhadap usaha-usaha DBPCS terutama dalam pemaparan tulisan jawi pada papan tanda nama jalan yang dapat memupuk kesedaran dan kecintaan masyarakat terhadap warisan budaya bangsa.

Sementara itu, Zubaidi berkata kunjungan hormat seperti itu dapat mengeratkan hubungan DBP dengan para pemimpin.

”Usaha yang dijalankan oleh DBP amat memerlukan sokongan pelbagai pihak,terutama golongan pemimpin yang berperanan dalam menentukan hala tuju perkembangan bahasa dan sastera.

”Sokongan dan kerjasama daripada pelbagai pihak dapat menjamin keberhasilan usaha yang dijalankan oleh DBP,terutama dalam penggunaan bahasa kebangsaan yang betul di tempat-tempat awam.

Usaha DBP secara sendiri tidak akan berhasil tanpa bantuan dan sokongan pelbagai pihak,” tambah Zubaidi.

Tuesday, November 17, 2009

HIDUP

Hidup adalah hakikat tanpa batas
Sebuah mimpi hakiki
Tak ada ruang untuk berselindung
Selain wajahnya yang terpancar
Dari balik dinding nafsu berahi
Malam yang menutup matahari
Memancarkan wajah siang gemilang.
Kita cuba menyingkap rahsia masa
Yang pernah bersumpah janji setia
Bukan bulan bukan matahari
Tapi jiwa merdeka ini
Dari hembusan nafas kasih sejati.
Suara kebenaran
Menyatakan rindunya
Wajah kebenaran
Menyatakan cintanya
Terhadap sebuah nama
Perkasihan abadi.
Maka siang di sini hanya sementara
Menguji setia dan janji.
Benarkah kehidupan ini satu rahsia,
Atau kebenaran itu adalah kehidupan.
Di mana kau sembunyikan kertas catatan
Tentang nasib dan sembilan puluh sembilan nama
Dalam kamus erti hidup.
Dimanakah kau rahsiakan
Namamu yang satu wahai kebenaran,
Jikalau tidak dalam jubah lambung sang kekasih.
Namun tak berani menyatakan cinta hakiki
Kerana kebenaran selalu dihukum oleh zaman.
Walau pun tak terdaya kita berpisah walau sesaat
Kerana urat dan denyut jantung makrifat
Sentiasa mengingatkan kita tentang rahsia cinta.
Siapakah yang bisa memisahkan masa dan detiknya,
Jantung dan denyutnya, urat dan lehernya, darah dan merahnya,
Api dengan panasnya, gula dengan manisnya, rindu dengan dendamnya.
Maka mati itulah cintanya mati itu rindunya mati itu tidur panjang kehidupan.
Tak dibatasi ruang dan waktu selain cinta agong maha suci.
Maka hidup ini sebuah percintaan yang hakiki tanpa ruang tanpa batas,
Hanya jubah nafsu ini tak memperlihatkan tubuh kebenaran,
Kalau-kalau masih ada para iblis yang menyelinap memperdaya cinta
Dengan nafsu berahinya yang menyesat pada saat hayat sekarat.
Maka biarlah rahsia ini terpendam dalam diam kasih berpandangan
Dalam kalimat nafas rahsia; saat perpisahan engkau menempuh jalannya,
Hanya satu tiang menuju aras;kau hanya perlu bertenang menempuh saat getir.
Bersama lafaz kata rahsia cinta engkau memandang keruang cahaya gemilang,
Lalu pandangan kau pun bersatu rahsia bersatu dalam rahsia yang satu;
Lalu kau pun sirna dalam nikmat rahsia gemilang rahmat perkasihan abadi.
4.9.2009
Ramadhan
Kudat.

