Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Thursday, June 30, 2011


Jika anda merupakan guru-guru baharu yang diarahkan bertugas di pedalaman rebutlah peluang keemasan ini kerana ianya amat berguna untuk masa depan anda. Mungkin ada yang tergelak sedikit, apa pula kepentingannya, kerana guru-guru berebut-rebut untuk bertugas di kawasan bandar atau setidak-tidaknya berhampiran dengan pekan kecil. Saya katakan pengalaman keemasan, kerana ilmu pembelajaran yang anda perolehi di Institut Perguruan atau universiti tidak sama dengan pengalaman menghayati. Demikian juga halnya dengan ilmu yang anda perolehi melalui pembacaan tidak akan sama dengan yag dialami.

Pernahkah anda memasuki kelas berlantaikan nibong dan beratapkan nipah? pernahkah anda mengalami mengambil kayu api bersama murid-murid? pernahkah ibubapa memberikan anda hasil tani seperti sayur atau dijemput ke rumah mereka untuk sama-sama mengurus upacara perkahwinan keluarga mereka(keluarga murid) dan pernahkah anda berjalan kaki selama 6 jam dan singgah dan menumpang tidur di rumah orang kampung yang berhampiran dengan jalan laluan lori balak?

Semua persoalan-persoalan yang saya ajukan itu merupakan pengalaman yang amat berharga bagi seseorang guru yang menghayati erti kesusahan seseorang murid. Jika anda merupakan seorang guru kaunseling ataupun pemulihan saya sarankan agar mengenali keluarga setiap murid. Ini penting kerana masalah kekeluargaan di antara seorang murid dengan murid yang lain adalah berbeza. Sebagai seorang guru, juga amat penting mengenali dan mengalami hidup bermasyarakat dan kenal mengenali di antara satu dengan yang lain terutama ibubapa. Kemesraan itu dapat membantu seseorang guru untuk menyedarkan ibubapa akan kepentingan ilmu pendidikan dan mencorakkan masa depan anak-anak.

Saya beri satu situasi,misalnya di waktu rehat sekitar jam 10.20 pagi,tanpa disedari ada murid-murid yang hanya menonton atau mengintai rakan-rakan yang lain makan di kantin. Sebagai seorang guru,pernahkah kita menyedari hal ini. Interaksi guru dan murid,interaksi guru dan ibubapa amat penting untuk mencemerlangkan pendidikan di sesebuah sekolah. Mungkin kita sebagai guru hanya tahu datang setakat mengajar semata-mata tapi alpa bahawa tanggungjawab guru bukan hanya di kelas semata-mata.

Jika kita menyingkap sejarah perjuangan kemerdekaan,peranan guru amat penting untuk mengubah minda masyarakat dalam menuntut kemerdekaan. Guru dipercayai dan diyakini. Masyarakat terlalu menghormati guru. Jika dekad ini guru tidak lagi diendahkan oleh masyarakat,maka kita sebagai warga guru harus bangkit dan turun padang untuk membuktikan bahawa kerja guru bukan sekadar di bilik darjah. Guru membantu kerja-kerja masyarakat dan melaksanakan peranan secara tersirat iaitu menghadiri majlis-majlis rasmi di kampung. Guru menjadi pakar rujuk kepada belia atau remaja masa kini. Guru membantu masyarakat dalam melaksanakan kerja-kerja amal dan kebajikan dan sebagainya. Guru harus peka kepada keluarga miskin di sekitar kampung dan sentiasa berhubung dengan ketua-ketua kampung,JKKK atau pemimpin masyarakat.

Guru juga harus membantu tugas-tugas PIBG di sesebuah sekolah dan sentiasa membantu program walaupun bukan AJK PIBG. Bagi saya,apa pun program yang hendak dilaksanakan oleh PIBG di sekolah ianya membuka jalan kepada ibubapa dan guru untuk bermesra dan saling bertukar-tukar fikiran. Melalui program PIBG samada berkesan atau tidak,sebagai seorang guru kita tidak harus mempertikaikannya. Rebutlah peluang itu,sekurang-kurangnya program PIBG dapat mengumpul,menghimpun,mempertemu ibubapa murid,guru-guru yang terdiri dari pentadbir sekolah dan pemimpin masyarakat untuk bersatu hati untuk mencintai sekolah.

Marilah kita warga guru untuk berganding bahu bersama masyarakat untuk mencintai sekolah. Sekurang-kurangnya ibubapa harus disedarkan bahawa kunjungan mereka ke sekolah amat penting agar tidak ada lagi jari menuding jika berlaku ketidakpuasan dalam sesebuah organisasi sekolah atau tidak ada lagi budaya bangau oh bangau yang sentiasa menyalahi antara satu dengan yang lain. Saya pernah bertemu dengan seorang ibubapa yang memberitahu saya tidak pernah ambil tahu tentang sekolah.

"Anak saya dah 5 orang bersekolah di sini,tapi saya tak pernah datang ke sekolah." Saya tanya,kenapa?
"Seganlah dengan cikgu-cikgu. Saya orang kampung,tak apalah", katanya sepontan.
Mendengar penjelassannya itu,saya pun segera mempelawanya ke sekolah. Dia tanya lagi untuk apa saya pergi ke sekolah,anak saya saja yang belajar,bukan saya.
Ah...tak apa,kita cerita-ceritalah,mana tahu ada pendapat yang baik untuk sekolah,kataku.
kalau gitu,esok aku datang sekolah", katanya ghairah.

Selepas ajakan itu,dia pun mulai datang ke sekolah. Pada mulanya saya tidak tahu apa faedahnya.Tapi saya yakin setiap manusia ada kelebihan masing-masing. Saya yakin jalinan hubungan dan memberi kecintaan kepada ibubapa terhadap sekolah adalah penting. Bagi saya,tidak elok buat dasar pintu tertutup kepada ibu bapa untuk datang ke sekolah. Sama la juga halnya mengunci pintu masjid pada hari-hari selain hari Jumaat yang akhirnya orang tidak berminat mengunjungi masjid. Guru perlu bergaul dengan ibubapa secara tidak formal untuk mencapai impian, "sekolahku Rumahku".

Mudah-mudahan dunia pendidikan merupakan dunia yang tetap unggul dan guru-guru baharu dapat mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap profesyen ini apatah lagi anak-anak muda yang dilahirkan oleh Institut Perguruan seluruh Malaysia adalah berijazah mengikut opsyen masing-masing.
Justify Full

0 Comments:

Post a Comment