SAJAK TANGGANG

Apakah setiap orang harus menjadi tanggang
Pada setiapkali mencipta cemerlang?
Tanggang berada di mana-mana sekarang
Dalam lagenda atau di zaman merdeka ini pun
Ada tanggang yang mencanai wawasan
Yang bertolak dari pelusuk daerah kedaifan
Mengharung gelombang nasip di lautan
Lalu menempah sejarah di bahtera peradaban
Menjadi kelasi yang cekal dan pintar.
Tanggang kemudian menjadi juragan
Kapal bahtera benua kemerdekaan
Sehinggah telah menguasai hati seorang raja
Lalu berkahwin dengananak raja puteri jelita
Lalu menjadilah dia sang kaya raya
Lalu menjadi pula pewaris kuasa sebuah taktha
namun namanya masih tetap tanggang,
Raja tanggang pemuda yang berasal dari daerah kedaifan.
Raja tanggang pemuda yang berasal dari daerah kedaifan
Hanyut dalam arus kegemilangan dunia kekuasaan
Tanggang telah hilang pedoman dan tumpas haluan,
Dia malu pada kedaifan masa lalu
Dia malu mengaku pada wajah hodoh ibu
Dia malu menatapi mata kekasih sejati
Tanggang telah hilang jiwa jati diri
Hanya kerana seorang bidadari puteri
Tanggang tenggelam ke dalam laut keegoaan
Tanggang tenggelam ke dalam mendak lumpur kesombongan
Tanggang hancur merempuh terumbuh batu penderhakaan.
Dalam ribut badai zaman penuh goda dan perdaya
Tanggang mencipta lagenda anak zaman derhaka
Setelah Berjaya mencipta cemerlang jaya.
Meski pun demikian tanggang tetap gemilang
Tetap menjadi ceritera lagenda yang tak terlupakan
Kerana tanggang pun pernah menjadi perwira lautan terbilang.
Tetapi apakah setiap orang harus menjadi tanggang
Pada setiapkali mencipta gemilang zaman,
Untuk kemudian dibatubekukan sebagai metos dan lagenda peradaban.
Siapakah di antara kita yang bercita-cita untuk menjadi tanggang?
Siapakah di antara kita yang masih tanggang?
Siapakah tanggang?
1998-2006

Sunday, November 15, 2009

Agak lama juga saya menyepi. Baru-baru ini dengan izin isteri (Adizah Jamli) saya mesti menulis sesuatu yang melanda diri saya selama beberapa minggu ini. Bukan kehendak saya untuk membuka pekung,tetapi saya tidak mahu dituduh sebagai lelaki hipokrit.

Enam bulan yang lalu, saya telah mengenali seorang gadis jelitawan yang sepi. Perwatakannya yang pendiam dan bersahaja menyebabkan saya suka berkawan dengannya. Dalam ruangan ini,saya tak lah mengulas lanjut detik pertemuan awal kami,tapi cukuplah saya nyatakan pertemuan itu tanpa dirancang dan saya anggap sebuah pertemuan yang telah dianugerahkan oleh yang Maha Esa.

"Apakah cita-cita abang awi kepada diri ku ini?"tiba-tiba dia mengeluarkan persoalan yang membuatkan aku seperti tertelan batu kecil ketika asyik kami makan sepinggan di sebuah restoran di KK.

"Saya bercita-cita ingin menjadi sahabat sejati mu dan kau sahabat sejatiku selama-lamanya",begitu kataku secara bersahaja. Secara tiba-tiba kulihat cuaca di wajahnya berubah menjadi pilu. Perlahan-lahan sebak menyelebungi dirinya.

"Saya faham,saya ini orang susah, saya memang biasa sendiri,biasa dikecewakan",tiba-tiba air jernih membasahi pipinya yang halus. Ku biarkan dia mencurahkan kesedihannya.

"Apalah ertinya sebuah persahabatan jika tiada penghujungnya?" dengan penuh sayu satu soalan maut dia serahkan kepadaku. Ku anggap lebih baik aku ditikam dengan keris daripada menerima tusukan persoalan seperti itu.

Suasana restoran yang sibuk tidak ku terasa. Aku seperti dalam mimpi menonton wayang yang sebenarnya realiti di depan mataku. Reliti kepada sebuah angan-angan yang akhirnya sebuah pengharapan. Harapan yang tinggi seorang perempun kepada seorang lelaki yang diharapkan dapat memberi kasih sayang sesempurnanya.

Itu sebahagian kisahku enam purnama berlalu. Sebuah nama yang masih abadi dalam ingatan tapi kini tiba-tiba ia muncul sebagai bloggers yang kritis ideanya. Jika dulu dia seorang gadis yang pendiam dan pemalu, kini dia menjadi perhatian kerana penampilannya yang tidak diduga sama sekali. Mungkinkah pelepas kecewa selepas gagal bercinta atau letusan gunung berapi jiwa selama ini dikongkong oleh akta batin. Semalam ternyata jauh bezanya berbanding enam purnama yang hilang.
-BERSAMBUNG

Friday, October 23, 2009


PIBG: TANGUNGJAWAB DAN PERANAN DALAM PEMBANGUNAN PENDIDIKAN DAN MENANGANI GEJALA SOSIAL REMAJA

Penyampai: Musli Hj Oli B.Econs Hons (Univeriti Malaya) 1982, D.I.I.A (Western Australia Institute of Technology) 1985.


1.1 KONSEP PERKONGSIAN PINTAR

Konsep perkongisan pintar adalah antara tiga institusi penting dalam bidang pendidikan iaitu Sekolah, Ibubapa dan Masyarakat (School-Home-Community Partnership) atau ringkasnya SHC merupakan hubungan tiga dimensi yang bersifat tiga segi iaitu saling bergantungan antara nya.

Dalam pengukuhan system pendidikan di negara kita terdapat usaha mengukuhkan semula kerjasama antara tiga institusi yang disebutkan diatas. Ini berpunca daripada cabaran yang dihadapi berikutan ancaman-ancaman baru yang dibawa bersama era globalisasi dan dunia tanpa sempadan. Pengaruh media aternatif, pengaruh internet, yang membawa bersama anasir-anasir negative yang tidak ditapis.

1.1.1 Konsep Sekolah

Sekolah adalah bangunan. Bilik darjah. Asrama. Makmal. Bilik Guru. Guru Besar, Guru Displin, Guru-Guru, Pembantu Makmal, Warden, tukang masak, tukang Kebun, pengawal dan sebagainya termasuk dalam konsep Sekolah.

Pada asasnya Sekolah menyediakan kemudahan asas yang kondusif kepada murid-murid dan guru-guru dalam proses mendapatkan pendidikan.
Sekolah adalah agen perubahan dan merupakan institusi pendidikan yang memberi perkhidmatan yang paling rapat dan berpanjangan kepada setiap individu dalam masyarakat.

1.1.2 Konsep IbuBapa atau Rumah

Merujuk kepada kelakuan dan sikap ibubapa. Latar belakang social dan budaya masyarakat mempengaruhi cara membesar dan mendidik anak. Dikalangan masyarakat Sikh sebagai contoh tanggunjawab mendidik dan membesar anak adalah tanggungjawab keseluruhan dalam keluarga termasuk jiran tetangga dan kaum keluarga yang rapat.

Dalam masyarakat Sikh konsep Fardu Kifayah itu meliputi semua aspek kehidupan dalam masyarakat, seperti pendidikan sehinggalah kepada kemiskinan. Jika ada seorang anggota masyarakat Sikh terlibat dengan masalah social atau miskin maka seluruh anggota masyarakat itu berdosa.

Ibubapa adalah cermin dan menjadi guru dan pendidik pertama kepada anak-anak:
- Memberi kebebasan atau mengawal kebebasan
- Mesra atau tidak mesra dengan anak-anak
- Displin atau tidak
- Mengutamakan kecemerlangan atau mudah berpuashati
- Memberi hadiah
- Memberi pendidikan moral dan rohani
- Persediaan menghadapi zaman remaja
- Menghantar ke sekolah atau kenderaan awam


Ibubapa perlu sentiasa memerhati gerak geri anak-anak yang sedang bersekolah:

Berikut adalah tanda-tanda anak sedang menghadapi masalah displin di sekolah:

i. Lambat datang ke sekolah

ii. Tuang atau langsung tidak ke sekolah walaupun keluar dari rumah memakai uniform.


iii. Penyertaan dalam aktiviti sekolah. Sukan, ko kurikulum sekolah, program bestari dan lain-lain

iv. maklumat daripada rakan-rakan sekolah.

v. Penglibatan dengan geng-geng tertentu.


1.1.3 Konsep PIBG

PIBG adalah sebuah organisasi yang amat penting kepada institusi pendidikan rendah dan menengah. Pada zaman sekarang, fungsi dan tanggungjawab itu bertambah mencabar.
Peranan utama penubuhan PIBG untuk mengujudkan permuafakatan antara ibubapa dan guru-guru sekolah.
Kesefahaman dalam tugas bersama meningkat mutu pelajaran dan mengawal masalah displin di sekolah.
PIBG adalah wadah penghubung antara ibubapa, guru-guru dan sekolah serta masyarakat umumnya di kawasan itu.
PIBG boleh memainkan peranan lebih besar dengan mengujudkan tabung pendidikan yang bukan sekadar membantu sekolah tetapi juga mengadakan kem seperti “kem motivasi” dan “kem bina semangat”.
Kem bina semangat umpamanya amat penting kepada pelajar-pelajar yang menghadapi masalah displin.

SENARIO MASALAH DISPLIN PELAJAR DAN GEJALA SOSIAL REMAJA DI KOTA BELUD
Gejala social ditakrif sebagai perlakuan manusia yang terkeluar dari batas-batas normal yang diterima masyarakat, baik dari segi aspek agama, social serta norma-norma dan budaya masyarakat.
Saya pernah menonton video clip masalah gangsterism pelajar sekolah di Kota Belud tetapi statistic sebenarnya masalah displin dalam dan luar sekolah tidak ada.
Masalah social sesuatu yang merangkumi perlakuan negative anggota masyarakat yang tidak membantu atau membawa sebarang keuntungan kepada masyarakat.
Umumnya didaerah Kota Belud secara peratusan hanya 10 hingga 15% sahaja ibubapa yang ingin ambil tahu masalah pendidikan anak-anak mereka. Komuniti? Tiada survey tentang penglibatan komuniti selain pihak Polis, RELA, NGO, Agensi Dadah dll.


1.2 MATLAMAT PERKONGSIAN PINTAR

Memperhebatkan penyertaan ibubapa dan komuniti dalam proses pendidikan. Memahami peranan sekolah sebagai institusi social yang kompleks yang akan membentuk bukan sahaja tahap pendidikan tetapi juga values anak-anak dan individu.

Mencipta sentiment “sense of belonging” dan “sense of responsilility” bukan sahaja dikalangan murid-murid, guru-guru dan ibubapa tetapi juga seluruh masyarakat atau komuniti untuk mencapai “effectiveness, improvement dan changes”

Menginsafi bahawa:

i. Sekolah adalah institusi social yang tidak ujud bersendirian tetapi memerlukan kerjasama dan permuafakatan untuk mencapai matlamatnya.

ii. Sekolah sebagai institusi social yang kompleks perlu difahami masyarakat dengan menyertainya supaya tidak timbul keraguan dan salah faham.


iii. Cabaran-cabaran yang melanda masyarakat masa kini perlukan permuafakatan kesemua pihak dalam masyarakat sebagai pihak yang bertanggungjawab melalui konsep Fardu kifayah.




RUMUSAN

Konsep Perkongsian bijak akan melahirkan keadaan “win-win situation”.

Mengurang bebanan guru-guru. Ada guru displin yang menghadapi tekanan dipukul murid, kereta di dimusnah, bakar rumah guru. Senario seperti ini boleh mematahkan semangat guru.

Kerap mengadakan gotong royong untuk mengeratkan hubungan baik dan melenyapkan prasangka.

Program “parent touch”.

Idola dalam masyarakat sebagai ikon kepada pelajar dan masyarakat.

Menekan betapa pentingnya peranan ibu bapa dalam menangani masalah social remaja.